KUALA LUMPUR, 9 Mac: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyiarkan enam dokumen penerangan berkaitan hukuman sebatan ke atas tiga wanita Islam awal bulan lalu, dengan salah satunya mempertahankan prinsip perundangan syariah.
Jabatan itu berkata hukuman sebatan itu tidak sama sekali membelakangan hak kaum wanita walaupun Malaysia belum “mengiktiraf” sepenuhnya Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw).
Perkara itu dinyatakan dalam dokumen sembilan halaman bertajuk “Polemik Hukuman Sebat Ke Atas Kartika Sari Dewi Sukarnor”.
Ia salah satu daripada lapan dokumen dimuatkan dalam laman web Jakim bagi menyediakan maklumat berhubung pelaksanaan hukuman sebat terhadap wanita Islam bagi membolehkan masyarakat mendapat penjelasan berhubung perkara itu.
Dokumen itu menambah, sehingga kini meskipun Malaysia masih belum membuat sebarang deklarasi ataupun masih lagi di peringkat “reservation” dalam menandatangani konvensyen itu, prinsip kesaksamaan hak wanita negara ini tetap tidak tergugat.
“Yang nyata, perundangan syariah di negara ini sama sekali tidak membelakangi prinsip tersebut apabila hukuman sebat syariah dijatuhkan ke atas Kartika adalah sama seperti kes-kes sebelumnya tanpa mengira jantina,” kata dokumen itu.
“Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai keanggotaan Malaysia di Cedaw sejak tahun 1995,” jelas dokumen tersebut.
Dikenali sebagai undang-undang antarabangsa hak asasi bagi wanita, konvensyen yang dianggotai oleh lebih 180 negara itu memberi penekanan terhadap perlindungan dan kesaksamaan hak wanita dalam perundangan, ekonomi, sosial dan kemasyarakatan di negara-negara anggotanya.
Penerimaannya di Malaysia adalah pada pada 5 Julai 1995 di mana terdapat beberapa bahagian isi kandungannya yang direservasikan kerana didapati bercanggah dengan hukum syarak dan sebahagiannya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan percanggahan tersebut, Malaysia telah membuat reservasi ke atas lima artikel iaitu Artikel 2(f), 5(a), 7(b), 9 dan 16.
Seterusnya, pada 1998, kerajaan menarik balik reservasi ke atas Artikel 2(f), 9(1), 16(b),(d),(e) dan (h).
Dengan penarikan balik reservasi ke atas beberapa artikel tersebut, kini hanya tinggal Artikel 5(a), 7(b), 9(2),16 1(a),(c), (f) dan (g) dan 16 (2) yang masih dikekalkan reservasi.
Dokumen Jakim itu juga menambah, dari perspektif domestik, tidak dinafikan terlalu banyak respons berbau negatif dari sesetengah pihak mahupun individu berkaitan isu ini.
“Ia juga berkata, harus difahami dan diingati sebaiknya bahawa kekurangan ilmu pengetahuan di dalam sesuatu bidang menjadi faktor fitnah dalam berkata-kata jika tidak kena pada tempatnya.
“Yang pasti, pihak yang bertanggungjawab telah memberi penjelasan sebaik mungkin mengenai isu ini dan telah melaksanakan perundangan Islam tanpa membelakangi prinsip-prinsip demokrasi dan Perlembagaan negara kita.
“Selebihnya adalah bergantung kepada penerimaan masyarakat dalam pelaksanaan hukuman tersebut,” katanya lagi.
Dokumen-dokumen lain yang dimuatkan Jakim termasuklah “Artikel Sebat Untuk pengajaran, Hukuman Sebat Dalam Jenayah Syariah — Realiti Pelaksanaan”, “Kertas Kerja Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah — Masalah Dan Penyelasaian”, “Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah — Cabaran Dan Halangan”, “Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Sebat Bagi Kes Jenayah Syariah — Satu Pandangan”, “Perbandingan Di Antara Sebat Syariah Dan Sebat Jenayah Sivil” dan “Senarai Kesalahan Yang Dikenakan Hukuman Sebatan Syariah”.
Dokumen berkaitan dengan Kartika dikeluarkan susulan hukuman sebatan yang dikenakan ke atas bekas model sambilan itu tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi Syariah berhubung kesalahan minum arak.
Kartika menghadapi Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah di Pekan kelmarin, dijangka akan menghuraikan soal pelaksanaan hukuman sebatang ke atas bekas model sambilan itu.
Ia juga menjelaskan tempat pelaksanaan hukuman sebat, saksi, masa pelaksanaan hukuman, rotan, bahagian anggota yang disebat, cara pukulan sebat, pakaian, kedudukan pesalah ketika sebat dilaksanakan, pemeriksaan oleh pegawai perubatan, penangguhan hukuman, klausa pengecualian, pegawai sebat dan baki hukuman sebatang yang dihentikan.
Akhir bulan lalu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata pihaknya akan menyediakan maklumat berhubung pelaksanaan hukuman sebat terhadap wanita Islam menerusi laman webnya bagi membolehkan masyarakat mendapat penjelasan berhubung perkara itu.
Kata Wan Mohamad, di peringkat negeri, pihak berkuasa negeri mampu mengendalikan program penjelasan seperti yang telah diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan