PETALING JAYA: Tan Sri Zainuddin Maidin di dalam blognya hari ini berkata, kesanggupan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa berunding dengan rakyat yang menyokongnya telah ‘dihukum’ dengan kejadian letupan bom dihadapan sebuah kelab malam di Bukit Bintang pagi tadi.
Beliau juga mempersoal kecekapan pihak polis kerana gagal mencium rancangan buruk ini lebih awal.
“Untuk memadamkan berbagai spekulasi liar yang boleh mencemarkan imej baik negara, Timbalan CID Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa segera menyatakan bahawa kejadian itu mungkin berpunca dari persengketaan kongsi gelap dan siasatan sedang dijalankan dari semua sudut.
“Jika secepat itu diketahui puncanya, maka tidak pula polis secepat itu menciumi rancangan mereka.”
Zainuddin yang juga merupakan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu berkata, kenyataan Khairi itu bertujuan untuk mematahkan spekulasi, namun tidak menghalang orang ramai untuk mengaitkan kebarangkalian apa yang selama ini berlaku di Selatan Thailand dan Indonesia telah tercetus di Malaysia.
“Keyakinan ramai tergugat terhadap keupayaan pihak polis untuk memastikan keselamatan.
Zainuddin juga menyatakan bahawa, dengan kejadian pagi tadi, tiada siapa yang dapat menghalang rakyat dari berfikir bahawa Perdana Menteri Malaysia hanya mahu menjadi wira di mata Obama dengan meletakkan demokrasi dan liberalisme Malaysia setaraf dengan nilai globalisasi wacana Barat sehingga sanggup menghapuskan ISA yang selama ini menjadi payung keselamatan negara
Beliau berkata, walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pemerintahannya menyedari kita tidak mungkin akan terlepas dari mulut buaya dalam menghadapi penjajahan baru barat, tetapi kita tidak mahu keadaan sampai menjadi sesuatu yang lebih parah. Umpama menjilat punggung buaya untuk selamat dari naga.
“Najib telah menghancurkan pagar yang dibina dengan darah dan air mata oleh ayahnya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan