"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Petugas PR kecewa sikap Zulkifli Noordin

Mohd Sabri Said
KULIM-BANDAR BAHARU, 11 Mac:
Rata-rata mereka yang pernah bertungkus lumus bekerja memenangkan Zulkifli Noordin pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, kecewa dengan sikap Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, yang sering dilihat menentang pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat.

Seorang petugas, Mohd Halizal Alias iaitu bekas Setiausaha PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu mendedahkan, Zulkifli sewaktu menjadi calon atas tiket PKR semasa PRU-12 lalu hanya datang sehelai sepinggang.

Zulkifli, tegasnya perlu mengingat kembali, siapa yang telah bertungkus lumus memenangkan beliau pada pilihan raya itu.

"Beberapa orang termasuk saya adalah orang yang bertanggungjawab berkempen untuknya.

"Kami melakukan apa sahaja demi rakyat yang bersepakat menolak BN, " katanya dengan nada kecewa.

Kekecewaan terhadap Zulkifli, jelasnya bukan baru kerana ahli parlimen itu juga tidak memberi kerjasama sewajarnya dalam usaha menangani masalah di kawasan beliau.

"Zulkifli tidak pernah turun bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim, Lim Soon Nee dan Bandar Baru, Ustaz Yaacob Husein ke Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah di Pejabat Daerah Kulim (MDK)," katanya lagi.

Selain itu, Zulkifli juga didakwa jarang dilihat melakukan tinjauan ke kawasan apatah lagi bersama orang kampung dalam aktiviti kemasyarakatan yang diadakan.

"Jika turun pun beliau sering melakukanya secara persendirian atau senyap tanpa melibatkan kepimpinan PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat cabang dan ranting," tambahnya lagi.

Malah jelas Halizal, pejabat ahli parlimen itu di Taman Kota Kenari, Kulim pun telah lama ditutup kerana kerani atau pembantu yang ditugaskan dikatakan tidak dibayar elaun.

Zulkifli juga, katanya pernah berjanji untuk berkhidmat sebaik mungkin sebagai Ahli Parlimen semasa berucap di majlis meraikan kemenangan PR di Dewan Datuk Fadzil Noor, Serdang dahulu.

"Beliau kena ingat kemenangan yang dikecapi atas tiket PKR pada pilihan raya ke 12 lalu merupakan amanah dari Allah SWT bagi mengajar BN yang angkuh dan zalim, bukan untuk bersuka ria atau melanggari amanah dengan bertindak memporak perandakan parti yang memberinya peluang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, " ujarnya.

Pada PRU ke-12 lalu, Zulkifli menang dengan majoriti 5,583 undi.

Beliau mendapatkan 22,255 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang memperolehi 16,672 undi.

Kemenangannya kemudian dipertikaikan calon Umno/BN, Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang mengemukakan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Alor Star.

Namun pada 13 Oktober 2008, Abdul Aziz secara mengejut telah menarik balik petisyen pilihan raya kawasan itu walaupun keputusannya dijangka akan memihak kepadanya.

Ekoran itu, timbul spekulasi Zulkifli akan menyertai Umno pada waktu itu.

Tiada ulasan: