Mohd Sayuti Omar
Duri yang mencocok punggung Umno sejak kebelakangan ini telah tercabut dengan sendirinya apabila Kadir Sheikh Fadzil telah mengumumkan keluar dari parti berkenaan hari ini. Surat keluar dari Umno dihantar kepada Setiausaha Agung Umno hari ini.
Tindakan bekas menteri penerangan itu dikatakan menjadi duri dalam daging kepada Umno dengan sikapnya mengkritik parti berkenaan. Kritikan yang tidak dapat diterima Umno ialah berhubung dakwaan Kadir yang Umno membeli undi dalam pilihan raya lalu.
Sehubungan itu Umno sedang mengumpul maklumat untuk mengambil tindakan ke atasnya. Mungkin Kadir yang juga timbalan presiden Amanah Merdeka sudah dapat menghidu yang Umno akan bertindak ke atasnya menyebabkan beliau mengambil tindakan mendahului Umno meninggalkan parti yang disertai sejak tahun 1956.
Persoalan kini ke manakah Kadir selepas ini? Apakah dia akan menyertai salah satu parti gabungan Pakatan Rakyat ataupun kekal sebagai ahli politik tidak berparti?
Sehubungan tindakan itu tanda tanya juga timbul mengenai nasib presiden Amanah, Tengku Razaleigh Hamzah. Apakah Tengku Razaleigh juga akan mengambil tindakan sama dengan Kadir meninggalkan Umno?
Ada kemungkinan? Khabarnya Umno Gua Musang akan menolak sekiranya BN masih mencalonkan Tengku Razaleigh bertanding dalam pilihan raya akan datang. Beberapa hari lalu beberapa ketua cawangan Umno dan pemimpin budak-budak dalam bahagian Gua Musang membuat kenyataan mendesak Tengku Razaleigh tidak lagi dicalonkan.
Sekiranya Tengku Razaleigh Hamzah juga mengambil tindakan sama ia memberi pukulan hebat kepada Umno menjelang pilihan raya. Belum pernah berlaku dalam sejarah Umno pemimpinnya meninggalkan parti menjelang pilihan raya.
Tengku Razaleigh juga dianggap sebagai duri dalam daging bila mana lantang menyuarakan kritikan atau pandangan yang tidak menyeronokkan Umno seperti meminta royaliti petroleum yang digali di perairan Kelantan dikembalikan kepada Kelantan. [wm.kl.1:25 t/hari 19/03/12]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan