Subky Latif
UNTUK kesekian kalinya UMNO dan Barisan Nasional bercakap tentang perlunya calon yang boleh menang diletakkan dalam PRU 13 yang bila-bila saja sekarang.
Pengajaran yang dialami UMNO/BN dalam PRU 12 Mac 2008 dulu banyak mempengaruhinya membangkitkan isu calon yang boleh menang itu.
Mungkin ia satu muslihat bagi memudahkan BN dan UMNO mengatasi perebutan calon sesama UMNO dan sesama parti kerabat BN.
Apa cara BN untuk menolak lebih ramai calon MIC dalam pilihan raya akan datang atau untuk mengenepikan tuntutan PPP supaya diberi tambahan calon buat partinya?
Atau ia juga boleh dijadikan satu muslihat bagaimana UMNO hendak mengambil kerusi-kerusi yang diberikan kepada bukan UMNO di kawasan yang majoriti Melayu.
Dengan tektik ini memudahkan pimpinan UMNO meletakkan calon yang mereka kehendaki. Mana-mana calon yang tidak dikendaki mudah diketapi atas alasan bagi memastikan calon yang boleh menang saja yang dipilih.
Mana-mana ketua UMNO Bahagian yang tidak terpilih dan mana wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula nanti logiknya mereka diragui boleh memenangi pilihan raya itu.
UMNO dan BN dengan sendirinya terpaksa menerima keadaan itu kerana masing-masing mahu memastikan Barisan bukan saja dapat mempertahankan kerajaannya yang ada bahkan dapat merampas semula kerajaan yang hilang dulu.
Isu ini bukan baru bagi UMNO tetapi sudah berbangkit menjelang Pilihyan Raya Kecil Hulu Selangor dua tahun lalu.
Pemimpin MIC ketika itu, Samy Vellu mempertahankan supaya Timbalan Presidennya, Palanivel yang kalah di situ tahun 2008 dicalonkan semula. Tetapi UMNO Hulu Selangor yang mahukan kawasan itu diberi kepada UMNO memberikan alasan Palanivel yang sudah kalah itu tidak boleh menang lalgi.
Komprominya Palanival ditolak tetapi kerusi itu dikekalkan untuk MIC dan menggantikannya dengan calon lain. Kamalnathan dipercayai boleh jadi calon boleh menang. Benar dia menang.
Ini menguatkan hujah UMNO supaya calon yang boleh menang saja yang letakkan kali ini. Jika UMNO mahu memastikan ia menang semula, maka UMNO mesti menerima teori itu.
Ini juga bagi memudahkan BN menolak permintaan PPP mahu satu calon di Kelantan. Kalau UMNO pun payah menang di Kelantan, maka apa lagilah PPP sekali pun calonnya Melayu.
Apa juga tektik UMNO untuk menghadapi pengikutnya, ia adalah masalahnya.
Tetapi isu calon boleh menang saja yang dipilih adalah menandakan gelabah parti itu untuk menghadapi pilihan raya masa akan datang. Ia menandakan UMNO tidak lagi perkasa. Dulunya UMNO itu adalah perkasa seperti besi waja. Ia boleh letak siapa saja.
Di zaman keagungan UMNO dulu, ia letak batu dan kayu sebagai calon, ia boleh menang. Dalam tahun 1959 di kampung saya di Sitawan. Perikatan meletakkan seorang MCA yang tidak terkenal, cakap Melayu tidak boleh dan cakap Inggeris pun tak boleh. Bagaimana dua hendak bercakap di Parlimen atau DUN?
Dia bukan calon yang disenangi MCA. Tetapi UMNO mahu dia. Kerana UMNO memang kuat, tunggul pun menang.
Seperti Nik Abdullah Arshad ADUN PAS di Kelantan yang ditahan di bawah ISA awal tahun 1960. Dia bertanding dari khemah tahanan. Tukang kempen membawa songkoknya di setiap ceramah. Hanya membagi tahu Nik Abdullah tidak dapat datang kerana ditahan. Hanya songkoknya yang boleh didatangkan. Dia menang.
Mengapa? Partinya kuat. PAS bawa beberapa calon dari luar Kelantan. Ramai pengundi tak kenal mereka. Tetapi kerana PAS kuat, sekalian mereka menang.
Masa itu sudah tidak ada pada UMNO. Tetapi PAS di Kelantan dipercayai dapat mengekalkan calon dari luar. Mereka dipercayai masih boleh menang.
BN dipercayai sukar menjadi calon MCA dan Gerakan yang boleh menang di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Tiada sukarelawan MCA sedia ke Pulau Pinang. MCA dan MIC lebih senang dicalonkan di kawasan majoriti Melayu. Dengan UMNO yang belum pulih sekarang adalah satu risiko meletakkan MCA dan MIC bertanding di kawasan Melayu.
Kalau UMNO tidak dapat memastikan calon Melayu sendiri boleh menang di kawasan majoriti Melayu, dalam suasana perkaum begitu mendadak dalam UMNO dan MCA, payah diduga MCA dan MIC boleh menang seperti dulu.
Inilah sebabnya UMNO memberi isyarat awal calon yang boleh menang saja yang akan dipilih bertanding.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan