"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suhakam : Kenapa Suhakam Hilang Status “A” - Tian Chua

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Suhakam masih dibayangi kemungkinan diturunkan statusnya oleh Badan Penyelia Antarabangsa atas kekegagalan kerajaan menjadikan badan itu lebih berwibawa dan telus.

Lebih buruk lagi, Suhakam telah cuba menutup isu itu dalam laporan tahunannya kepada Parlimen yang diedarkan pihak berkenaan hari ini, kata pemimpin kanan PKR, Tian Chua.

“Laporan tahunan Suhakam adalah penuh dengan kecurigaan dan keraguan dari segi isi kandungan,” kata beliau.

Tian berkata ICC, sebuah agensi antarabangsa yang menyelia badan-badan hak asasi, menimbang untuk menurunkan status Suhakam daripada “A” kepada “B.”

Penurunan status itu bererti Suhakam akan hilang kelayakan sebagai perwakilan penuh untuk menyertai persidangan Majlis Hak Asasi Manusia di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Suhakam berdepan dengan keadaan itu berikut kegagalan kerajaan meminda perlembagaan Suhakam untuk memastikan badan itu mempunyai kewibawaan setanding dengan agensi lain di dunia.

Antara yang dituntut oleh ICC ialah Pesuruhjaya Suhakam yang dilantik harus dari kalangan mereka yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengenai hak asasi manusia.

Hak menentukan keahlian Suhakam yang diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri adalah juga bercanggah dengan piagam hak asasi manusia yang dicapai di Paris, menurut Tian.

ICC juga menegur kerajaan kerana melarang Suhakam daripada menyiasat aduan pencabulan hak asasi yang telah dibawa ke mahkamah.

Tian berkata laporan tahunan Suhakam yang terbaru tidak merujuk kepada masalah-masalah berkenaan, memberi gambaran seolah kerajaan sedang cuba menutup isu itu.

Laporan itu juga tidak menyebut langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan terhadap kepincangan Suhakam yang boleh membawa kepada kehilangan status “A”nya.

“Kehilangan status “A’ bererti Suhakam akan kehilangan kredibiliti dan sekali gus dipandang sebagai tali barut kerajaan di kaca mata antarabangsa,’ kata Tian.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: