"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib dengan lampu Aladdin BN

SHIRZAD LIFEBOAT
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh0ywPvyAjFhpkDMffNhOs_DV4jj-j46u3pIa9kIG8NIT5oohwg4BgOoTYtYaCPfKF51EBBPdDgFNC5e3a56JzLZM8DBSJIpn2fUSGBK5K5L6iLPXo8RJjjE4qJSx9XHDDuM23X2ieG6ec/s400/aladdinlamp2.jpg
Rakyat dipaksa yakin betapa Najib Tun Razak mempunyai kuasa jauh lebih hebat daripada jin lampu ajaib Aladdin. Gosoklah sebanyak mana sekalipun lampu BN, Najib akan menunaikan segala keinginan – akan muncul transformasi demi transformasi.

JIKA ada caranya, tentu sekali Umno-BN memilih untuk mengadakan pilihan raya umum lima lagi.

Namun, secara ‘default’, ia terpaksa juga diadakan .Masa sudah kesuntukan. Jauh daripada bersedia, gabungan parti yang asalnya ditubuh pada 1951 itu sedang dilanda fenomena ‘kereta api kehabisan wap’

Penggunaan tagline ‘undilah BN kerana ia berbudi kepada rakyat’ dan segala variasinya yang menjadi cap kempa atau ‘hallmark’ kepada gabungan parti itu telah sama sekali kehilangan daya tarikannya setelah dilewah guna untuk 12 pilihan raya umum menjangkau tempoh 53 tahun.

Malah tanda dagangan atau ‘trademark’ yang dipatenkan oleh Umno, misalnya ‘ketuanan Melayu’, ‘Umno itu Melayu dan Melayu itu Umno’ dan seumpamanya terpaksa menyerah kepada ujian masa.

Nampaknya kata kunci untuk tagline generasi baru parti itu ialah ‘transformasi’. Perkataan itu kini meniti di bibir setiap pemimpin Umno-BN sekerap menyebut ‘makan nasi’.

Apakah makna semuanya ini? Mudahnya ia bermakud, tidak seperti Perdana Menteri dan Pengerusi BN lalu, rakyat dipaksa yakin betapa Dato’ Seri Najib Tun Razak mempunyai kuasa jauh lebih hebat daripada jin lampu ajaib Aladdin.

Gosoklah sebanyak mana sekalipun lampu BN, Najib akan menunaikan segala keinginan – akan muncul transformasi demi transformasi.

Itu cuma kiasan. Tapi dalam bahasa harian, ia bermakna sekiranya hari ini anda berhempas pulas dan mengikat perut untuk hidup walaupun berpendapatan RM5,000 sebulan, penderitaan ini akan segera ditransformasikan oleh Najib. Bukankah kalau dulu rakyat Malaysia hidup menderita dan dilingkari serta dibelit hutang dan pendapatan yang memanjang tidak mencukupi, hari ini di zaman Najib kita semua hidup senang lenang, bak kata pepatah Melayu, ‘tendang tangga, goyang kaki.’

Itu pun belum apa-apa. Andaikata, jika tuah atau cara-cara tidak konvesional lain digunakan (dibaca konvesional bagi Umno-BN ) bagi mengekalkan BN bertaktha dan bermaharajalela di Putrajaya, maka pasti sudah setiap rakyat Malaysia akan menikmati hidup seperti dalam kayangan.

Namun jalan kekayangan bagi rakyat Malaysia masih lagi begitu di awang-awangan seperti kaburnya dan berbalamnya peluang BN untuk mempertahankan kedudukan (setidak-tidaknya dengan cara paling bersih).

Malah realitinya kini buat BN ialah betapa ‘kehidupan bukan lagi ibarat berbaring di atas tilam mawar’.

Selain daripada tagline lama sudah tidak dapat digunakan lagi untuk cuba mengembalikan kepercayaan rakyat dan tagline generasi baru, ‘transformasi’ dianggap tidak lebih dari kisah dongeng pari-pari (fairy tale), setiap usaha untuk menunjukkan kepada rakyat betapa hebatnya Najib dan BN, hanya diganggu oleh penemuan dan pendedahan kebobrokan demi kebobrokan yang dilakukan oleh kerajaan BN secara kolektif ataupun yang dilakukan oleh pemimpin individu parti berkenaan.

Musibah yang menimpa Umno-BN tidak hanya berakhir di situ. Segala kenyataan yang dibuat oleh mereka yang cuba menegakkan benang basah, hanya membuktikan betapa Umno-BN semakin kalut dan keliru.

Misalnya, tindakan-tiadapilihan- lain Dato’ Seri Shahrizat Jalil mengeluarkan kenyataan beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet. Tentu sekali setiap rakyat tahu beliau bukan meletakkan jawatan tetapi jawatannya terletak secara automatik apabila tempoh menjadi Senator di Dewan Negara berakhir pada 8 April ini.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Rafidah Aziz, mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga merupakan mantan Ketua Wanita Umno (jawatan parti yang disandang oleh Shahrizat kini), “Tidak ada jawatan yang perlu diletakkan kerana dari segi undang-undang beliau bukan lagi seorang menteri pada 8 April.

Meletakkan jawatan bermakna melakukannya dengan serta-merta tetapi dia masih lagi seorang senator... Maka tida

k ada apa-apa pengorbanan.” Begitulah kenyataan seorang pemimpin Umno kepada seorang pemimpin Umno dan kepada sekalian pemimpin Umno.

Anda tak perlu menjadi seorang saintis roket untuk memahami apabila tempoh sah anda memegang jawatan telah berakhir, maka sampailah sudah masanya anda mengucapkan salam terakhir kepada jawatan berkenaan dan tidak ada kena mengena dengan meletakkan jawatan atau pengorbanan.

Tapi di mata pemimpin Umno lain, yang putih boleh jadi hitam dan yang hitam boleh jadi merah jambu.

Justeru, bagaimanakah Umno tidak dianggap sebagai tidak layak dan tidak berkemampuan mentadbirkan negara sekiranya perkara semudah ini pun tidak boleh dibezakan. Dari pragmatisme ke hipokrasi?

Barangkali. Apa pun, BN tetap bermatianmatian untuk menyelamatkan keadaan.

Masa sudah kesuntukan. Menurut perkiraan BN sendiri, PRU13 sepatutnya sudah diadakan tahun lalu lagi. Tapi... Hmm... Ada-ada sahaja.

Justeru suami Shahrizat perlu didakwa (walaupun dakwaan cuma melihatkan RM50 juta daripada 250 juta) bagi meredakan keadaan dengan harapan Pembangkang dan rakyat akan senyap.

Begitu juga dengan pemanggilan tidak semena-mena Tun Ling Liong Sik untuk membela diri atas tuduhan menipu kerajaan dalam kes PKFZ atau penolakan usul Apco dan usul menyiasat tuduhan konspirasi kuasa ke atas mantan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara di Dewan Rakyat.

Seolah-olah semua ini tidak mencukupi, timbul pula isu perbelanjaan hampir RM0.5 juta untuk pertunangan anak Najib dan RM80,000 untuk sambutan hari jadi beliau. Tak kisahlah Najib yang bayar sendiri atau sebaliknya, apa yang penting, pemimpin Umno-BN masih lagi hidup bagaikan di alam cerita pari-pari.

Jika tidak begitu, masakan ada keluarga menteri Umno yang boleh membeli kondo One Menerung di Bangsar, Kuala Lumpur. Bukan, satu tapi dua unit. Semuanya ihsan lampu Aladdin BN dengan jinnya yang begitu berkuasa dan mengakui boleh membawa kita ke alam kayangan.

Tiada ulasan: