"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Negara ini tanpa pengemudi – Ariff Sabri

Mustahil jika kerajaan yang memerintah tidak menghiraukan faktor Melayu kecuali jika mereka mengamalkan aparteid.
Ariff Sabri-Raub
PETALING JAYA: Orang Melayu tidak perlu cemas dengan persoalan yang ditimbulkan berkaitan kemungkinan atau ancaman hak keistimewaan Melayu akan hilang sepertimana yang sering digembar-gemburkan.



Ini kerana, keistimewaan hak Melayu dilindungi oleh perlembagaan dan demografi orang Melayu. Memang mustahil jika kerajaan yang memerintah tidak menghiraukan faktor kedudukan Melayu, kecuali kerajaan yang kita undi mengamalkan aparteid. Itu adalah mustahil, memandangkan semua pusat kuasa dikuasai UMNO, kata Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Ahli Parlimen DAP – Raub itu menegaskan melalui blognya Sakmongkol.com, apa yang pasti, kekecohan dan hingar-bingar seperti yang dibawa perhimpunan UMNO sepatutnya tidak menimbulkan rasa cemas.

Menurutnya, UMNO hanya mencari pelbagai alasan untuk menyembunyikan ketidakcekapan, ketamakan dan amalan penyangaknya. Persoalan hak keistimewaan Melayu dikatakan diancam, dipersoalkan, Islam tergugat dan Monarki Melayu dihina adalah tidak benar.

“Hakikatnya kesemua perkara tersebut tidak berlaku melainkan daripada fikiran licik orang-orang UMNO, yang kemudiannya digembar-gemburkan oleh pihak media yang dikuasai UMNO. Bagaimanakah bercakap mengenai ancaman terhadap orang Melayu menjadi lebih penting daripada soal ekonomi negeri dan memperbaiki kredibiliti negara?” soal beliau.

Mohd Ariff juga bertanya, kenapakah kita tidak terkejut dengan pelbagai isu yang diketengahkan di Persidangan Agung UMNO?

Menurutnya, diperhimpunan tersebutlah setiap perwakilan yang korok dan tidak menonjol akan mencari ruang dan peluang untuk menaikkan nama sendiri dengan mengetengahkan isu-isu yang menyentuh hak orang Melayu, agama Islam dan Monarki Melayu.

Beliau berpendapat, keadaan sekarang tidak boleh diperbaiki kerana kita kekurangan faktor yang sangat penting dalam pembangunan negara iaitu kepimpinan berwibawa, kerajaan yang baik dan kedaulatan undang-undang.

Mohd Ariff berkata, amaran Dr Mahathir hendaklah diambil serius dan diberi perhatian. “Negara ini sedang menderita akibat kelesuan kepimpinan. Negara ini tidak ada pengemudi,” tegasnya.

Beliau juga menyentuh soal polisi luar negara yang dikatakannya, Malaysia kini semakin kabur dan kurang penting. Beliau memberi contoh Indonesia di bawah Jokowi, yang kini semakin menonjol sebagai kuasa dominan dari Asia Tenggara.
“Malaysia hanya menyerlah ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri. Hakikatnya, faktor kepimpinan yang memainkan peranan penting,” tambahnya.
Selain itu, katanya, polisi dalaman juga hancur. Walaupun pemimpin negara mengumumkan ekonomi negara baik, hakikatnya tidak. Pengumuman baik seumpama itu tidak dirasai oleh seluruh rakyat. Ketidaksamaan pendapatan, pengagihan kekayaan yang tidak sekata dan peluang-peluang menjana kekayaan kekal menjadi masalah utama.

“Hubungan diantara kaum juga tergugat oleh ketidakcekapan kepimpinan, menyebabkan terdapatnya kumpulan-kumpulan yang menyuarakan kemarahan dan membantah,” ujarnya.

Beliau berkata, Dr Mahathir sewajarnya tahu sedikit sebanyak mengenai kepimpinan. Dia telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Walaupun digelar moniker sebuah pemerintahan diktator, Dr Mahathir tidak lemah dalam kepimpinan, kelemahan dalam membuat keputusan ketika berhadapan sebarang isu bukanlah ciri-ciri beliau.

Menurutnya lagi, sebaliknya Najib, merupakan seorang ketua yang tidak kisah, dan itulah hakikatnya. “Hebat dalam mencipta guruh tetapi hujannya hanya sedikit.”

Tegasnya, ia berkaitan struktur panglima politik (warlord) UMNO, di mana kemampuan diketepikan berbanding kebolehan mengampu. Susunan begini memang bersesuaian dengan pihak pemimpin atasan, malah ia “berjangkit.”

“Ia jelas, lihatlah kualiti kumpulan penyokong BN di Parlimen. Seorang yang kuat bersuara itu sebenarnya tin kosong. Manakala seseorang yang berpengetahuan tidak banyak kerenah atau cepat berang. Ini berlaku dalam struktur kepimpinan UMNO di semua peringkat dan didominasi ketua-ketua yang tidak cekap. Inilah parti yang akan membawa orang Melayu ke tahap supra cemerlang,” ujarnya.
-fmt-

Tiada ulasan: