"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cukur bulu ari-ari guna pedang

SUBKY LATIF
TERKENANG sekitar 30 tahun perli orang-orang yang berjanggut dan berkumis, gerangan apa laki-laki yang mahu mendekatkan diri kepada Allah berjanggut, berjambang dan berkumis nipis atau tebal?

Mereka yang menyimpan janggut dan kumis justeru mengikut sunnah Rasulullah SAW. Bahkan setiap nabi dan rasul menyimpan jambang dan janggut. Justeru rata-rata ulama berjanggut.

Ada pun berjanggut dan bermisai itu tidaklah jadi isu di Eropah terutama sebelum pesatnya kemajuan pisau cukur. Tidaklah orang Eropah itu mengikut sunnah nabi. Tetapi setelah pisau cukur yang dikenal Gillette, maka rata-rata orang Eropah membuang janggut dan misai sebagai suatu fesyen. Hatta orang Rusia sebelum didatangi komunis juga mencukur janggut dan misai kerana ia fesyen di Eropah.

Maka orang Melayu yang janggutnya jarang dan kumis nipis ramai memilih tidak berjanggut dan bermisai kerana tak berjanggut dilihat lebih segak daripada berjanggut jarang.

Akan tetapi kebanyakan yang berpendikan agama menyimpan janggut dan misai. Apabila roh dakwah berkembang semua di negara ini sekitar 40 tahun mulalah semuanya hendak berjanggut. Jadi isu. Yang tidak berjanggut dikatakan tidak sunnah.

Maka adalah tokoh masyarakat yang tak bermisai dan tak berjanggut, kata konon yang mengikut sunnah itu tidak sedar betapa orang zaman nabi yang berjanggut itu kerana masa itu tidak ada pisau cukur.

Heboh polemik antara yang prodakwah dan tidak tertarik pada dakwah. Masa itu ada yang mengira dakwah itu songsang. Maka ada yang menerima logik orang Arab berjanggut itu kerana tidak ada pisau cukur. Kerana itu dirasakan Nabi berjanggut.

Tetapi tidaklah benar tiada pisau janggut pada zaman nabi. Jika tiada pisau cukur, mengapa lebih seratus tahun dulu orang Melayu mengetahui tentang hikayat Nabi bercukur. Bila sebut Nabi bercukur, bukan sekadar baginda memotong dan menggunting rambut, bahkan membotakkan kepala.

Dengan apa baginda bercukur jika tidak ada pisau cukur. Mungkin pisau Gillette senipis kulit bawang itu tidak ada, tetapi teknologi pisau cukur itu tentu sudah ada. Jika tidak, adakah Nabi mengguna alat pemotong seperti kapak, pedang dan parang.

Memang pedang sudah ada kerana kejadian berperang sudah ada sejak sebelum zaman nabi lagi. Pedang adalah senjata paling penting. Sebagaimana sekarang semua orang ada telefon bimbit, maka masa itu semua orang ada pedang.

Telah disyariatkan sempurna ibadat haji dan umrah ialah dengan memotong rambut. Kebanyakannya bercukur. Bayangkan pada haji terakhir Nabi, ratus ribu menunai haji bersamanya. Adakah mereka bawa pedang dan kapak. Tiadalah mungkin rambut dicukur jika pencukur itu tidak tajam.

Bahkan sekitar seribu lebih yang ikut baginda umrah dalam Perjanjian Hudaibiyah, Nabi perintah semuanya memotong rambut sebelum pulang ke Madinah setelah umrah itu dibatalkan. Tentulah bukan pedang dan kapak digunakan.

Kalau guna kapak atau apa jenis parang untuk bercukur, bayangkan antara yang disunat oleh baginda setiap hari Jumaat ialah selain dari mengemas janggut, menipis atau mencukur misai, ialah mencukur bulu ari-ari. Sekurang-kurangnya sekali dalam masa 40 hari bulu di sekitar alat kelamin dicukur. Bahkan bulu antara alat kelamin dan dubur juga disunatkan dibuang.

Masakan masa itu bawa kapak atau pedang ke bilik air bagi mencukur semua bulu celah kangkang. Tak praktikal bawa pedang ke bilik air. Tentulah ada sejenis pisau pemotong rambut yang digunakan. Bahkan cukur-mencukur sudah ada pada zaman Nabi Ibrahim lagi.

Tiada ulasan: