"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar ghairah mahu jadi PM - Zahrain

GEORGETOWN: Selepas kurang 24 jam mengkiritik secara terbuka pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Ahli Jawatankuasa Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim menjadikan ’bossnya’, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sasaran kedua.

Melalui temubual secara eksklusif bersama Sinar Harian semalam, Zahrain secara terbuka membidas tindakan Penasihat PKR itu yang didakwanya terlalu ghairah mengejar jawatan Perdana Menteri sehingga sanggup mengorbankan prinsip perjuangan parti untuk berkompromi dengan tekanan pemimpin DAP.

"Perjuangan PKR kini sudah melencong daripada matlamat asal. Dulu dia (Anwar) kata nak buat reformasi dalam pelbagai bidang untuk kebaikan rakyat dan negara tetapi sekarang sudah jadi lain," kata bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu.

Zahrain yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, beliau bimbang sikap Anwar yang terlalu berkompromi dengan pemimpin DAP untuk memenuhi cita-citanya menjadi Perdana Menteri menyebabkan rak-yat hilang kepercayaan kepada PKR.

"Ini yang membimbangkan saya sebenarnya. Kita tidak boleh berkompromi dengan mengorbankan prinsip perjuangan untuk memenuhi agenda lain. Kita perlu kembali kepada matlamat asal dan Anwar tidak boleh ketepikan pandangan rakan-rakan yang sudah lama mendokong perjuangan PKR selama ini," katanya.

Zahrain berkata, PKR perlu kembali kepada matlamat asal dan tidak boleh sama sekali tunduk mengorbankan prinsip yang dipegang selama ini untuk memenuhi impian lain.

“Adakah kita perlu melencongkan perjuangan parti serta tunduk kepada tekanan DAP semata-mata mahu mengejar sesuatu yang belum pasti,” katanya.

Beliau mengakui bimbang rakyat akan bertindak dan menilai semula peranan PR dalam politik tanah air berdasarkan perkembangan yang berlaku dalam gabungan itu sekarang ini.

Berikut petikan soal jawab Sinar Harian dengan Zahrain melalui telefon semalam :

Betulkah desas desus yang menyebut Datuk Seri mahu keluar PKR?

ZAHRAIN:: Setakat ini, belum terlintas di fikiran saya untuk berbuat demikian. Saya masuk politik bukan mengejar jawatan atau kedudukan tetapi mahu membantu rakyat yang memberi mandat kepada saya.

Jadi, Datuk Seri masih mahu bersama PKR walaupun sudah melihat macam-macam perkembangan yang berlaku?

ZAHRAIN:: Walaupun saya kurang senang dengan perkembangan yang berlaku dalam PKR, saya belum terlintas untuk keluar parti kerana masih mahu menjayakan agenda perjuangannya.

Maksudnya Datuk Seri akan terus berada dalam PKR?

ZAHRAIN:: Ya, saya akan bersama PKR walaupun banyak perkara yang saya tidak setuju. Saya harap akan berlaku perubahan dalam PKR seperti yang dijanjikan kepada rakyat.

Jadi desas desus itu tidak benar?

ZAHRAIN:: Saya bukanlah obses. Saya mahu menjayakan reformasi yang dilaung-laungkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa satu perubahan kepada negara ini.

Apakah yang Datuk Seri maksudkan PKR sudah menyimpang daripada perjuangannya?

ZAHRAIN:: Dulu PKR mahu menjayakan reformasi untuk kebaikan rakyat. Tetapi sekarang ini, ia tidak lagi mendukung perkara itu tetapi lebih banyak tunduk kepada kehendak pihak tertentu termasuk parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR). Kadang-kadang saya nampak PKR seolah-olah mengorbankan prinsip perjuangan untuk memenuhi kehendak parti lain.

Datuk Seri kecewa setelah digugurkan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang?

ZAHRAIN:: Saya tidak kecewa kerana perjuangan membela rakyat adalah mengatasi segala-galanya. Saya bangga kerana ketika menjadi pengerusi, saya banyak menegur pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai rakan kongsi dalam PR di Pulau Pinang. Tetapi sekarang ini, PKR Pulau Pinang seolah-olah hilang arah dan hanya mengikut apa yang dikatakan oleh DAP dan Guan Eng. Kita berkongsi kuasa dengan DAP dan Pas. Tetapi sekarang ini nampaknya seperti kita hanya menumpang kuasa.

Dengan pelbagai masalah, Datuk Seri masih mahu bersama PKR?

ZAHRAIN:: Ya. Saya mahu memenuhi janji kepada rakyat, terutama pengundi di Bayan Baru, terutama orang Melayu. Jika gagal, mereka akan kecewa dan mengutuk saya kerana sebelum ini semua orang ingat hanya Barisan Nasional (BN) yang melakukan kesilapan itu. Tetapi nampaknya PR pun mengikut langkah itu, malah mungkin lebih teruk. Teguran perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan agar masalahnya tidak menjadi parah. Saya masuk PKR kerana dijemput oleh Anwar Ibrahim untuk membantunya menjayakan agenda perjuangan termasuk melakukan reformasi bagi kepentingan rakyat. Saya masuk bertanding dalam pilihan raya dan terpilih sebagai wakil rakyat kerana mendapat mandat rakyat. Jadi sekarang ini, saya perlu memenuhi amanah rakyat yang sudah memberi kepercayaan kepada saya.

Apa yang Datuk Seri mahu lihat pada PKR sekarang?

ZAHRAIN:: Saya mahu perubahan segera dilakukan dalam PKR agar rakyat yang membuat penilaian kelak tidak rasa tertipu denagn gelagat sesetengah pemimpin parti.

Kita akan berdepan dengan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. Jika tidak berubah, parti ini akan hancur kerana ditolak rakyat. Oleh itu, kita mesti berubah dan bersedia melakukan perubahan.

Datuk Seri tidak bimbang dikenakan tindakan oleh parti?

ZAHRAIN:: Saya tidak kisah apa pun yang bakal ditentukan kelak. Saya bukan obses dan hanya menjalankan tanggungjawab. Saya berada dalam PKR pun kerana memenuhi jemputan rakan-rakan, terutama Anwar Ibrahim.
-sinarharian-

Tiada ulasan: