Dr Mahathir cabar Zahid dedah siapa penderma Arab RM2.6 bilion
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicabar Tun Dr Mahathir Mohamad supaya dedah identiti penderma RM2.6 bilion ke akaun perdana menteri.
Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan kritikan lantangnya terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan kali ini menyerang timbalannya berhubung kenyataan mengenai penderma dari Timur Tengah yang didakwa memberi RM2.6 bilion kepada Najib.
Melalui laman blognya, bekas perdana menteri itu mencabar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan siapa penderma itu memandangkan beliau sebelum ini mengakui bertemu dengan wakil "keluarga" dari Timur Tengah itu
"Timbalan perdana menteri yang baharu berkata, beliau sudah berjumpa dengan orang Arab yang memberi derma tersebut.
"Jadi biar beliau buktikan orang Arab ini ada duit yang banyak untuk diberi kepada Malaysia dan banyak negara lain.
"Negara mana. Dari mana sumber duit itu. Apakah perniagaan yang dilakukannya. Apakah nama bank yang digunakannya.
"Tunjukkan akaun dia dalam bank, cek yang dikeluarkannya, khususnya wang AS$700 juta itu. Bank penerima bank sepatutnya memegang cek tersebut," katanya dalam posting terbarunya hari ini.
Dr Mahathir berkata segala maklumat tersebut sebenarnya boleh disahkan pasukan petugas khas yang menyiasat skandal 1Malaysia Development iaitu Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.
"Namun Najib membubarkan pasukan petugas itu dengan memecat peguam negara, menghantar ketua SPRM bercuti dan menuduh Bank Negara membocorkan rahsia kerajaan," katanya.
Zahid pada 22 Ogos mengakui bertemu secara peribadi dengan wakil penderma dari Timur Tengah itu dan berkata sumbangan itu adalah bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dan Umno memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.
"Saya bertemu dengan ketua pegawai pelaburan penderma itu dan saya juga bertemu dengan pemegang amanah dana itu
"Dia beritahu saya, negara tuan bukan satu-satunya negara yang kami salurkan sumbangan. Terdapat banyak negara lain yang mesra Islam yang kami beri derma," katanya.
Beliau berkata mereka membantu BN kerana komitmen kerajaan dalam menangani keganasan dan mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara ahli sunnah wal jamaah.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti penderma itu, hanya mengatakan mereka adalah "satu keluarga tertentu dari negara tertentu".
Pendedahan mengenai wang derma RM2.6 bilion itu pertama kali dilaporkan Sarawak Report pada awal Julai.
-malaysianinsider-
---------------------
RM2.6 bilion bukan derma, duit 1MDB, kata Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad yakin wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad dan berpendapat Najib perlu berundur kerana menjejaskan sistem undang-undang.
Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mempercayai RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah duit derma, sebaliknya yakin ia ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Walaupun derma itu disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas perdana menteri itu berkata penjelasan itu tidak dapat diterima memandangkan jumlahnya yang terlalu besar.
"Saya tak percaya ia derma. Saya tak percaya ada orang yang sanggup beri sama ada Arab atau sesiapa sahaja," katanya dalam temu bual bersama akhbar perniagaan antarabangsa Financial Times.
Beliau yakin Najib lambat-laun akan dipaksa untuk melepaskan jawatannya walaupun enggan berbuat demikian.
"Saya rasa pada satu tahap beliau perlu berundur kerana hari ini beliau menjejaskan sistem undang-undang," katanya.
Najib sebelum ini berkata, RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Ambank tidak digunakan bagi tujuan peribadi tetapi untuk parti dan pilihan raya umum (PRU) lalu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu berkata, pihaknya bertemu ketua pegawai pelaburan dan pemegang amanah harta keluarga Arab yang mendermakan wang berbilion ringgit kepada Najib.
Katanya, dermawan Arab itu menjelaskan negara ini bukanlah satu-satunya pihak yang menerima sumbangan berkenaan kerana ada banyak sahabat daripada kalangan negara Islam mendapat sumbangan sama seperti itu.
"Mereka mahu Umno dan Barisan Nasional (BN) tetap memerintah negara," katanya.
Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sri Gading, Batu Pahat minggu lalu berkata, penderma dana dari Arab Saudi itu mempunyai 3 sebab utama untuk menderma dana berkenaan kepada Umno melalui akaun bank presidennya.
"Pertama, Malaysia yang diterajui Umno dan BN mempunyai undang-undang mengekang keganasan kumpulan militan Negara Islam Syria dan Iraq (Isis).
"Kedua, Umno yang diterajui perdana menteri memperjuangkan Islam dan mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Dan yang ketiga, derma itu sebagai mengiktiraf Malaysia sebuah negara sederhana yang menjalankan hukum Islam biarpun terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum," katanya dilaporkan media 22 Ogos lalu.
-malaysianinsider-
1 ulasan:
bila selalu menipu lama2 jadi pencuri.pencuri bukan tempatnya jadi pm tapi di penjarakan.
Catat Ulasan