"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bapa mengaku tanam mayat anak di tepi jalan

Nor Azizah Mokhtar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang bapa ditahan kerana disyaki mendera anaknya hingga meninggal dunia sebelum menanam mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah tempat riadah, di sini bagi menyembunyikan perbuatannya, semalam.

Perbuatan kejam suspek itu terbongkar selepas polis menerima aduan isteri suspek pada Jumaat lalu memaklumkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun didera oleh suaminya.

Isteri suspek yang juga seorang warga asing berusia 41 tahun membuat laporan selepas mendapati anak yang berusia sembilan tahun dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulutnya sebaik pulang bekerja kira-kira jam 7 malam, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku di kediaman keluarga itu di Jalan Pudu di sini, dan pengadu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mendakwa suaminya ada memukul anaknya itu kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian.

Sebaik menerima aduan, sepasukan anggota polis bersama pengadu ke rumah suspek untuk mengambil anaknya yang ditinggalkan namun anak serta suaminya tiada di rumah.

Berikutan itu, pihak polis menjalankan usaha mengesan suspek sebelum dia berjaya dikesan dan ditangkap di Jalan Pasar Pudu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan kejadian dan memaklumkan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek yang juga seorang penganggur, mengaku menanam mayat anaknya di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy di sini.

Suspek kini direman tujuh hari dan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Noor Dellhan meminta orang ramai terutama ahli keluarga atau jiran supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang kes dera yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga atau jiran masing-masing.

Tiada ulasan: