Subky Latif
SAYA baca wawancara dua muka surat Mohamad Sabu dengan tabloid harian Shah Alam dan saya ikuti ucapannya betapa dia bukan tidak pernah kalah dalam pertandingan parti.Dari situ persepsi saya, Mat Sabu tidak patut tinggal PAS dan tidak patut ajak orang lain tinggalkan PAS.
Dari wawancara itu yang dikira hujah dia mahu memimpin parti sendiri tidak begitu menarik.
Disebutkannya, seolah-olah parti yang hendak ditubuhkannya bukanlah idea dia. Lepas muktamar dia berada di Timur Tengah. Sepulangnya dia diajak rakan-rakannya berjumpa di Muar. Dia diajak menubuhkan parti baru dan memimpinnya.
Ini bererti dia bukan pencetusnya tetapi dia ikut rakan-rakannya. Yang mahukan parti baru itu orang lain dan kita tidak tahu sejak bila orang-orang itu hendak mengadakan parti sendiri? Adakah setelah segugus rakan-rakan itu kalah dalam muktamar atau selepas PAS membatalkan tahalufnya dengan DAP? Atau sejak sekian lama, sejak Mat masih Exco Dewan Pemuda PAS atau antaranya masa itu belum menyertai PAS?
Saya mula kenal Mat semasa dia baru kahwin, tiap-tiap malam datang bersama isterinya membantu kempen saya dalam PRK Pelabuhan Kelang hujung tahun 70-an. Tanggapan saya tentang kesetiaannya kepada PAS, seolah-olah setianya Khalid al-Walid kepada Islam setelah memeluk Islam.
Tanpa sebarang kesilapan dia digugurkan daripada panglima satu peperangan oleh Khalifah Umar al-Khatab. Dia redha sekalipun dia jadi soldadu biasa dalam perang itu. Pada panglima Khalid peperangannya bukan kerana dia panglima tetapi kerana Allah dan Islam.
Hassan Adli diambil alih tugasnya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS oleh Prof Zulkifli Mohamad bagi mengendalikan muktamar. Reaksinya dalam ucapan penangguhan, dia menyertai PAS bukan kerana Dr. Burhanuddin dan Zulkifli Mohamad, tetapi kerana Allah/Islam. Lalu muktamar Pemuda itu nobatkan dia sebagai Panglima Jihad PAS.
Atas sebab tertentu Hassan terpecat dari PAS. Setelah Yusof Rawa jadi pemimpin PAS dia kembali jadi ahli biasa PAS dan mati dalam PAS.
Saya nampak Mat Sabu ada potensi jadi Panglima Jihad yang kedua selepas Hassan Adli dan patut mati dalam PAS.
Datuk Abu Bakar Umar dikira rakan setia Datuk Asri. Apabila Datuk Asri menubuhkan parti lain dia tidak ikut. Sekalipun dia pernah naik pentas PAS selepas itu, tetapi dia tidak keluar parti dan menghabiskan masa sebagai orang bawah. Kasih PAS Kedah kepadanya tidak kurang dari kasih mereka pada Ustaz Fadzil.
Dua nama pimpinan lama PAS itu adalah antara orang yang ada pengalaman tidak seronok dengan PAS. Mungkin mereka membawa diri daripada arus perdana parti tetapi tidak meninggalkan parti.
Jika Mat Sabu ada pengalaman tidak seronok dengan PAS, seperti yang pernah disebut banyak kali, dia selalu kalah dalam pemilihan parti, maka ia tidak patut patah semangat dengan parti. Dia mungkin tidak seronok dengan orang-orang tertentu dalam PAS tetapi beribu-ribu orang PAS lagi adalah rakan-rakannya yang tidak pernah jemu mendengar ceramahnya.
Jika Mat mahu ada parti sendiri beri hujah yang kuat, bukan kerana ikut ajakan kawan, sedang dalam parti berpuluh ribu kawan tidak mahu dia keluar. Yang saya bimbang ialah Mat jadi macam Ustaz Ahmad Awang, dijadikan calon Presiden tetapi tidak dicalonkan memimpin parti baru. Jika Mat ikut kawan, parti baru itu bukan partinya tetapi parti kawannya pada masa ini.
Saya yakin Mat bukan orang yang hendakkan parti baru itu tetapi ada orang lain.
2 ulasan:
Yang ramai kutuk dia dan pimpinan diam walau Mat Sabu TP PAS
Tulisan beliau ini langsung tidak bermaruah. Langsung tidak disentuh hal-hal golongan UG melabel Abg Mat dan rakan2 dgn cacian dan makian. Hj Subky jg tidak menyentuh soal TGHH ingin bergabung dgn UMNO (atau dia sendiri kelompok UG). Dia juga tidak menulis sebarang ayat yg membela maruah Abg Mat yg dihentam teruk oleh TGHH and the UG.
Jika diteliti kenyataan ini, dpt dinilai bhw Hj Subky sangat 'partism' iaitu menganggap parti setaraf dgn agama. Lihat ayat yg berbunyi berikut
"Saya nampak Mat Sabu ada potensi jadi Panglima Jihad yang kedua selepas Hassan Adli dan patut mati dalam PAS." - Subky
Bagi pemikiran dia, manusia ini diadili dgn melihat pada parti mana yg ia meninggal dunia. Seperkara jg, dia tak terlepas dari terkeluar rasa kebimbangan terhadap PAS sendiri yang padanya sudah kering panglima dan ikon.
Bila Hj Subky merayu-rayu meminta Abg Mat kembali (begitu juga dgn pimpinan-pimpinan lain) kepada PAS, itu sudah cukup membuktikan dia sendiri tak yakin dengan barisan ulama muda PAS yang ada sekarang. Sepatutnya dia rasa gembira.
Tidakkah dia tahu, keluar parti tidak bermakna keluar Islam?
Hujah beliau dengan menggunakan kisah lama PAS juga sudah tidak relevan. Itu zaman dulu, zaman tanpa internet, tanpa Astro dan smartphone. Berita hanya melalui ceramah, radio dan TV1.
- Mat Safian
Catat Ulasan