"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Matlamat singkir Najib satukan rakyat...

Lanh
BEGITU ramai pemimpin berucap pada majlis jelajah perdana dan jamuan Aidilfitri Gerakan Harapan Baru (GHB) di pekarangan ibu pejabat KEADILAN Melaka di Bukit Piatu pada malam Sabu (7 Ogos) menyebabkan setiap tokoh diberikan masa lima minit untuk berucap.

Satu perkembangan menarik pada majlis itu, hampir semua pemimpin termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekata bagi menyingkirkan PM Najib Razak yang 'dicemari derma' RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun banknya sehingga ada tokoh menyakinkan bahawa bekas PM, Mahathir Mohamad dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) akan bersama gerakan rakyat mendesak penyingkiran Najib.

Bekas pemimpin Umno seperti Muhammad Muhd Taib, Tamrin Ghaffar dan Zaid Ibrahim yang diberikan peluang berucap menyatakan betapa Najib dan konco-konco Umno BN tidak wajar lagi diberi kuasa mentadbir negara kerana kesan kebobrokan mereka menyebabkan rakyat semakin sengsara termasuklah dari segi kenaikan sara hidup dan kejatuhan nilai mata wang negara.
Penulis percaya selain daripada majlis di Melaka itu, di seluruh negara sekarang ini rakyat kian bersemarak bersuara lantang bagi menyingkirkan Najib atau sekurang-kurangnya memaksanya meletakkan jawatan.

Fokus rakyat termasuklah di kalangan sesetengah 'orang' Umno BN bagi menjatuhkan Najib menyediakan tapak dan landasan terbaik bagi 'kita mencipta' sesuatu - sekurang-kurangnya pada pilihan raya umum berikutnya (dalam tempoh kira-kira dua tahun) mengakhiri kepimpinan Najib seterusnya cengkaman Umno-BN.

Jika kita meninjau perkembangan politik di luar negara, apabila rakyat fokus kepada sesuatu isu barulah mereka dapat bergerak serentak bagi menjatuhkan pemimpin zalim. Di Tunsia, kebangkitan rakyat memuncak apabila mereka 'memfokuskan' peristiwa seorang anak muda membakar diri kerana kepincangan ekonomi. 'Arab Spring' yang bermula di sini selepas rakyat fokus kepada aneka penyelewengan diktator Zine Abiden dan isterinya Leila yang hidup bermewah-mewahan (mungkin sama dengan pemimpin di sini).

Demikian juga di rantau kita seperti di Indonesia, rakyat bangkit dan memberi fokus kepada kemewahan melampau dan kezaliman diktator Suharto, kaum kerabat dan konco-konconya.

Di negara kita, bagi 'menajamkan' lagi fokus rakyat ini, perlu lebih banyak lagi pembongkaran 'skandal' Najib-Rosmah yang bukan saja membuat 'orang' pembangkang marah malah 'orang' Umno-BN sendiri pun naik angin. Sekarang ini pun sudah wujud titik-titik kebencian di kalangan 'orang' Umno selepas 'pemimpin sanjungan' sesetengah mereka seperti Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal 'disingkirkan' begitu saja!

Bagi mendapat sokongan rakyat pada detik sangat penting ini, adalah mustahak untuk barisan pembangkang membuktikan bahawa mereka adalah 'pilihan terbaik' bagi menggantikan Umno BN. Perkara ini perlu dilakukan segera kerana masa yang ada tidak lama - hanya dua tahun menjelang PRU ke-14.

Berdasarkan lebih 1,000 orang yang hadir pada majlis GHB di Bukit Piatu, dapat disimpulkan bahawa rakyat 'tetap' bersama 'Pakatan Rakyat' sekalipun kerjasama ini diumumkan sudah mati oleh kedua-dua pihak PAS dan DAP.

Seperti kata Salahuddin Ayub (timbalan pengerusi penaja GHB) di majlis itu, pada PRU ke-13 lalu (Mei 2013) rakyat bukan memberi sokongan kepada parti-parti individu tetapi kepada 'Pakatan Rakyat', kini perikatan pembangkang dan NGO tidak mempunyai masa yang banyak sebaliknya membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik untuk masa depan rakyat dan negara.

Pada PRU lalu, rakyat sudah membuktikan bahawa mereka bersedia membenam Umno-BN dengan memberikan sokongan lebih 51 peratus (undi popular) kepada Pakatan Rakyat, jadi kini gabungan kerjasama pembangkang perlu memberi harapan kepada kepercayaan rakyat itu.

Perjuangan sekarang ini adalah berpusat di tangan rakyat - mereka (ahli parti pembangkang, yang tidak berparti, yang berdiri atas pagar malah sebahagian ahli Umno BN) bersatu untuk mengundurkan keboborokan Najib-Rosmah, jadi apa ditunggu lagi...moh kita akhiri dan kuburkan parti pemerintah berslogankan 'dulu, kini dan selamanya'. Seperti kata seorang pemimpin - Mahathir dan Ku Li pun bersedia menyertai kita!

Ya parti ini tetap akan mati...persoalannya bila? Kalau mahu kuburkannya cepat, sekarang adalah masa terbaik - tajamkan fokus kepada isu Najib-Rosmah, percaya seluruh rakyat sedang mendidih darah mereka!
~http://lanh14.blogspot.com/

Tiada ulasan: