MALAYSIA DATELINE
Prof Agus meramalkan 'Tsunami Mahathir' dalam PRU 14 nanti berdasarkan sambutan terhadap ceramah beliau di Kelantan kelmarin.
Setelah meneliti ceramah tiga pemimpin kebelakangan ini, pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusof meramalkan kemungkinan berlakunya "Tsunami Mahathir" dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.
Dalam satu tulisan di Facebook beliau, Agus berkata, beliau telah mengikuti tiga ceramah awal bulan ini.
Pada 3 Februari 2017, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi ceramah di Alor Limbat, Terengganu.
Pada 13 Mac 2017, Datuk Seri Najib memberi ucapan di Bachok, Kelantan.
Pada 15 Mac 2017, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi ceramah di Cherang, Kelantan.
Orang ramai memenuhi padang bola tempat ceramah Dr Mahathir di Kelantan yang membawa andaian 'Tsunami Dr M' dalam PRU 14 nanti.
"Setelah meneliti ceramah tiga pemimpin ini, mungkinkah yang muncul dalam PRU 14 nanti ialah Tsunami Mahathir? Pertanyaan ini wajar diberi perhatian," tulis Agus yang sebelum ini meramalkan kemungkinan kerajaan Pas Kelantan akan jatuh.
Menurut Agus, dalam PRU 1999, biarpun di penjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menggoncang politik Malaysia.
"Ketika itu, goncangan ini kita panggil gerakan Reformasi," katanya.
Dalam PRU 2008, DSAI yang sudah di luar penjara memimpin pakatan pembangkang dan berjaya menafikan kemenangan dua pertiga majoriti BN.
"Ketika itu, kebangkitan rakyat ini kita panggil tsunami politik," katanya lagi.
Dalam PRU 2013, BN sekali lagi gagal memenangi pilihan raya dengan dua pertiga majoriti.
"Ketika itu, kita panggil tsunami Cina," kata saintis politik itu.
Sehubungan itu, beliau membangkitkan apakah akan berlaku dalam PRU 14 nanti.
"Tsunami apa pula yang akan muncul?" katanya.
Bagi beliau, tsunami DSAI tidak mungkin dalam keadaannya sekarang (berada di penjara) kecuali mendapat pengampunan diraja.
"Maka, tokoh yang menentukan gelombang politik Malaysia seterusnya adalah di tangan tiga pemimpin ini — DS Najib Razak yang memimpin BN, Tun Dr Mahathir yang berada dalam PH (Pakatan Harapan) dan Tuan Guru Haji Hadi Awang yang menerajui Pas," tulis beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan