DR AZMAN IBRAHIM
Di penempatan pelarian Ethiopia dan Eritrea di Kampung Shagarab dalam Wilayah Kassala, di sini air mataku tumpah. Betapa realiti kehidupan mereka terlalu perit. Kita seolah tak menyedari bahawa di satu sudut dunia masih terdapat saudara seagama yang terlalu tak bernasib baik.
Kita mungkin boleh melihat suasana sebegini di perkampungan orang asli yang menolak kemajuan, tetapi mereka ini bukannya orang asli.
Walaupun negara Sudan juga dalam keadaan sukar tetapi merekalah yang membuktikan hubungan kasih antara sesama saudara dengan menerima para pelarian yang datang dari negara berjiran ini untuk menumpang teduh di bumi mereka.
Negara-negara lain yang lebih kaya dan berkemampuan, belum tentu mereka sanggup memikul beban yang sangat berat ini.
Mengikut rekod UNHCR, terdapat kira-kira 2 juta pelarian yang melarikan diri ke Sudan terdiri dari pelarian Eritrea, Ethiopia dan Somalia.
Di Kassala sahaja, ratusan ribu dari mereka hidup dalam rumah yang dibuat dari lumpur dan tanah liat, tanpa bekalan air dan jauh sekali lektrik. Tak ada tandas. Kehidupan masih secara nomad. Bertani dan memelihara binatang adalah sumber kehidupan mereka.
Mereka sama duduk tengah panas dengan lembu dan kambing, pergi dan pulangnya bersama binatang ternakan. Saya bergurau, sebab tu lembu kambing mereka sangat jinak dan mesra tuannya sebab tuannya selalu ada bersama ketika panas dan hujan.
Memang lembu mereka tak ada tali. Tuan lembu berjaya mengawal puluhan ekor lembu hanya dengan sebatang kayu. Rumput untuk binatang ternakan, memang tak ada masalah di sini. Gejala rempit tak ada di kalangan anak muda. Kenderaan yang paling laju ialah kaldai. Masalah sosial lain saya tak begitu pasti. Tapi yang pasti walaupun hidup di rumah tanpa bilik, mereka sangat produktif dari segi penghasilan zuriat. Buktinya terdapat begitu ramai kanak-kanak berkeliaran.
Nampaknya apa yang diusahakan oleh Yayasan Amal Malaysia dan sumbangan para dermawan sekalian sangat dihargai mereka. Berkali-kali mereka memeluk erat tubuh saya sampai mengucapkan terima kasih. Semoga Allah memberkati usaha saudara semua, ujar mereka berkali-kali.
Anak-anak tanpa pendidikan, hanya sebahagian kecil dari mereka yang mendapat pendidikan asas di sekolah yang diuruskan oleh Yayasan Ehsan Sudan. Terdapat 3 buah sekolah yang sangat dhaif. 2 untuk pelajar lelaki dan satu untuk anak-anak perempuan.
Bayangkan satu sekolah hanya mampu menampung sekitar 250 orang pelajar sedangkan penempatan ini menempatkan kira-kira 250,000 orang pelarian.
Kanak-kanak kecil yang tak berdosa menjadi mangsa konflik manusia yang tak berkesudahan. Erti kedhaifan sebenar terdapat di sini. Hati-hati yang keras dengan keangkuhan akan tunduk tersipu di hadapan Allah bila kita berada di sini dan melihat keperitan ini secara dekat dengan hati yang celik.
Betapa nikmat Allah kepada kita terlalu banyak. Betapa juga mereka menagih secebis rasa simpati dari hati-hati insan yang masih berbaki secebis rasa kemanusiaan. Kita mengharapkan amal bakti yang tak seberapa ini mampu menghadirkan sedikit kecerian dan senyuman di wajah mereka walau sekadar untuk 2, 3 hari di Aidil Adha ini.
Walaupun kerana mengejar sebiji gula-gula yang kami hadiahkan, kanak-kanak di sini sanggup berlari sehingga terjatuh terguling-guling. Kerana berebut sebiji belon mainan yang kami bahagikan, mereka sanggup bergaduh. Mengelilingi kita dengan wajah kasihan mengharapkan kita menghulurkan sesuatu untuk mereka pegang... - HARAKAHDAILY 6/10/2014
Penulis turut serta dalam misi Korban di Sudan 2014 anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan