SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Divesh dalami agama kongsi dengan saudara seislam , bukan Islam.
CARA penyampaian dakwahnya lebih kepada perbandingan agama. Dia senang menggunakan cara harmoni dan berusaha mencari persamaan yang melibatkan agama Islam dengan agama lain serta memfokuskan ajaran tauhid yang menekankan Tuhan itu satu.
Situasi berbeza
Pendakwah yang dikenali bergaya santai, Divesh Kumar Danial Kakulal atau dikenali sebagai Bro Divesh, 34, menyifatkan terdapat pelbagai genre dan medium yang digunakan mana-mana individu berkecimpung dalam dunia dakwah di luar sana untuk mendekati masyarakat bermacam ragam.
“Seperti yang kita sedia maklum, sebagai pendakwah seseorang itu tidak boleh terlalu rigid dan terlampau tegas dengan penyampaian yang dibawa. Sesetengah individu akan menyatakan ketidakpuasan hatinya jika pendakwah itu datang dan terus berceramah dengan mengatakan itu tidak boleh ini tidak boleh. Kelainan mesti dilakukan.
“Pandangan masyarakat hari ini berbeza dengan zaman nenek moyang kita dulu. Jika sebelum ini golongan berjubah dan berserban diterima dengan mudahnya.
“Sebaliknya penerimaan terhadap gaya tersebut kelihatan berbeza sekarang. Namun, perkara yang disampaikan adalah sama,” katanya yang melafazkan syahadah pada 6 Oktober 1997.
Menurut Bro Divesh, sehingga hari ini dia masih kekal menggunakan nama asal kerana sebab pertamanya dalam Islam nama tidak semestinya dalam bahasa Melayu atau Arab.
Mana-mana bahasa pun boleh digunakan. Seperti namanya yang mempunyai maksud putera pagi Danial jika diterjemahkan dalam bahasa Hindu. Keduanya, tidak dinyatakan dalam ayat al-Quran atau hadis menyuruh individu memeluk Islam menukar namanya terutama sekali nama bapa.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Panggillah dengan nama bapa mereka…”. (Surah Al-Ahzab: 5)
Nabi Muhammad SAW melarang mana-mana individu menukar nama bapa. Menjadi satu budaya di negara ini apabila masuk Islam tukar nama bererti dapat bapa baru. Tetapi Nabi Muhammad SAW menyuruh tukar jika nama itu membawa pengertian yang tidak elok.
Ugut potong kaki
Menceritakan detik awal pengislamannya, adik bongsu kepada pendakwah perbandingan agama tersohor, Brother Shahkirit Kalkulal ini mengatakan, dirinya dikelilingi dengan rakan berbangsa Melayu Islam sejak berumur lima tahun.
Semasa di sekolah rendah, Divesh sering ke perpustakaan untuk membaca buku nipis yang menceritakan mengenai kisah hidup nabi dan rasul. Ketika di tingkatan tiga hingga lima, jika guru yang mengajar pendidikan moral tidak datang, Divesh akan duduk dalam kelas mendengar guru agama Islam mengajar mata pelajaran pendidikan Islam.
“Apabila mengingatkan detik itu, saya berasa sedih kerana mereka tidak mendekati saya dengan dakwah. Mungkin ada alasannya, namun saya bersyukur kerana ALLAH tidak mencabut nyawa saya ketika itu. Usai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya merantau ke Perak dan bekerja di sana.
“Saya berkenalan dengan saudara baru yang juga ustaz bernama Ustaz Mohd Ali Chin. Beliau banyak mengajar saya belajar fardu ain selama 10 bulan. Dari situ, saya tahu Islam itu bukan Melayu dan sebaliknya.
“Ustaz Mohd Ali tidak pernah memaksa saya memeluk Islam dan semua itu adalah kehendak dan hidayah daripada-Nya,” ceritanya yang merahsiakan keislamannya selama 10 tahun daripada pengetahuan keluarga.
Kenapa dirahsiakan? Bapanya pernah mengugut jika dirinya masuk Islam kaki akan dipotong. Mereka beranggapan masuk Islam itu Melayu, tetapi hakikatnya bukan. Semua yang berlaku ada sebab dan musabab.
Bapanya meninggal dunia pada 2005, dan keluarga mengetahui mengenai keislamannya pada 2007 semasa Divesh menyertai rancangan realiti cari menantu, itu pun kerana jiran memberitahu ibunya.
Tiga hari Divesh dihalau dari rumah. Setelah Divesh menjelaskan apa sepatutnya dan ibunya memahami. Mereka kini tinggal bersama.
“Menjadi tanggungjawab kepada semua tidak kiralah pendakwah atau tidak kerana tugasan menyampaikan dakwah hak semua individu lebih-lebih lagi dengan gelombang hari ini.
Tanggungjawab ramai
Umat Islam sekarang dilihat semakin hanyut dan sewajarnya kita bersama mentarbiahkan diri untuk mendapat reda daripada ALLAH SWT.
Perbetulkan salah faham yang ‘membunuh’ agama Islam jadikan peranan pisau sebagai contohnya, pisau digunakan untuk memotong sayur, buah dan sebaginya namun, ia juga boleh membunuh kerana terpulang bagaimana cara mengendalikannya.
“Kita dilahirkan dalam dunia serba moden. Terlampau banyak aib dan fitnahnya. Tetapi jangan mengagungkan perkara negatif.
“Sebaliknya amalkanlah apa yang terkandung dalam kitab ALLAH, al-Quran, sunnah Rasulullah SAW secara istiqamah dan perlu ditanam dalam minda, tugasan berdakwah tidak tertakluk di bahu insan bergelar ustaz, ustazah, agamawan tetapi ia tanggungjawab individu bergelar Muslim,” ulasnya di akhir bicara.
Divesh gemar mengkaji surah yang terkandung dalam 30 juzuk al-Quran. Surah Al-Ikhlas yang mengandung empat ayat dibaca dan ditelitinya sehingga benar-benar memahami.
Begitu juga dengan surah lain antaranya yang menceritakan mengenai kejadian janin secara teratur, kejadian cap jari, bagaimana ALLAH mencipta langit, bumi dan semua itu menambahkan lagi tahap keimanannya.
PROFIL
NAMA: Divesh Kumar Danial Kakulal
UMUR: 34 tahun
ISTERI: Engku Rabaal Adawiah Engku Zahit
ASAL: Kuala Lumpur
MOTTO: Jangan jadi Islam secara kebetulan tapi jadilah Islam secara pilihan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan