"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja mangsa fitnah pilih bunuh diri?

ROSALINDA MD SAID

GARA-gara fitnah, segelintir remaja di negara ini mengakui pernah mencuba untuk membunuh diri dan menamatkan kehidupan masing-masing.

Keputusan melulu itu dibuat kerana rasa buntu untuk berdepan dengan masyarakat atau kumpulan kecil dalam kalangan mereka.

Penyelaras Service Learning Malaysia-University for Society (Sulam), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Mohd. Yusof Zulkefli berkata, situasi tersebut jelas membuktikan yang kes fitnah kini semakin serius dan tidak boleh lagi dipandang ringan.

Katanya, seluruh masyarakat perlu dididik berkenaan isu itu agar mereka tahu hal-hal berkaitan hak.

“Saya terlibat dalam tiga program advokasi fitnah iaitu Sulam DokPanik 2.0, SeeMethru 2.0: FakeNah dan One’s Aid Society.

“Setiap kali ahli jawatankuasa program memuat naik kandungan, ramai remaja menghantar mesej atau komen menceritakan pengalaman mereka difitnah sehingga ada yang cuba untuk mengakhiri kehidupan.

“Perkara ini tidak boleh dibuat main dan wujud keperluan kritikal untuk memupuk literasi undang-undang berkaitan isu fitnah sejak di peringkat awal usia,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Celik undang-undang

Literasi undang-undang memainkan peranan penting dalam menangani isu fitnah.

Dengan memahami undang-undang, individu dapat menilai dan menguruskan fitnah dengan lebih efektif.

Menurut Mohd. Yusof, ilmu itu turut membantu masyarakat menyedari batasan hukum berkaitan fitnah di samping perbezaan antara kebebasan bersuara dan penyebaran maklumat palsu yang boleh merosakkan reputasi.

“Oleh itu, peningkatan literasi undang-undang adalah penting untuk mengatasi isu fitnah dengan meningkatkan kefahaman undang-undang, hak, dan tanggungjawab dalam menyuarakan pandangan,” katanya.

Kau Putar Ek!

Terbaharu, advokasi fitnah diteruskan kepada 100 pelajar Kolej Vokasional Tanjung Puteri, Johor Bahru, Johor menerusi program Sulam DokPanik 2.0 : Kau Putar Ek! yang berlangsung selama dua hari.

Kata Mohd. Yusuf, matlamat program itu adalah untuk mendedahkan golongan sasar dengan pengetahuan undang-undang berkaitan fitnah.

Ujarnya, menerusi perkongsian ilmu itu, remaja bukan sahaja lebih peka dalam menangani isu fitnah, bahkan mampu mempertahankan diri daripada menjadi mangsa.

“Berdasarkan maklum balas diterima, lebih 97 peratus peserta berpendapat program ini sangat bermakna dan membuka minda mereka kepada satu dimensi baharu berkenaan isu-isu fitnah yang di luar jangkaan.

Tiada ulasan: