"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah usir pegawai penjara yang iringi Anwar keluar kerana bawa senjata

Datuk Seri Anwar Ibrahim dikelilingi pegawai penjara ketika tiba di Mahkamah Rayuan Syariah hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 24 Mac, 2015.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dikelilingi pegawai penjara ketika tiba di Mahkamah Rayuan Syariah hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 24 Mac, 2015.

Lima pegawai Penjara Sungai Buloh yang mengiringi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diarahkan keluar mahkamah kerana membawa senjata api.

Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Muhammad Ibrahim mengarahkan pegawai penjara keluar selepas mendapat bantahan wakil peguam Anwar, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie atas alasan senjata api melanggar etika mahkamah.

Katanya, sudah ada lima pegawai polis dalam mahkamah yang bersedia menjaga keselamatan dalam mahkamah dan kehadiran pegawai penjara tidak diperlukan.

Anwar masuk ke mahkamah kira-kira 10.15 pagi tadi, berbaju kemeja berbelang biru dan kelihatan cengkung dan susut berat badan.
Beliau bagaimanapun masih sempat melemparkan senyuman ke arah wartawan dan menegur cucunya, Raja Safiyah Raja Ah‎mad Shahrir, sebelum prosiding kes bermula.

Mahkamah Rayuan Syariah hari ini mendengar rayuan Anwar menggugurkan peguam, Datuk Zainul‎ Rijal Abu Bakar yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pendakwa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) Shamsuddin Hussain dan bekas pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali, berkaitan kes qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 April depan bagi memutuskan sama ada penarikan diri Zainul diterima atau tidak.

Ini kerana, Zainul sebelum ini membuat bantahan awal terhadap permohonan Anwar menghalangnya daripada mewakili 3 responden.

Namun, mahkamah rayuan syariah sebelum ini menolak bantahan awal tersebut dengan kos kerana permohonan yang dibuat Zainul tidak teratur.

Zainul kemudiannya secara sukarela menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam semua kes berkaitan qazaf, tanpa memaklumkannya kepada peguam Anwar dan hanya menyerahkan notis pagi ini.

Muhammad mengarahkan kedua-dua pemohon (Anwar) dan responden (Zainul) hadir pada hari keputusan bulan depan.

"Datuk Seri 'free' (27 April ini)?" soalnya dalam nada bergurau memastikan sama ada ketua pembangkang itu lapang atau tidak pada tarikh itu nanti, menyebabkan Anwar dan orang awam dalam mahkamah turut ketawa.

Panel Mahkamah Rayuan dianggotai Muhammad sebagai pengerusi serta dua lagi hakim syarie Datuk Hussin Harun dan Datuk Aidi Mokhtar.

Selain Rafie, Anwar diwakili peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruddin dan Muhammad Buruk.

Manakala di pihak responden, Zainul diwakili peguam Abdul Halim Bahari, Abdul Razak Mohaidi, Faisaruddin Md Yusuf dan Roslizam Rahim.

Anwar pada 18 Ogos 2011 memfailkan permohonan menghalang Zainul atas alasan beliau sebagai peguam syarie didakwa berkelakuan tidak profesional, tidak bersifat jujur dan tidak berniat baik menegakkan keadilan.

Ketua Umum PKR itu juga mendakwa, wujud percanggahan kepentingan bagi pihak peguam syarie tersebut.

Anwar dalam afidavitnya antara lain memohon kos permohonan itu ditanggung oleh defendan dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – 24 Mac, 2015
-malaysianinsider-

1 ulasan:

Istiqomah berkata...

hidud tak mau...qazaf mau pulak.