"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apabila Rakyat ‘Kangkungkan’ Perdana Menteri

ustaznik
najib kangkung
Tidak semena-mena sayur kangkung menjadi buah mulut dan bualan media sosial. Habis laman facebook, portal, blog, aplikasi whatsapp berbicara isu kangkung. Ditambah dengan pelbagai idea kreatif melalui lakaran kartun dan kata-kata lawak berasaskan katakuncinya ‘kangkung’. Kenapa kangkung tiba-tiba terkenal? Mudah sahaja. PM nak beri contoh ada faktor lain yang menyebabkan harga barang naik seperti cuaca dan lain-lain, lalu tersembul keluar dari mulutnya, samada sengaja, tak sengaja, spontan atau sudah ditulis skripnya lebih awal perkataan ‘kangkung’.

Najib dilaporkan berkata di kawasan saya ketika bantuan banjir: “Kalau harga sayuran naik, sawi naik, kangkung naik, ada masa dia naik, ada masa dia turun. Hari ini dalam surat khabar, saya baca, ada yang dah turun.

“Kangkung dulu naik, sekarang ini dah turun. Bila turun apa pasal tak puji kerajaan? Bila naik salahkan kerajaan. Ini tidak adil sebab ini adalah (ekoran) keadaan, cuaca…”

Beliau mungkin hanya sebut ‘kangkung’ sebagai contoh. Tapi keseluruhan ayat itu menggambarkan beliau tidak cermat berkata-kata. Ia samalah dengan tidak cermatnya BN menguruskan bantuan banjir kali ini, tidak cermat membantu mangsa banjir baru-baru ini dan tidak cermatnya menguruskan ekonomi negara.

Tilam, tv dan peti sejuk antara barangan yang kononnya dikatakan bernilai ribu ringgit diberi kepada mangsa banjir. Namun sesetengahnya terpaksa menunggu bulan April baharu dapat semuanya? Kalau di rumah sudah ada peti sejuk, untuk apa lagi peti sejuk? Kalau di rumah tv terselamat, untuk apa lagi ada tv? Sudahlah mahu mengambil baucer penuh dengan kerenah dan menunggu lama, barangan pula kelihatan tidak bermutu tinggi.

Ketika membeli sayur di kedai, rata-rata penduduk sekitar Cukai, Kemaman bising dan merungut dengan isu baucer. Terpaksa begini, terpaksa begitu dan pelbagai terpaksa lagi. Bukankah lebih baik beri dalam bentuk wang ringgit? Katakan baucer RM5000 yang boleh diambil di bank berdekatan? Rakyat kehilangan barangan dalam rumah, kos baiki kereta tenggelam air memakan ribuan ringgit dan lain-lain kos. mereka lebih tahu apa yang diperlukan dalam rumah. Itupun kalau mahu membantu. Tapi kalau mahu ‘berniaga’ dengan duit bantuan banjir dari orangramai atau dari negara luar, maka buatlah sebagaimana yang dibuat.

Rakyat Malaysia keseluruhannya sedang menghadapi isu kenaikan kos sara hidup, harga makanan dan barangan yang makin naik, tol, tarif elektrik dan pelbagai bayaran yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Justeru, kalau ada di kalangan rakyat yang meng’kangkung’kan Perdana Menterinya (baca sekali lagi: Perdana Menteri) yang memberi contoh bodoh, maka jangan marahkan rakyat yang sedang marah dengan kenaikan semua perkara, tetapi marahlah kepada mereka yang diberi amanah mengurus negara tetapi terus tidak mendengar keluhan rakyat.

Tiada ulasan: