"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Air mineral 'jampi' RM1,000

Yusmizal Dolah Aling

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ada perawat yang sengaja menggunakan nama Islam untuk menarik pelanggan bagi mendapatkan keuntungan lumayan walaupun sebenarnya mereka banyak menyimpang dari ajaran sebenar.

Mereka tidak mendalami ilmu perubatan Islam dan hanya menghafal satu atau dua ayat serta doa selain berpakaian seperti seorang alim semata-mata untuk meyakinkan pesakit.

Lebih memalukan mereka ini yang menyasarkan golongan berada turut mempunyai rekod jenayah lampau, salah laku dan pernah ditahan pihak berkuasa.

Pendakwah bebas Dr Zamihan Mat Zin Al Ghari berkata, kemunculan perawat palsu semakin berleluasa dan mencemarkan konsep perubatan Islam.

Katanya, konsep rawatan dalam Islam adalah usaha dan ikhtiar malah tiada jaminan kesembuhan kerana yang akan menyembuhkan adalah Allah SWT.

"Jadi dalam usaha dan ikhtiar, upah itu sepatutnya berpatutan, kena ada timbang rasa kepada orang sakit.

"Sudahlah dia sakit, ada yang datang dari jauh. Bukan ada jaminan sembuh, tetapi kena bayar caj tinggi sehingga ribuan ringgit. Konsep itu sudah jadi salah," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) berkata, kebanyakan perawat palsu ini menjadikan kerjaya itu sebagai jalan mudah untuk mendapat keuntungan sehingga ada yang sanggup menjual air mineral didakwa dijampi dengan harga RM1,000 sebotol.

"Itu belum lagi kes bomoh yang sengaja mengambil kesempatan untuk memuaskan nafsu. Duit pun ambil, nafsu juga nak dilampias kepada pesakit. Mereka ini hidup di atas kesusahan orang lain," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan semua perawat perlu berdaftar dengan pihak berkuasa agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai perubatan alternatif.

Katanya, dengan cara itu, masyarakat boleh mengetahui 'tauliah' yang ada pada perawat terbabit daripada segi latar belakang dan kepakaran sekaligus mengelak ditipu.

"Jika mereka tidak ada pengiktirafan, kita boleh katakan mereka menjalankan aktiviti haram.

"Mereka sahaja yang mendakwa mereka pakar itu dan ini sedangkan tidak ada pembuktian dalam bentuk pengiktirafan dan kelulusan pihak berwajib.

"Berikutan tidak ada badan pun yang mengiktiraf mereka sama ada perawat pakar atau perawat biasa, jadi mereka tidak ubah seperti scammer perubatan Islam," katanya.

Sementara itu, pengamal perubatan Islam Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, antara caj tinggi yang dikenakan perawat palsu kepada pesakit termasuk mendapatkan khidmat jin kononnya mampu merawat dengan harga antara RM3,000 hingga RM6,000 setiap satu jin.

Tiada ulasan: