"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

71 peratus penduduk Gaza mengalami kebuluran teruk

Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
SEORANG wanita duduk memasak makanan ketika kanak-kanak bermain berhampiran di luar salah sebuah khemah yang menempatkan penduduk Palestin. FOTO AFP
SEORANG wanita duduk memasak makanan ketika kanak-kanak bermain berhampiran di luar salah sebuah khemah yang menempatkan penduduk Palestin. FOTO AFP
Kuala Lumpur: Krisis kebuluran di Gaza, Palestin semakin meruncing apabila lebih separuh daripada penduduknya terpaksa makan apa sahaja termasuk rumput, buah-buahan, makanan mentah dan sudah tamat tarikh luput bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Perkara itu didedahkan dalam Kajian Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean dengan menyimpulkan terdapat seramai 71 peratus penduduk wilayah itu mengalami tahap kelaparan teruk serta 98 peratus lagi kekurangan pengambilan makanan mencukupi justeru mereka makan apa yang mampu ditemui sahaja.

Fakta itu berasas kepada beberapa perkongsian tular yang menunjukkan penduduk Gaza terutama anak kecil terpaksa berebut mendapatkan makanan untuk mengisi perut mereka dalam perang kebuluran memasuki hari ke-75.

Menceritakan situasi di Gaza, kanak-kanak, Ahmed Mohammed Al-Khalidi berkata, setiap hari mereka hanya menjamah ala kadar bagi mengalas perut berikutan berdepan kesukaran mendapatkan sumber bekalan.

Katanya, penduduk juga sudah tidak mampu mengeluarkan belanja kerana beberapa barangan yang masih dijual juga semakin melambung tinggi.

"Kami makan apa yang dapat dijumpai sahaja macam suku atau separuh roti dimakan untuk seharian.

"Apabila kami minta makan dengan ibu, dia menyuruh saya diam kerana tiada makanan di rumah kami.

"Jadi, biasanya kami akan tidur dalam keadaan lapar," katanya.
REJIM Zionis menahan trak yang membawa bantuan kemanusiaan bergerak di sempadan Kerem Shalom. FOTO AFP
REJIM Zionis menahan trak yang membawa bantuan kemanusiaan bergerak di sempadan Kerem Shalom. FOTO AFP
Sementara itu, aktivis Mer-C Indonesia yang berada di Gaza, Fikri Rofiul Haq berkata, bantuan kemanusiaan hanya masuk dari Mesir setakat ini kerana kebanyakan sumbangan negara lain masih terkandas di luar sempadan Rafah-Mesir.

"Memang sukar mencari makanan ketika ini. Saya biasakan diri makan apa yang ada macam susu dan roti kering.

"Memang bantuan sudah mula diagihkan tetapi belum sepenuhnya kerana saya tengok hanya ada dari Mesir.

"Bantuan dari negara lain seperti Turkiye dan Indonesia masih terkandas di sempadan," katanya menerusi perkongsian di Instagram, malam kelmarin.

Menurutnya, pasukannya tetap meneruskan misi bantuan dengan kolaborasi Hospital Eropah di Khan Younis, selatan Gaza.

"Daripada apa yang saya dimaklumkan, keadaan di hospital ini sungguh genting dengan lebih 400 pesakit masih belum mendapatkan rawatan sewajarnya kerana kekurangan ubat dan kakitangan perubatan.

"Selain itu, lebih 10,000 penduduk termasuk wartawan mendirikan khemah berteduh di kawasan berdekatan hospital kerana kehilangan tempat tinggal," katanya.

Berdasarkan laporan Kumpulan hak asasi, Human Rights Watch (HRW), Israel menafikan hak penduduk Gaza dengan sengaja menghalang penghantaran bekalan air, makanan, dan bahan api dan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza sekali gus melakukan jenayah perang.

Selain itu, Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) melaporkan sembilan daripada 10 isi rumah di utara Gaza dan dua daripada tiga isi rumah di selatan wilayah itu menghabiskan sekurang-kurangnya sepanjang hari dan malam tanpa makanan.

Tiada ulasan: