"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perak bukti retorik politik ekstrimisma dan fitnah tidak relevan

DATUK DR MUJAHID YUSUF RAWA

Perak mendahului negeri lain dalam pembentukan kerajaan pasca pilihanraya. Pada 21hb November saya menandatangani perjanjian bersama dengan Pengerusi BN DS Saarani Mohamad bagi membentuk kerajaan dengan sokongan 33 ADUN bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Saarani Bin Mohamad.

Perjanjian disaksikan oleh Penasihat Undang2 Negeri dan wakil Tuanku Tan Sri (Dr) Zahidi Bin Haji Zainudin. Di peringkat antara parti saya turut menandatangani perjanjian persefahaman untuk memastikan butiran pentadbiran kerajaan dikongsi bersama demi memastikan kelestarian dan kestabilan negeri.

Kematangan terserlah untuk melihat kepentingan rakyat mendahului segala sentimen dan emosi kempen. DYMM Raja Perak Sultan Nazrin bertindak pantas memastikan segala proses yang patut dituruti dipatuhi.

Tanpa melengahkan masa dan menghormati undang2 tubuh negeri, Tuanku Sultan Nazrin berjaya memenuhi tanggungjawabnya membentuk kerajaan. Pada 21hb tarikh yang sama pada 5.30 ptg Menteri Besar baru mengangkat sumpah dan keesokannya kesepuluhan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri secara resmi mengangkat sumpah di hadapan Paduka Tuanku Sultan.

Keunikan kerajaan Perak yang baharu ialah, ianya terdiri daripada gabungan dua parti yang selama ini sentiasa berada dalam pihak yang bertentangan antara satu sama lain. BN yang majoritinya daripada UMNO di satu pihak dan PH terdiri daripada AMANAH, Dap dan Keadilan berada pada satu pihak yang lain.

Pertentangan mereka bukan sahaja dari pergelutan politik tetapi masing-masing punya budaya dan retorik ideologi parti yang berbeza. Mereka juga punya pengikut yang berbeza persepsi terhadap parti masing-masing. Namun segala pertentangan ini tidak menjadi halangan kepada keperluan berperundangan untuk membentuk sebuah kerajaan. Undang-undang adalah bebas ideologi, undang-undang hanya melihat kepada prinsip dan ia perlu dipatuhi tanpa sentimen dan emosi.

Saya diberi kesempatan untuk mengadap Paduka Tuanku Sultan Nazrin usai majlis perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Pertemuan yang tidak rasmi itu membawa kepada berbagai perbincangan yang mengisyaratkan keprihatinan Tuanku, kebijaksanaan dan hikmah para Sultan. Baginda Tuanku membuktikan firasat dan hikmah adalah asas tertegaknya Institusi Raja Melayu, tiada kepentingan hanya kepentingan undang-undang dan maslahat rakyat.

Berakhirnya satu proses pembentukan kerajaan di Perak bermakna bermulanya satu era baharu gabungan dua parti bertentangan yang kini berjanji untuk mendahulukan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Perak. PH dan BN mungkin mempunyai dua retorik politik yang berbeza namun retorik itu perlu tunduk kepada prinsip lebih besar seperti Keterangkuman, Kesederhanaan dan Keadilan Sosial.

Di sinilah terbentang cabaran yang memerlukan hikmah dan keberanian kepimpinan memenangkan prinsip. Sebagai Pengerusi PH Perak, saya akan memastikan prinsip besar pemerintahan akan dilaksanakan dalam kerajaan Perak melalui panduan Maqasid Syariah dan Prinsip Manusiawi yang unggul.

Kejayaan di Perak akan membuktikan bahawa retorik politik ketaksuban, ekstrimisma dan fitnah tidak relevan dan menjadi pinggiran. Politik sempit hanya sesuai untuk pemimpin-pemimpin yang meletakkan diri mereka pada tahap picisan.

Tiada ulasan: