IZMAS
ADA dua insiden besar dan signifikan sudah berlaku yang mencemar kedaulatan undang-undang di negara ini. Pertama, mengenai kapal asing yang bermaharajalela memindah minyak secara haram di perairan kita walaupun sedang menghadapi hukuman mahkamah atas kesalahan yang sama.
Kedua, penyeludupan pasir yang masih berterusan ke Singapura dan keengganan serta sikap penguasa negara jiran itu yang seolah-olah mengalakkan penjualan pasir secara haram walapun sedar pasir tidak boleh diimport dari Malaysia.
Sebuah kapal asing, MT Eastern Star yang berdaftar di Tirawa, Kiribati pernah ditahan pada 25 Januari dan 12 Februarai lalu kerana menjalankan kegiatan memindah minyak secara haram di perairan Johor. Ketika dua kesalahan yang sama masih dibicarakan di mahkamah, kapal itu ditahan lagi di perairan Kota Tinggi atas kedegilan pengendali kapal itu. Ketika pemeriksaan dibuat didapati kapal berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen untuk melakukan pemindahan minyak dari pihak berkuasa dari negara ini.
Walaupun kes melibatkan kapal itu masih di mahkamah dan dokumen kapal itu di pegang oleh Jabatan Laut Wilayah Selatan, namun mereka masih bergerak bebas dari Perairan Tanjung Piai ke Perairan Pengerang seolah-olah tidak takut dengan undang-undang negara ini.
Kedua-dua kapal dan anak kapalnya berjumlah 29 orang dari berbagai warganegara sudah ditahan. Mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara dua tahun jika atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Perbuatan pengendali kapal itu menimbulkan tandatanya besar di kalangan pelaksana undang-undang di negara ini. Mengapa mereka masih berani menjalankan kegiatan memindah minyak di perairan kita walaupun sedar kes mereka sedang dibicarakan di mahkamah? Apakah mereka tidak gentar dengan undang-undang negara ini dan boleh membayar denda yang dikenakan asalkan dapat meneruskan kegiatan haram itu di perairan kita?
Atau adakah pegawai dan pihak tertentu di negara ini yang melindungi aktiviti mereka sehingga mereka tidak gentar melakukan kesalahan yang sama berulangkali? Beberapa pihak berpendapat, tuan punya kapal itu boleh membayar berapa saja jumlah denda yang dikenakan asalkan tidak dipenjara dan mengulangi kesalahan sama memindahkan minyak di perairan kita yang dikatakan kurang berisiko dibandingkan dilakukan di negara lain seperti di Singapura atau Indonesia.
Tuanpunya kapal dikatakan sedar jika mereka melakukan kesalahan di perairan negara-negara tersebut, mereka boleh dihukum dengan hukuman lebih keras. Ada pihak di sini berpendapat, hukuman lebih keras patut diperkenalkan seperti jumlah denda yang mencecah jutaan ringgit dan penjara lebih lama seperti 10 atau 15 tahun bagi mengelakkan kesalahan itu berulang.
Setengah pihak malah mendesak undang-undang harus dipinda supaya kapal-kapal yang melakukan kesalahan itu di perairan negara dirampas dan syarikat kapal terlibat disenaraihitam dari melalui di perairan kita untuk jangka waktu tertentu atau buat selama-lamanya mengikut keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Dua bulan lalu, negara dikejutkan dengan episod penjualan pasir secara haram ke negara jiran Singapura yang melibatkan pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan tokoh politik di Selangor, Johor, Perak dan Pahang. Menteri Kerjaraya menganggarkan lebih kurang 500 hingga 700 buah lori dikatakan memasukki Singapura setiap hari membawa pasir tanpa permit sah dan pengetahuan agensi kerajaan yang didakwa merugikan kerajaan jutaan ringgit dalam bentuk berbagai cukai.
Kebanyakan penyeludup pasir ini didakwa mengorek pasir di tanah kerajaan tanpa kebenaran yang mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan. Mereka dilapurkan menipu pihak kastam dengan deklarasi menggunakan dokumen pasir silika untuk membenarkan eksport pasir asli ke negara jiran.
Beberapa pegawai kerajaan dan ahli perniagaan sudah pun didakwa di mahkamah atas kesalahan terlibat secara langsung dalam kes penjualan dan penyeludupan kepada pihak asing dengan harga murah. Beberapa orang ahli politik juga sedang disiasat dan bakal dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menggunakan kedudukan istimewa mereka untuk melakukan penyelewangan.
Terbaru berlaku di Minyak Beku, Batu Pahat, sebuah kuari didakwa mengorek pasir sejak sekian lama untuk dieksport ke Singapura menggunakan jalan laut. Yang menghairankan, perbuatan mereka ini cuba disembunyikan oleh pihak berkuasa tempatan yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan tuan punya kuari.
Yang menjadi persoalan, walaupun kerajaan sudah mengharamkan penjualan pasir ke negara asing, tetapi ada pihak yang masih berani melakukan kegiatan haram itu? Kenapa pihak berkuasa di Singapura menutup mata sebelah dan tidak mahu bertindak menyekat penjualan pasir secara haram memasukki negaranya sebagai menghormati undang-undang negara ini?
Dari dua episod yang sudah berlaku menunjukkan pihak asing dan negara luar seolah-oleh tidak gentar dan sengaja memperlekeh undang-undang dan peraturan negara ini. Warga tempatan bersekongkol terlibat sama kerana dikatakan mendapat upah sogokan yang lumayan setiap bulan. Warga asing pula mengaggap undang-undang di negara ini boleh dibeli melalui pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan politik yang rasuah dan tidak amanah.
Mereka boleh membayar wang rasuah dengan berapa banyak jumlah sekalipun kerana ada pegawai yang mudah dibeli asalkan matlamat mereka tercapai. Pasir amat diperlukan di Singapura kerana projek-projek pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di serata negara terutama di kawasan perjudian dan peranginan Marina Bay.
Pasir yang diseludup dari Malaysia lebih murah jika dbandingkan dengan harga pasir yang cuba diimport dari Thailand, Kemboja atau Vietnam. Menurut sumber, kos pembangunan di kawasan mewah strategik Marina Bay sudah melonjak 20 hingga 30 peratus akibat kekurangan pasir dan kos pembelian yang tinggi.
Pemerintah Indonesia sudah lama melarang penjualan pasir ke Singapura kerana dasar negara jiran itu yang menyekat pemulangan semula wang deposit pedagang keturunan Cina Indonesia yang menyimpan berbillion USD secara haram di bank-bank utama di Singapura. Indonesia bertindak balas dengan tidak membenarkan Singapura membeli pasir yang banyak berlambak di pulau-pulaunya yang berdekatan dengan negara jiran itu. Singapura dikatakan sejak sekian lama membeli pasir dari Indonesia dengan harga lebih murah tanpa masalah.
Namun akibat sikap kiasu dan mementingkan diri sendiri, negara jiran kecil itu masih berdegil enggan memulangkan semula wang haram warga Indonesia keturunan Cinanya walaupun beberapa rundingan sudah dilakukan untuk menghuraikan kekusutan itu. Pemerintah Indonesia dibawah Presiden Susilo Bambang Yudiyhono telah ‘mengajar’ dan memulangkan paku buah keras kepada pemimpin Singapura dengan tindakan tegasnya tidak memperduli permintaan pemimpin negara jiran itu.
Malah dikatakan syarikat korporat besar Singapura dihalang dari membeli saham dalam syarikat milik tempatan sebagai membalas tindakan kejam Singapura yang enggan memulangkan semua wang yang tersimpan secara haram di bank-bank terbesarnya yang didakwa boleh menyumbang besar kepada projek pembangunan di Indonesia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan