Hafizan Taib
Gambar Asri Sapfie
KETIKA Fatimah Abdullah berkahwin dengan Muhammad Javed Iqbal, seorang pemuda Pakistan, beliau belum memeluk Islam sebaliknya kekal dengan pegangan agama asal.
Mereka melangsungkan perkahwinan atas perintah mahkamah di Filipina tahun lalu lantaran bibit cinta tumbuh mekar selepas setahun perkenalan melalui media sosial.
Pun begitu, Fatimah atau nama asalnya, Jaequelin, kemudian mendapati hidupnya penuh dugaan dalam menyesuaikan diri dengan perkahwinan itu.
Namun, beliau sedaya upaya cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya.
Dengan anutan agama asal masih mempengaruhi diri, ditambah tentangan kedua-dua keluarga yang tidak menyetujui perkahwinan mereka, apatah lagi beliau masih dalam proses mengenali suaminya.
“Keluarga saya tidak menerima Muhammad. Begitu juga pendirian keluarga Muhammad terhadap saya ketika suami membawa saya ke Pakistan.
“Kami meneruskan kehidupan dengan menempuh pelbagai dugaan beberapa bulan di Pakistan. Kami tekad untuk bersama selain menghormati pegangan agama masing-masing.
“Peluang kerja yang diperoleh Muhammad di Malaysia membuka ruang buat kami untuk mengharungi hidup baru,” katanya yang berusia 25 tahun.
Dengan majoriti masyarakat Malaysia beragama Islam, Fatimah kian mendekatkan diri kepada Islam melalui kursus dan kelas agama, selain bimbingan suami hingga akhirnya memilih menjadi seorang wanita Muslim.
Beliau melafaz Dua Kalimah Shahadah di Majlis Shahadah di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Disember tahun lalu bersama dua lagi saudara baru, Terry Fa’iz Kenneth Brougham dari United Kingdom dan Muhammad Nor Faizal Abdullah (Sabah).
Fatimah sebelum ini, penganut Roman Katholik mengakui hidupnya berubah selepas mengenali Muhammad yang menyedarkannya akan keesaan Allah dan membantunya mendekati Islam.
“Perkenalan di internet yang mulanya sekadar suka-suka akhirnya menjadi serius bila terjalin hubungan cinta antara kami.
“Saya gembira mengenali Muhammad. Dari situ, saya menyelami kehidupan seorang Muslim yang begitu berbeza dengan kehidupan yang saya tempuhi selama ini.
“Saya mengalami banyak perubahan positif dan menguatkan azam untuk terus mendekati Islam yang menghadirkan sinar baru dalam hidup saya,” katanya.
Bagi Muhammad yang bermazhab Hanafi, satu daripada empat cabang mazhab As Sunnah Wal Jamaah, yang mengizin perkahwinan beza agama, berpendapat perbezaan agama, apatah lagi usia bukan halangan sesebuah perkahwinan.
(Bagaimanapun, Malaysia yang berpegang kepada mazhab Shafie tidak membenarkan perkahwinan berbeza agama)
Beliau yakin Allah sudah menetapkan jodoh mereka biarpun sebelum ini terpisah jauh antara Pakistan dan Filipina sebelum ‘meredah’ lautan luas bertemu Fatimah di Filipina dan mengahwininya.
“Allah makbulkan doa saya mengahwini Fatimah dan sekarang dia juga seorang Islam. Saya gembira dengan apa yang ditempuhi biarpun pada awalnya terpaksa menghadapi tentangan keluarga.
“Kini, kami boleh tumpu perhatian menjalani hidup berdua dan mempelajari Islam dengan lebih mendalam.
“Dengan hubungan mesra masyarakat tempatan, saya yakin hidup bahagia bersama Fatimah dan menjadi pasangan Muslim yang baik,” katanya,
Muhammad yang kini bertugas di sebuah hotel di Kuala Lumpur juga berharap mendiami negara ini untuk tempoh lama supaya dapat membentuk kehidupan sempurna bagi mereka.
- FZL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan