"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas sudah hilang landasan perjuangan dilalui Ustaz Yusof Rawa, Fadzil Noor

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Pas perlu kembali ke landasan perjuangannya yang asal iaitu melawan korupsi dan salah guna kuasa. Itulah landasan yang dilalui oleh Ustaz Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Bahkan, semasa hayat Ustaz Fadzil Noor, Pas begitu gigih mendukung perjuangan itu sampai sanggup bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR). Ustaz Abdul Hadi sendiri membela DAP habis-habisan ketika itu.

Umno tahu, jika PR bertambah kukuh, kedudukan BN pasti terancam. Akhirnya, dengan senjata wang yang diadun bersama sentimen Melayu, Pas dihasut meninggalkan PR.

Umno berjaya. Sentimen agama dan bangsa melulu ditiup di sana-sini. Pas menyambutnya meskipun suatu ketika parti itu begitu gigih melawan fikrah perkauman Melayu sempit.

Kini, Pas sudah tidak punya landasan perjuangan lagi. Mahu berjuang Melayu bersama Umno, parti itulah pelingkup Melayu. Mahu berjuang Islam, di mana Islamnya jika bersekongkol dengan PPBM yang khianat.

Air mata penyatuan ummah hanya tinggal kenangan. Umno sudah tidak sudi dengan Pas. Hanya PPBM yang mahukan Pas, tapi imej parti itu juga semakin kabur dalam radar politik.

Jika Pas jujur, berpatah baliklah ke landasan yg asal. Jika Pas tidak mahu bekerjasama dengan PH kerana ada DAP, itu tidak menjadi hal. Sebab, kerusi DAP dan Pas berbeza. Sampai kiamat, Pas tidak akan lawan DAP di kerusinya.

Justeru, tidak berlaku pertembungan Pas – DAP dalam pilihan raya. Pas cuma perlu berunding dengan AMANAH dan PKR sahaja dalam konteks pembahagian kerusi pilihan raya di Semenanjung.

Jika Muda, Pejuang dan parti pembangkang lain bersama PH, maka Pas perlu menerima hakikat semua parti politik itu adalah rakan dalam perjuangan melawan korupsi dan salah guna kuasa. Tolak ansur politik adalah wajib.

Situasi kini adalah situasi terbaik untuk Pas menentukan sikap politiknya. Sama ada ingin terus berlutut dan merayu-rayu kepada Umno, atau meninggalkan Umno dan kembali ke landasan perjuangan asal.

PPBM macam mana? Biarkan masa menentukan nasibnya jadi sabut atau batu. Ada pun Pas, belum terlambat untuk membetulkan balik kompas perjuangannya demi negara dan umat.

Jika Pas tak sudi, terpulang…!

Tiada ulasan: