"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Nama saya hilang dalam daftar pemilih’

KUALA LUMPUR 16 Mac: Seorang pengundi membuat laporan polis berhubung ‘kehilangan’ namanya dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia walaupun beliau merupakan pengundi berdaftar.
 
Pengundi itu, Ho Heng Thong (gambar) membuat laporan di balai polis Kota Damansara 10 Mac lalu ekoran isu itu.

“Setelah beberapa kali membuat semakan melalui telefon dan internet, saya dapati nama saya sudah tiada, padahal sebelum ini saya pernah mengundi beberapa penggal.

“Saya merasa pelik kerana ada sesuatu yang tidak kena dengan SPR dan tujuan saya membuat laporan ini agar SPR membuat tindakan lanjut,” katanya dalam laporan itu.

Sementara itu, dalam kunjungannya ke pejabat KeadilanDaily hari ini, beliau meminta agar KeadilanDaily mendedahkan penyelewengan itu bagi memastikan haknya selaku pengundi yang sah dipertahankan.

“Selepas didedahkan kelak, saya mahu tahu adakah individu lain turut teraniaya seperti dalam kes ini dan mengapa nama saya tiada dalam daftar SPR sedangkan pernah mengundi hampir setiap kali pilihan raya umum termasuk 2008,” katanya yang ditemani bekas Ketua Penerangan Pemuda Gerakan Selangor yang kini anggota KEADILAN, Delren Douglas.
 
Ho Heng mendakwa, pada PRU 2008, beliau merupakan pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanjan dan Parlimen Subang dengan kedua-dua kerusi itu dimenangi KEADILAN melalui Elizabeth Wong dan R. Sivarasa.

Kali terakhir beliau memeriksa nama dalam daftar SPR pada 9 Mac lalu sebelum membuat laporan polis keesokan harinya.

“Saya terdetik mahu periksa nama selepas membaca artikel dalam sebuah akhbar mengenai sistem SPR yang menjadi pertikaian ramai sebelum mendapati nama saya tiada.

“Peliknya, isteri saya yang juga merupakan pengundi di DUN dan Parlimen sama masih ada nama dalam rekod SPR walaupun kami bersama-sama mengundi di kedua-dua kawasan itu pada PRU lalu,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap SRP segera menyelesaikan masalah dihadapinya itu.
“Saya belum memeriksa dengan SPR kerana bimbang jika saya merujuk pada SPR dan tiba-tiba nama saya mereka masukan, maka saya boleh didakwa kerana membuat laporan palsu dan sebab itu saya mahu akhbar ini dedahkan dahulu,” katanya.

Sementara itu, semakan KeadilanDaily dilaman SPR juga mendapati nombor kad pengenalan yang dimasukan dalam web itu menunjukan agensi kerajaan itu tiada rekod mengenai beliau.

Tiada ulasan: