"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Trump: Warga Palestin tidak berhak kembali ke Gaza di bawah rancangan AS

AFP

Washington: Rakyat Palestin tidak akan mempunyai hak kembali ke Gaza di bawah rancangan pengambilalihan wilayah itu oleh Amerika Syarikat (AS), menurut Presiden Donald Trump yang menggambarkan cadangannya itu sebagai 'pembangunan hartanah masa depan' dalam temu bual pada Isnin.

Trump memberitahu Bret Baier dari Fox News Channel, "Saya akan memilikinya" dan mungkin terdapat sehingga enam lokasi berbeza bagi rakyat Palestin untuk tinggal di luar Gaza di bawah rancangan itu, meskipun ia ditolak dunia Arab dan masyarakat antarabangsa.

"Tidak, mereka tidak akan (kembali), kerana mereka akan mendapat kediaman yang jauh lebih baik," kata Trump apabila ditanya oleh Baier sama ada rakyat Palestin berhak untuk kembali ke Gaza yang sebahagian besarnya musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023.

"Dengan kata lain, saya bercakap mengenai membina tempat tinggal tetap untuk mereka kerana jika mereka perlu kembali sekarang, akan mengambil masa bertahun-tahun sebelum ia boleh dihuni semula."

Trump pertama kali mendedahkan rancangan mengejutkan mengenai Gaza ini dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada 4 Februari lalu, yang turut mencetuskan kemarahan rakyat Palestin.

Presiden AS itu menegaskan keperluan untuk rakyat Palestin dipindahkan dari Gaza yang musnah akibat perang Israel-Hamas serta perlunya Mesir dan Jordan untuk menerima mereka.

Dalam temu bual bersama Fox itu, Trump berkata, beliau akan membina 'komuniti indah' bagi lebih dua juta rakyat Palestin yang kini tinggal di Gaza.

"Ia boleh jadi lima, enam, atau mungkin dua (lokasi). Tetapi kami akan membina komuniti yang selamat, sedikit jauh dari tempat mereka sekarang yang mana semua bahaya ini berlaku," tambah Trump.

"Sementara itu, saya akan memilikinya. Anggap sahaja ia sebagai pembangunan hartanah untuk masa depan. Ia akan menjadi sebidang tanah yang indah. Tiada perbelanjaan besar diperlukan."

Trump mengejutkan dunia apabila secara tiba-tiba mengumumkan minggu lalu bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza, membersihkan runtuhan dan bom yang tidak meletup, serta mengubahnya menjadi 'Riviera Timur Tengah'.

Walaupun pada awalnya beliau menyatakan rakyat Palestin boleh menjadi sebahagian daripada 'penduduk dunia' yang dibenarkan tinggal di sana, beliau kini kelihatan semakin mengukuhkan pendiriannya bahawa mereka tidak boleh menetap di situ.

Netanyahu pada hari Ahad memuji cadangan Trump sebagai revolusi, dengan nada kemenangan dalam satu kenyataan kepada kabinetnya selepas pulang dari Washington.

"Presiden Trump membawa visi yang sama sekali berbeza, jauh lebih baik untuk Israel," kata Netanyahu, yang dilaporkan hanya diberi taklimat mengenai rancangan itu sejurus sebelum pengumuman Trump.

Reaksi dari sebahagian besar dunia adalah kemarahan, dengan Mesir, Jordan, negara-negara Arab lain dan rakyat Palestin menolak sepenuhnya rancangan itu.

Kritikan tidak terhad kepada dunia Arab, apabila Canselor Jerman Olaf Scholz pada Ahad menyifatkan rancangan itu sebagai 'skandal', dan menegaskan pemindahan paksa rakyat Palestin adalah tidak boleh diterima dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Rancangan Trump itu juga mengancam untuk mengganggu gencatan senjata enam minggu yang rapuh antara Israel dan Hamas di Gaza, serta mengurangkan kemungkinan peralihan kepada fasa kedua yang lebih kekal.

Namun, Trump tetap menegaskan beliau boleh meyakinkan Mesir dan Jordan yang menjadi penerima utama bantuan ketenteraan AS, untuk menerima cadangannya.

"Saya rasa saya boleh membuat perjanjian dengan Jordan. Saya rasa saya boleh membuat perjanjian dengan Mesir. Anda tahu, kami memberi mereka berbilion-bilion dolar setiap tahun," katanya kepada Fox.

Tahun lalu, Trump menyamakan Gaza dengan Monaco, sementara menantunya, Jared Kushner mencadangkan Israel boleh mengosongkan Gaza daripada penduduk untuk membuka peluang pembangunan 'hartanah tepi laut'.

Tiada ulasan: