"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu mungkin peralat Pas dekati pengundi sekiranya Umno tutup pintu rundingan

SHAHBUDIN HUSIN

Pelbagai pihak dilihat tidak senang dengan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung larangan ceramah, majlis sosial, pelancaran jentera dan segala aktiviti terbuka sepanjang tempoh berkempen dalam PRN Melaka.

Tambahan lagi larangan itu yang konon bertujuan mengelak penularan semula wabak Covid-19 dikeluarkan ketika Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno sudah mula turun menjelajah beberapa kawasan di Melaka untuk memastikan kemenangan BN pada 20 November depan.

Bagi pihak dalam Umno, mereka melihat larangan itu tidak lain bertujuan menghalang pemimpin-pemimpin Umno menjalankan kerja-kerja kempen secara agresif bertemu pengundi.

Kata mereka lagi, sebagai parti yang berasaskan akar umbi, kempen turun ke bawah bertemu rakyat dan pengundi adalah perkara yang tidak boleh dielakkan bagi Umno bila berlaku pilihan raya.

Lainlah seperti Bersatu, tambah mereka, yang merupakan parti yang tiada akar umbi dan tidak banyak cawangan, maka tiada keperluan bagi pemimpinnya turun ke bawah untuk berkempen.

Kempen boleh saja dilakukan melalui cara lain menggunakan program kerajaan, NGO atau media sosial.

Selain itu, ada pihak dalam Umno juga melihat larangan kempen itu sebagai strategi halus untuk mendesak agar Umno akhirnya sedia bekerjasama dengan PN bagi memastikan PH tidak berpeluang mencapai kemenangan.

Pada waktu yang sama, PH juga turut tidak senang dengan larangan kempen yang diumumkan Khairy Jamaluddin itu.

Sementara Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menganggap larangan itu memperolok sistem demokrasi, Lim Guan Eng pula sedang mengkaji untuk mencabarnya daripada sudut undang-undang.

Daripada satu sudut, oleh kerana banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial telah dibenarkan seperti melancong, bermesyuarat, kenduri dan sebagainya, tambahan lagi lebih 90 peratus rakyat sudah menerima vaksin, melarang aktiviti kempen untuk pilihan raya ternampak seperti tidak masuk akal.

Jika begitu, apa gunanya vaksinasi?

Sepatutnya, biarlah semua aktiviti kempen dibenarkan, yang penting SOP asas seperti menjaga kebersihan, memastikan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka hendaklah sentiasa dipatuhi.

Begitu pun, apa sebenarnya tujuan larangan kempen ini dikuatkuasakan?

Sepertimana kita sedia maklum, kerjasama antara Umno dengan PN, walaupun terus menerus diminta oleh Pas dan Bersatu, adalah sesuatu yang memang sukar untuk menjadi kenyataan.

Terutama disebabkan jurang perbezaan Umno dengan Bersatu itu terlalu dalam, malah berliku-liku, mempertemukan titik tolak ansur antara kedua-duanya bukanlah suatu perkara mudah.

Untuk itu, kemungkinan paling besar di PRN Melaka ini ialah Umno dan Bersatu akan berlaga sesama sendiri atas tiket BN serta PN dalam persaingan tiga penjuru yang turut disertai PH.

Apabila berlaku pertembungan itu, mereka yang paling susah hati ialah kelompok menteri Umno yang diketahui sejak dulu berjiwa pro kepada Bersatu.

Kalau mereka turun berkempen untuk Umno, bimbang nanti Bersatu akan berkecil hati dan jika turun berkempen menolong Bersatu pula, ia sudah tentu melanggar disiplin parti.

Lalu, dengan adanya larangan turun berkempen secara terbuka yang diumumkan KJ itu, selamatlah mereka dan mereka kini tidak perlu langsung turun berkempen baik untuk Umno, mahu pun Bersatu.

Pada waktu yang sama, disebabkan cawangan dan akar umbi Umno lebih kukuh berbanding Bersatu, apa yang perlu dilakukan oleh parti itu dengan adanya larangan kempen terbuka ini ialah memanfaatkan kekuatan itu sepenuhnya untuk mendekati lagi semua kelompok pengundi.

Ia boleh dilakukan melalui jentera media sosial tempatan yang mungkin sudah sedia wujud di peringkat cawangan dan jika belum ada, masih ada masa untuk mewujudkannya dengan menyenaraikan nama pengundi dalam daftar mereka.

Kemudian, segala hal berkaitan kempen, termasuk serangan kepada pihak lawan dan menjawab isu-isu yang berbangkit hendaklah menggunakan saluran tersebut sebaik-baiknya.

Bersatu yang tidak banyak cawangan dan tiada akar umbi sudah tentu berdepan kesukaran berkempen hingga ke bawah menggunakan media sosial, kecuali yang boleh dilakukan ialah mewujudkan pusat-pusat serangan yang beroperasi di Kuala Lumpur atau di bandar Melaka.

Namun, sudah tentu keberkesanannya tidak menyeluruh atau mampu meresap ke bawah berbanding apa yang digerakkan Umno melalui akar umbinya yang sudah sedia wujud itu.

Pokoknya, dengan adanya larangan kempen terbuka dan mengadakan majlis-majlis bertemu pengundi ini lebih memberi kelebihan kepada Umno dan ia lagi meletakkan mereka tidak perlu sama sekali bekerjasama dengan Bersatu, Pas atau PN.

Senang-senang Bersatu akan ditinggalkan dalam gerak kerja kempen dan mendekati pengundi.

Paling-paling pun Pas yang ada sedikit akar umbi akan diperalat sepenuhnya oleh Bersatu untuk berhadapan dengan Umno.

Secara langsung dan tidak langsung, Umno kini sudah boleh tutup terus pintu rundingan dengan PN.

Tiada ulasan: