"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno Terengganu : MB Terengganu terkilan gagal minta 'dana khas'

Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU (Hrkh) - Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said melahirkan rasa terkilan dengan sikap birokrasi kerajaan pusat yang lebih mengutamakan pihak kontraktor dari kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri pernah memohon peruntukkan dari 'dana khas' bagi digunakan sendiri oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kerja-kerja menaik taraf jalan raya di Rantau Abang-Dungun.

Menurutnya, permohonan tersebut dibuat bagi menyelesaikan masalah infrastruktur jalan raya yang semakin pesat membangun seiring dengan pembinaan Lebuh raya Pantai Timur (LPT).

"Sebab itu, kita (kerajaan) dari dulu lagi di Rantau Abang-Dungun kita (kerajaan) minta dana khas RM30 juta peruntukkan untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) buat sendiri.

"Tapi tidak dapat nok kata macam mana. Kerajaan minta tidak dapat, kontraktor minta dapat,"ujarnya pada sidang media tersebut.

Sementara itu, Ahmad menjelaskan bahawa projek pembinaan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) Fasa II tidak dapat disiapkan mengikut jadual asalnya.

Ini kerana, katanya dua kontraktor pembinaan LPT tersebut telah menarik diri dari meneruskan kerja-kerja berkenaan akibat peningkatan kos bitumennya.

"Saya rasa 'highway' (lebuh raya) akan 'tangguh' kerana kos bitumen yang mahal sekarang ini. Ada 'doh' (telah) kontraktor yang serah balik.

"Sudah 'taruk' (letak) batu tapi nok letak bitumen tak mampu. Sebab jika dia (kontraktor) buat misalnya, kos habis RM5 juta, dia (kontraktor) akan rugi RM5 juta kerana kosnya (bitumen) RM10 juta," jelasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, dua projek dari pakej 11 LPT akan ditander semula oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang melibatkan laluan berdekatan Kampung Gemuruh, Tepoh.

Menurutnya, masalah tersebut menyebabkan kelewatan LPT dapat disiapkan mengikut jadual sehingga setahun.

"Kita (kerajaan) jangka keadaan ini akan melewatkan tarikh siap projek LPT Fasa II ini hingga setahun. Sebelum ini pun, projek LPT ini sudah terhenti selama tiga bulan kerana harga bitumen tinggi,"ujarnya.


Tiada ulasan: