"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

HANGAT!! Muhyiddin dipecat 9 September ini?

Shahbudin Husin
Apakah nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Majlis Tertinggi ( MT) Umno pada 9 September ini?

Adakah keahliannya akan dipecat dan seterusnya menyebabkan kehilangan kedudukan sebagai timbalan presiden Umno atau beliau akan dibebaskan daripada sebarang tindakan yang membolehkannya terus mengkritik parti dan presiden Umno serta kekal duduk sebagai orang nombor dua yang menyusahkan ketua sehingga pemilihan parti diadakan pada 2018 nanti?

Setakat ini pelbagai pendapat dan andaian dapat didengar mengenai untung nasib bekas timbalan perdana menteri itu.

Ada yang mengatakan beliau akan dipecat untuk memudahkan langkah-langkah Datuk Seri Najib Razak seterusnya, baik dalam Umno mahu pun kerajaan dan ada pula yang yakin tiada apa-apa tindakan akan diambil kerana ia akan memburukkan lagi peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu sebaik saja 9 September depan ini diumumkan sebagai tarikh mesyuarat MT Umno menunjukkan kemungkinan paling besar ialah Muhyiddin akan dipecat daripada Umno.

Beliau dijangka akan dipecat kerana didakwa menjejaskan imej parti dan memburukkan nama Najib selaku presiden Umno berikutan beberapa kritikan terbukanya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang diucapkan ketika merasmikan beberapa mesyuarat perwakilan Umno dua tiga minggu sebelum ini.

Selepas Muhyiddin dipecat daripada kerajaan pada 28 Julai lalu, MT Umno sepatutnya bermesyuarat pada 31 Julai bersekali dengan majlis penerangan mengenai 1MDB kepada pemimpin Umno bahagian-bahagian seluruh negara.

Tetapi ia kemudian ditangguhkan, lalu tarikh mesyuarat MT seterusnya ditetapkan pada 28 Ogos ini. Namun demikian, ia sekali lagi ditangguhkan sehinggalah beberapa hari lalu diumumkan 9 September sebagai tarikh baharu mesyuarat MT Umno yang sepatutnya bersidang sebulan sekali.

Seorang pegawai tinggi di ibu pejabat Umno yang dikenali memang rapat dengan perdana menteri ada memberitahu seorang kenalannya baru-baru ini "operasi ke-2" akan dilakukan Najib dalam tempoh terdekat ini yang menurutnya akan menyebabkan "semua masalah Najib dalam Umno dapat diselesaikan".

Tanpa menghuraikan lebih lanjut maksud atau bentuk "operasi ke-2" tersebut, pegawai itu berkata, selepas operasi itu nanti, Najib tiada masalah lagi dalam parti dan boleh menumpukan sepenuh perhatiannya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Daripada cara pegawai ibu pejabat Umno itu bercakap yang menunjukkan Najib mahu menyelesaikan masalahnya dalam parti terlebih dahulu, tindakan paling munasabah dan bersesuaian pula dengan tarikh mesyuarat MT sudah ditetapkan ialah dengan mengetepikan ancaman yang disebabkan Muhyiddin.

"Operasi ke-2" dalam usaha menghapuskan sebarang ancaman terhadap Najib ini adalah susulan "operasi pertama" yang menyaksikan penyingkiran Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai baru-baru ini.

Selagi Muhyiddin kekal dengan jawatannya dan bebas mengkritik parti serta kepimpinan perdana menteri secara terbuka, ia dilihat suatu gangguan kepada kedudukan Najib dalam Umno serta menggugat usahanya mengukuhkan BN memenangi pilihan raya nanti.

Dipercayai dengan menyingkirkan Muhyiddin daripada Umno yang sekali gus menyebabkan jawatan timbalan presidennya terlucut, kesan pengaruhnya kepada parti dapat dihapuskan kerana suaranya selepas itu akan dianggap "suara bebas" atau "suara pembangkang" saja lagi.

Adalah dijangkakan Muhyiddin seorang saja yang akan dipecat daripada Umno manakala Shafie, seorang lagi pemimpin Umno yang turut lantang mengkritik Najib, tidak akan diambil apa-apa tindakan pada 9 September nanti bagi mengelakkan kemudaratan lebih besar kepada parti.

Shafie tidak dikenakan sebarang tindakan dan secara perlahan-lahan akan dipujuk supaya terus menyokong kepimpinan Najib demi memastikan keharmonian politik Sabah dapat memberi sumbangan kepada kelangsungan kuasa BN.

Sumber lain pula memberitahu, gerakan mengumpul sokongan di kalangan ahli-ahli MT bagi tindakan memecat keahlian Muhyiddin itu sudah pun bermula sejak beberapa hari lalu untuk memastikan sokongan dua pertiga diperoleh jika undian terpaksa dilakukan.

Dikatakan juga usul untuk memecat Muhyiddin nanti akan dilakukan oleh seseorang yang berjawatan kanan dalam parti dan kerajaan.

Dalam masa yang sama, selain pemecatan Muhyiddin, mesyuarat MT Umno pada 9 September ini dijangka turut melakukan perubahan bagi jawatan pengerusi perhubungan Umno Negeri Kedah dan Perak.

Pengerusi perhubungan Umno Kedah yang sekarang disandang oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka diambil alih oleh Datuk Seri Mahadzir Khalid yang baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai menteri pendidikan manakala Datuk Seri Zahid Hamidi yang kini memegang jawatan timbalan perdana menteri akan mengambil alih jawatan pengerusi Umno Perak daripada Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin yang terlihat begitu simpati kepada Muhyiddin sehingga beberapa bahagian di negeri itu lantang bersuara dalam mesyuarat perwakilan baru-baru ini bagaimanapun tidak akan terjejas kedudukannya sebagai pengerusi Umno Johor kerana Najib dikatakan tidak mahu orang Johor lebih terluka hatinya jika tindakan itu diambil.
shahbudindotcom.blogspot.com,

Tiada ulasan: