"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kebodohan tahap apa ini: Bawa dadah RM2 juta, dapat upah RM100

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Tanjung Malim: Terima upah hanya RM100 untuk menemani pasangan suami isteri menghantar syabu bernilai RM2 juta sebelum ditahan Isnin lalu.

Itu nasib seorang lelaki yang ditahan bersama pasangan berkenaan ketika menghala Lembah Klang membawa lebih 51 kilogram (kg) dadah methamphetamine seberat 51.96 kg.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dadah berkenaan ditemukan menerusi 50 bungkusan plastik mengandungi serbuk dan ketulan kristal yang diisi dalam beberapa beg pakaian yang terdapat di bonet belakang kenderaan yang disewa suspek terbabit.

Menurutnya, serbuan ke atas tiga suspek jam 3.35 petang itu dijalankan sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak susulan maklumat risikan dari JSJN IPK Perlis.

Katanya, siasatan awal mendapati dadah berkenaan sedang dalam proses penghantaran oleh suspek lelaki berusia 27 tahun yang juga 'transporter' bagi sindiket dengan upah RM2,000 bagi sekali penghantaran, dibantu rakan dan isterinya sendiri dari negeri utara tanah air ke Lembah Klang.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek pertama yang kita labelkan sebagai B1, adalah 'transporter' manakala B2 iaitu rakannya, serta B3 yang isteri B1 sendiri bertindak sebagai pembantu kepada B1.

"B1 ditawarkan upah RM2,000 untuk satu kali penghantaran dari utara ke Lembah Klang, manakala B2 membantunya dengan upah RM100 yang dibayar oleh B1 sendiri," katanya dalam sidang media kejayaan operasi rampasan dadah itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini hari ini.

Kata Kok Chin, saringan awal air kencing mendapati hanya suspek pertama sahaja yang positif dadah iaitu jenis methamphetamine selain semakan rekod lampau mendapati hanya B1 juga yang mempunyai rekod kesalahan jenayah serta dadah.

Menurutnya, bekalan dadah berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran melalui sempadan negeri di utara.

Pihaknya yakin ia didalangi oleh sindiket dadah yang sama yang pernah dilumpuhkan di Lembah Klang membabitkan rampasan 320 kg dadah, berdasarkan kepada modus operandi dan ciri bungkusan dadah yang dirampas.

"Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini. Sebelum ini kita pernah membuat tangkapan dalam beberapa kes di Lembah Klang membabitkan jumlah nilai besar yang membabitkan sindiket yang sama.

"Tangkapan lebih menjurus kepada transporter, 'runner', dan pembantu. Namun mereka ini apabila ada yang dirampas atau ditangkap, maka mereka akan lantik orang lain dan ini tangkapan kali ketiga bagi sindiket yang sama.

"Kita masih buat susulan dari sindiket ini termasuk untuk mengenal pasti 'upline' (ahli teratas) mereka. Untuk makluman sesuatu tangkapan yang kita buat dalam satu-satu kes, kita tidak akan berhenti di sini saja sebaliknya kita akan senaraikan 'family tree' (carta keluarga) dan kita akan tengok dari segi 'link' (hubungkait) mereka," katanya.

Kata Kok Chin lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 12 November hingga 18 November ini bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: