"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tsunami Hadi bakal gegar PRU14? -AHMAD LUTFI OTHMAN

AHMAD LUTFI OTHMAN
Seorang pengamat dan kolumnis terkenal mengakui, pendekatan politik matang dan sejahtera Pas bukan saja tidak difahami secara mendalam oleh orang ramai, malah Presiden Umno, Najib Razak sendiri mungkin keliru untuk mantafsirkannya.

Saya juga berjumpa dan bertemu ramai orang, termasuk sarjana sains politik, bertanyakan hal sama, iaitu tentang pendekatan Pas yang semakin payah dihadam umum. Jawabnya juga hampir tidak berbeda.

Mereka agak keliru dengan gaya berpolitik Pas, yang disifatkan idea tersendiri-mutlak presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang, dan tidak lagi melalui proses semak dan imbang dalam parti.

Yakin dengan Tok Guru

"Kami yakin dengan buah fikiran dan ilham Tok Guru (Haji Hadi). Walaupun kadang-kadang agak susah nak faham apa hikmahnya, tetapi kami percaya idea Tok Guru dipandu wahyu dan petunjuk Allah. Lama kelamaan nanti kita akan mengerti juga mengapa Pas memilih jalannya tersendiri," kata seorang aktivis Parti Islam itu ketika ditanya mengapa Pas memilih pendekatan berbeda dengan parti pembangkang lain.

"Tok Guru Haji Hadi ulama terkemuka dunia, takkan dia nak bawa kita masuk neraka. Ada perkara yang dia nampak, tapi kita tak nampak. Yang penting, jangan sangsi atau bersangka buruk. Cara dan gaya berpolitik orang alim berbeda dengan stail pemimpin sekular pembangkang," seorang penyokong kuat Pas memberi komentar apabila diajukan adakah beliau bersetuju dengan sikap parti itu yang dilihat tidak lagi bertegang urat dengan seteru tradisi, Umno.

bendera pas

Meneliti respons kenalan-kenalan saya dalam facebook, saya juga dapat menangkap mesej yang sama. Penyokong Pas memberi reaksi hampir seragam, sebahagiannya tidak dapat menyembunyikan emosi mereka yang sarat dengan nada marah dan terkilan terhadap posting saya. Ada yang menganggap saya sengaja mengumpan provokasi sedangkan saya sebenarnya ingin meneliti realiti Pas pada peringkat akar umbi.

Perubahan drastik

Walaupun tidak pernah mengenali dari dekat personaliti kenalan di media sosial itu, saya melihat perubahan drastik tanggapan mereka terhadap saya hanya kerana memilih jalan berbeda. Kritikan dan kecaman sambung-menyambung. Malah, ada yang mendoakan penamat buruk buat kehidupan saya, terutama selepas dikaitkan dengan keuzuran berpanjangan.

Ketika Parti Amanah Negara belum ada tanda-tanda untuk ditubuhkan, malah Pas sendiri belum terbelah dua, dalam kemaskini FB, saya memuatkan gambar bertemu Dr Haron Din, Mursyidul Am di kediamannya, di Bangi. Seorang pengunjung seolah-olah mengherdik: "Nak mati baru ingat ulama ke?"

Konvensyen Amanah

Waktu itu siri kritikan bertalu-talu dihalakan kepada sidang editorial Harakah, termasuk saya, yang didakwa mengabaikan laporan tentang kepemimpinan ulama dan lebih memihak kepada Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim. Hal ini acap kali ditimbulkan dalam mesyuarat, dan kami menyanggah keras tohmahan itu, sambil meminta bukti dakwaan tersebut.

Apa pun, semua itu mengasuh saya supaya lebih sabar dan cermat, di samping menginsafi bahawa tidak mudah mempengaruhi orang lain dengan pandangan kita. Lebih malang, roh dan semangat kewartawanan sering disalah-tafsir oleh orang politik. Dan sememangnya setiap orang mempunyai pendirian tersendiri, berdasarkan sejarah dan latar belakang yang berbeda.

Sokongan moral

Minggu lalu, seorang kawan kebetulan singgah di kediaman saya semata-mata untuk memberikan sokongan moral apabila beliau sering membaca komentar negatif dalam FB saya. "Tak tertekan ke perasaan Lutfi bila baca respons penyokong tegar Pas itu?" tanyanya.

"Saya faham perasaan mereka. Saya pun dari produk yang sama dulu. Saya juga daripada spesis pelampau," pantas saya menjawab. "Sayang pada parti Islam luar biasa hebatnya. Rela putus saudara jika parti diusik, apatah lagi kalau mereka anggap telah dikhianati," saya membalas, sambil menambah, "majoriti mereka ikhlas dan tulus dalam perjuangan. Semangat begitu memang baik tapi ia juga mudah dimanipulasi dan diperalatkan."

Umum maklum dengan keikhlasan dan pengorbanan ahli-penyokong Pas. Mereka tidak mengharapkan apa-apa habuan dan tidak perlu diberi upah untuk terus komited dengan idealisme yang diyakini. "Cukup dengan invois yang dihantar ke akhirat dan menerima balasan syurga di sana," itu antara kalimah keramat yang dilafazkan pendukungnya.

Beria-ia mahu bekerjasama

Justeru, saya tidak hairan mengapa ada sebahagian pemimpin Bersatu dan KeADILan yang beria-ia mahu bekerjasama dengan Pas, meskipun sudah jelas terpampang mesej dan isyarat yang menyukarkan berlakunya persefahaman. Mereka menyedari kekuatan atau aset akar umbi Pas, sekurang-kurangnya sebagai jentera kempen PRU14 yang "murah dan ikhlas". Mungkin mereka sudah membayangkan natijah buruk jika aktivis Pas yang dikatakan ramai itu memboikot kempen nanti.

Amat tidak adil untuk menghukum sesuatu organisasi berdasarkan reaksi melampau sebahagian penyokongnya. Mana mungkin dalam sebuah parti politik yang begitu besar dan keanggotaannya terbuka kepada semua "jenis manusia", barisan pemimpinnya dapat mengawal perilaku dan tabiat buruk ahlinya. Ada ahli yang sukar mengawal perasaan dan emosi, apatah lagi tiada tapisan atau saringan sebelum meluahkan apa yang terbuku di dada ke dalam media sosial.

Namun begitu, reaksi spontan ahli-ahli, termasuk yang suka mengeji atau maki-hamun, haruslah dipantau dan dinasihati. Dalam Amanah, gejala tidak sihat itu juga berlaku. Saya perhatikan tidak kurang cemuhan dan tohmahan dilemparkan, kadang-kadang dalam bahasa yang kurang sopan.

Hentikan kata-kata kesat

Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir mengambil tindakan drastik, mengeluarkan arahan kepada seluruh ahli dan penyokongnya, dalam program Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (Nunji) 2017, Februari lalu, agar menghentikan segala bentuk penghinaan atau kata-kata kesat terlawan lawan politik termasuk Pas.

Dua minggu selepas itu, Anuar menghuraikan lebih lanjut: "Saya tidak mengatakan tidak boleh mengkritik. Saya sendiri terus menerus mengkritik parti lawan. Tapi jangan guna perkataan-perkataan kesat, kasar dan bersifat mengeji. Kata-kata nista tidak membawa kita ke mana-mana."

Menjadi lebih malang jika kepimpinan tertinggi parti sendiri menunjukkan teladan buruk dan gagal menjaga lidah masing-masing. Maka, pengikut atau anak murid terikut-ikut dengan rentak di luar batasan itu. Caci-maki kepada seteru politik tidak dianggap akhlak buruk lagi, apatah pula kepada sasaran yang dilihat pengkhianat dan munafik!

Bukan tidak celaru

Saya kira penyokong Pas bukannya tidak keliru dan bercelaru membaca kenyataan pemimpin mereka, terutama berkaitan sikap politik dengan Umno. Terdapat kontradiksi yang ketara, antara pendirian konfrontasi dan diplomasi. Bagaimanapun, amalan walak atau taat setia yang disemai melalui program tarbiyyah sejak sekian lama dapat menghalang daripada tercetusnya pemberontakan dalaman itu.

Tidak pelik apabila penganalisis politik, Dr Agus Yusof dalam posting FB terbaru pada 13 Mac lalu merakamkan: "Dengan pendekatan politik Pas sekarang, saya tengok politik Pas seperti kehilangan arah. Ceramahnya semakin hilang tarikan, cuma semakin sarat dengan cercaan."

Agak kurang pasti bagaimana Dr Agus membuat pemerhatian sebelum mencapai kesimpulan itu. Mengenalinya, saya kira ia tidak dilakukan secara sembrono, tetapi lebih kepada tinjauannya di peringkat bawah, khususnya di Kelantan. Ia tidak jauh lari dengan kenyataan pertama Husam Musa sebaik menyertai Amanah pada 31 ogos 2016: " Saya hairan bagaimana ahli Pas boleh duduk dalam bahtera yang berpusing-pusing."

Bukan masalah ahli

Saya teringat, lama dahulu, seorang editor merumuskan situasi berbeda yang dihadapi parti-parti pembangkang: "Berlainan dengan oposisi lain, misalnya DAP, Semangat 46 mahupun KeADILAN, yang menghadapi masalah di peringkat keahlian, tetapi Pas saya kira mempunyai ahli yang ramai, sedia berkorban, setia. Tiada masalah dengan ahli-ahlinya. Yang menjadi masalah adalah barisan kepimpinannya."

Dalam tulisan lebih awal, saya melihat proses kematangan Pas yang terbina secara evolusi, khususnya sejak zaman kepimpinan ulama 1983, telah terbantut sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Unjurannya untuk menjadi parti pembangkang terbesar dan paling berpengaruh tersekat secara tiba-tiba.

Ia seperti memutuskan hubungan dengan sektor pengundi bukan Melayu, yang baru saja tertarik dengannya, iaitu pada 2008. Hubungannya dengan rakan-rakan sekutu menjadi dingin. Diplomasi politik hancur-berkecai. Laras bahasa yang digunakan nampak kasar dan sering mengguris hati.

Secara peribadi, saya sendiri gagal memahami mengapa fenomena ini boleh berlaku dalam sekelip mata. Semua tertumpu meletakkan faktor utama kepada sosok tubuh presidennya, Ustaz Hadi. Namun, meneliti susur-galur pengalaman siasah ulama terkemuka dunia ini. sepatutnya Pas menjadi lebih ke hadapan untuk membawa perubahan.

Pengalaman bertakah Ustaz Hadi

Bayangkan, belum pun berusia 30 tahun, ustaz Hadi sudah diangkat sebagai Ketua Pemuda Pas Terengganu. Ketua mencecah 30, beliau dipilih AJK Pas Pusat. Setahun selepas itu dilantik pemangku Naib Presiden. Menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden dalam usia 42 tahun, gandingan mantap bersama Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Pada peringkat awal kepimpinan ulama, karismanya bukan sahaja lebih menyerlah berbanding Ustaz Fadzil, malah dia lebih dikenali daripada Presiden, Haji Yusuf Rawa. Ceramahnya sendat dengan orang ramai. Pidatonya di kampus -- ketika universiti masih membenarkan audien luar -- mendapat sambutan hangat, melimpah ruah. Dia umpama idola kebangkitan Islam abad ke-15 Hijrah, menenggelamkan wibawa Anwar yang juga popular di awal tahun 1980-an.

Ustaz Fadzil Mohd Noor

Ustaz Hadi juga tidak menunggu lama sebelum dipilih Adun Marang, Terengganu ketika berusia 35 tahun bersama empat lagi tokoh Pas negeri yang digelar "lima jari jika dikepal menjadi penumbuk yang kuat". Beliau diberi penghargaan menjadi hiasan muka depan majalah berita antarabangsa, Asiaweek.

Empat tahun kemudian, Ustaz Hadi dipilih menjadi Ahli Parlimen. Manakala ustaz Fadzil terpaksa menunggu sehingga 1999 untuk beraksi di Dewan Rakyat sebagai Ketua Pembangkang. Sebelumnya hanya di Dewan Undangan Negeri Kedah bersama Adun Pas yang tidak pernah melebihi tiga orang.

Khazanah berharga

Sudah tentu pengalaman ustaz Hadi di peringkat pusat membolehkan beliau mengutip khazanah berharga buat kerjaya politiknya, terutama apabila mula berhubung dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan pimpinan Semangat 46, melalui Angkatan Perpaduan Ummah, termasuk secara tidak langsung dengan Lim Kit Siang dan ahli-ahli Parlimen DAP, melalui Gagasan Rakyat.

Allah mentakdirkan, masa sama, Ustaz Hadi menjadi menteri besar Terengganu, satu lagi posisi strategik yang mendedahkan dirinya dengan rutin pengurusan dan pentadbiran. Kematian secara mengejut Ustaz Fadzil pada 2002, meletakkan Ustaz Hadi sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, satu jawatan yang menghamparkan pengalaman bermakna terutama dalam konteks hubungan dengan NGO dan parti oposisi lain.

asiaweekMaknanya peningkatan bertangga Ustaz Hadi dalam politik dan pentadbiran seperti menyusun agar beliau mampu bertapak dalam kedudukan lebih tinggi; tidak mustahil sebagai perdana menteri. Tidak hairanlah, sekali lagi, Asiaweek keluaran 16 Jun 2009, meletakkan gambarnya di paparan muka depan, dengan tajuk besar yang cukup menarik-provokatif, "Will He One Day Lead Malaysia?"

Kesimpulan mudahnya, lorong politik yang dilalui Ustaz Hadi sepatutnya membuatkan beliau penuh berhemah dan bijaksana menangani cabaran dalaman parti mahupun tentangan luaran yang semakin kompleks. Dekat dengan masyarakat kampung, akrab dengan puluhan ribu jamaah Masjid Rusila serta tidak kekok meraikan kepelbagaian dan kemajmukan. Terus disayangi ahli parti, dan sama sekali tidak terfikir Pas akan terbahagi di zamannya.

Sentuhan tersendiri

Sudahlah di persada antarabangsa, kedudukannya sebagai Naib Ketua Ulama Sedunia dan penglibatan proaktifnya dalam isu-isu global yang dihadapi ummah, begitu signifikan sekali. Walaupun kadang-kadang menimbulkan kontroversi, perspektif pandangannya mengenai konflik dunia Islam mempunyai sentuhan tersendiri.

Sesungguhnya malang sekali, tokoh yang terdedah dengan gumpalan pengalaman tidak ternilai itu, seperti memilih jalan mati atau pendekatan yang keliru buat partinya, ketika Pas berada di puncak kemasyhuran. Ia bagai liabiliti yang bakal mengundurkan Pas jauh ke belakang.

"Orang heboh bercakap tentang tsunami Melayu-Islam dalam PRU14, tapi saya jangkakan akan berlaku Tsunami Hadi. Selalu kesan tsunami membawa kerosakan. Saya bimbang padahnya buat Pas," kata seorang sarjana sains politik kepada saya. Buat masa ini saya masih tidak dapat memahami ramalan kenalan saya itu.

Tiada ulasan: