"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Elia Suhana tidak dibenar ziarah Sultan Kelantan pagi ini

Mohd Zuharman

KOTA BARU, 13 Mac: Elia Suhana Ahmad, isteri kedua Sultan Kelantan, tidak dibenarkan melawat Sultan Ismail Petra yang berangkat pulang dari rawatan di Singapura minggu lalu, di Istana Mahkota pagi ini.

Elia Suhana yang amat terkilan kehadirannya sebagai seorang isteri terus mendapat halangan berkata, “sebagai isteri saya juga mempunyai hak untuk berada di sisi suami.”

“Dan saya hadir pada hari ini berasaskan perintah mahkamah yang telah mengeluarkan perintah kebenaran kepada saya melawat Tuanku setiap Sabtu hingga pagi Isnin.

“Semua maklum, perintah mahkamah masih berkuat kuasa.

“Saya hanya ingin melawat Tuanku sahaja,” kata Elia Suhana.

Bagaimanapun beliau mendoakan agar Sultan Kelantan terus sihat.

“Saya akan doakan kesihatan Tuanku, semoga Tuanku sentiasa mendapat rahmat Allah SWT,” kata Elia Suhana selepas kehadirannya untuk melawat Sultan Ismail Petra di Istana Mahkota pagi ini gagal.

Elia Suhana dan peguamnya Fakhrul Azman Abu Hassan bersama beberapa rombongannya tiba di Istana Mahkota, Kubang Kerian kira-kira pukul 7.30 pagi ini terpaksa berlalu pergi 15 minit kemudian apabila tidak dibenarkan masuk melawat Sultan Kelantan.

“Maaf encik, saya diarahkan Raja Perempuan, tidak benarkan masuk. Saya hanya menjalankan perintah,” kata pengawal pintu masuk Istana Mahkota walaupun ditunjukkan surat kebenaran mahkamah.

Perancangan awal Elia Suhana untuk melawat Sultan Kelantan, yang dijadualkan 20 Mac ini, terpaksa diubah dan dipercepatkan kerana sebab-sebab tertentu.

Fakhrul Azman memberitahu akan membawa anak guamnya itu pada 20 Mac ini.

Pada 21 Feb lalu, Elia Suhana memfailkan saman menghina mahkamah ke atas Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid kerana ingkar mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah yang telah membenarkan beliau menziarahi baginda pada setiap Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu.

Mahkamah membuat keputusan tersebut dengan membenarkan Elia Suhana melawat Sultan Kelantan pada 4 Feb lalu yang ketika itu baginda sedang menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Sementara itu Fakhrul Azman ketika ditemui berkata “kita akan hantar notis tunjuk sebab, kerana ini bercanggah, maksudnya langgar perintah mahkamah.”

Sultan Kelantan telah berkahwin dengan Elia Suhana pada 31 Dis 2007.

Laporan Bernama empat hari lepas menyebut Sultan Ismail melalui peguamnya Zainul Rijal Abu Bakar telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap Elia Suhana.

Zainul Rijal berkata beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai.

Mengikut laporan, Zainul Rijal mendakwa beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai yang telah dilafazkan baginda pada 12 Feb lalu di hadapan beberapa orang saksi.

Ia difailkan oleh seorang wanita bernama Nik Rohana Abdul Rahman.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: