"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sidang media Stacy kenapa dia memeluk Islam (Gambar&video)


Stacy (kiri) ditemani ibunya Agnes Kaloos pada sidang media mengenai penghijrahannya ke agama Islam. Sidang media diadakan di pejabat Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Hajat penyanyi Stacy untuk memeluk agama Islam telah dimamklumkan kepada orang tuanya dan mendapat restu keluarga.
Ibu kepada penyanyi itu Agnes Kaloos, 57, berkata, anaknya telah memaklumkan hasrat berkenaan dan dia sekeluarga tidak menghalang kehendak Stacy itu.
"Memang Stacy sudah bagi tahu saya pasal hajat dia nak masuk Islam. Dulu dia Kristian. Dia cakap agama sama sahaja cuma cara (pelaksanaan) itu berbeza dan dia nak pilih agama Islam,” katanya kepada mStar Online dalam sidang media di pejabat Astro di sini pada Selasa.
Hadir sama pada sidang media itu ialah bapa Stacy iaitu Annam Bayar, 53.
Stacy menggunakan nama Islamnya iaitu Ummu Shaikhah Stacy Abdullah Binti Anam.
Terdahulu, Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 25, dilaporkan memeluk Islam di pejabat Agama Islam, Johor Baru, Johor.
Selain ibu dan bapanya, semasa lafaz syahadah dilakukan Stacy, dia turut ditemani kekasihnya Akim Ahmad dan ibu-bapa penyanyi lelaki itu.
Ia dilakukan kira-kira pukul 10 pagi Isnin.
Dalam pada itu Stacy berkata, sebelum ini dia sering mendengar mengenai Islam daripada kakaknya sehingga hatinya terbuka kepada agama itu tetapi tetap menghormati agama Kristian.
Dia juga menafikan hasrat memeluk Islam adalah untuk berkahwin dengan Akim.
Malah Stacy turut memuji ibu dan bapa Akim yang banyak membantunya dalam usaha memeluk Islam.
"Kalau tak ada jodoh saya dengan Akim, saya akan tetap peluk Islam. Saya masuk Islam bukan sebab nak kahwin dengan dia tapi sebab saya mahukan Islam itu sendiri,” katanya.
Ditanya pemberita apakah yang dia rasa selepas mengucap dua kalimah syahadah Stacy berkata, perasaannya amat teruja ketika itu walaupun tiada pengetahuan mengenainya.
"Masa tu saya sangat-sangat teruja. Bersemangat nak mengucap dan saya menangis kerana sangat gembira apatah lagi ketika itu ayah dan ibu saya ada bersama,” katanya yang terkenangkan kenangan bersama keluarga selepas memilih menukar agama.
Gambar Stacy mengucap kalimah syahadah ini menjadi viral pada Isnin.
Stacy yang mahu kekal dipanggil nama berkenaan berkata, dia akan mempelajari Islam secara berperingkat dengan memasuki kelas agama.
Malah dia juga berhadap semua pihak di luar sana tidak terus berdebat isu pertukaran agamanya itu.
Dalam perkembangan sama Stacy meluahkan rasa terkilan apabila gambar dia hadir ke pejabat agama Islam telah disebarkan kepada umum sehingga menjadi viral di media sosial.
Ujar Stacy, pada waktu itu dia sanggup bersembunyi untuk masuk ke dalam bilik dengan alasan tidak mahu dilihat orang namun ia tetap didedahkan kepada umum oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun kata Stacy dia memaafkan mereka yang terlibat menyebarkan gambar berkenaan.
"Sebenarnya saya terkilan bila berita itu keluar. Saya nak rahsiakan kerana saya nak masuk agama Islam dalam keadaan tenang. Saya percaya ada orang dalam yang dedahkan tetapi saya maafkan," katanya.
-mstar-
---------------------- Stacy: 'Sebagai Islam saya sudah maafkan'
Stacy: 'Sebagai Islam saya sudah maafkan' Stacy ditemani ibu bapanya pada sidang media yang diadakan di Pusat Penyiaran Astro, Bukit Jalil, hari ini. - Foto Sinar Online oleh MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI.
"SEBAGAI seorang Islam saya maafkan mereka, sebab itu yang diajar dalam agama Islam," kata Stacy atau nama baharunya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 25, ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan video dia mengucap dua kalimah syahadah semalam.
"Saya serahkan kepada pihak pengurusan Astro, tetapi secara peribadi saya sudah maafkan," katanya kepada pemberita pada sidang medianya di Pusat Penyiaran Astro, Bukit Jalil, hari ini.
Sementara itu, menjelaskan mengenai tujuannya memeluk Islam, Stacy berkata lahir dari hati yang ikhlas untuk mendalami agama Islam.
"Stacy masuk Islam bukan kerana mahu berkahwin seperti yang diperkatakan sebelum ini dan bukan juga disebabkan pengaruh orang lain atau pun Akim.
"Penghijrahan saya terjadi kerana atas dasar keinginan dan keikhlasan saya untuk mendalami Islam itu sendiri.
"Sekiranya Stacy mahu berkahwin lebih baik Stacy masuk Islam ketika mahu berkahwin sahaja. Sekiranya dia (Akim) bukan jodoh saya, saya tak kisah kerana saya memeluk Islam kerana saya ikhlas mahu memeluknya," katanya.
sinarharian-

Tiada ulasan: