Timmy Say
Kisah 1
Pelbagai jenis spekulasi timbul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sepupunya, yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.
Ia disusuli dengan pembangkang terus membuat tekaan pelantikan itu menandakan kedudukan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini goyah, dan peluang beliau untuk menjadi Perdana Menteri semakin malap.
Ketika spekulasi liar hangat, Najib menyimbah air sejuk dengan mendedahkan sebenarnya Zahid yang mencadangkan agar Hishammuddin agar menjawat jawatan tersebut.
Ada yang terus bertanya, jika benar, mengapa Zahid sendiri tidak mengumumkannya ketika media mendapat reaksinya sejurus pelantikan Hishammuddin diumum?
Bukan itu sahaja, ada yang turut menyoal apakah 9 menteri yang ada di Jabatan Perdana Menteri hari ini tidak boleh menggalas tugas “Tugas-Tugas Khas” yang diberikan kepada Hishammuddin? Di mana keperluannya? Jika 9 menteri ini sibuk, Hishammuddin lagilah sibuk dengan portfolio Menteri Pertahanan dan juga Naib Presiden Umno yang tunggal.
Persoalannya, apakah yang mencetuskan pelantikan ini terjadi?
Menariknya, susulan pelantikan Hishammuddin, Najib terus membuat deklarasi bahawa BN akan menang PRU14 sama ada ia diadakan tahun ini atau tahun depan.
Kalau begitu, apa yang sedang ditunggu BN? Apakah BN perlu menunggu Hishammuddin untuk menyiapkan tugasan khasnya terlebih dahulu?
Kisah 2
Pada 28 Mac 2017, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi kebenaran melawat isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dirawat di hospital baru-baru ini selama 45 minit.
Peliknya, hanya 18 hari sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru sahaja menolak permohonan Anwar untuk dibenarkan sentuhan fizikal dengan ahli keluarganya semasa lawatan ke penjara.
Harap semua dapat bersangka baik bahawa pihak teratas yang memberikan kelulusan itu melakukannya atas dasar kemanusiaan semata-mata tanpa sebarang niat politik. Tapi… mungkinkah, terutamanya jika dinilai berdasarkan amalan politik PKR dan Umno? Buatlah bacaan sendiri.
Kisah 3
Hanya berdasarkan perbualan dengan seorang bekas pegawai “paling kanan” dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak dinamakan, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membuat akaun bersumpah (SD).
Di dalam SDnya, beliau mendakwa bekas Timbalan Presiden PAS Datuk Nasharudin Mat Isa, yang tidak lagi melibatkan diri dalam sebarang aktiviti PAS sejak ditewaskan Mohamad Sabu di 2011, menerima dana melibatkan 1MDB, yang disalurkan melalui SRC International Sdn Bhd ke akaun Najib.
SD berdasarkan “hearsay” ini bukan pertama kali dilakukan. Ia seiras dengan SD yang dilakukan Raja Petra Kamaruddin pada 2008 terhadap pembunuhan Altantuya di mana beliau menggunakan perkataan “I am reliably informed…”.
Cabaran SD sebegini ialah ia memerlukan pemberitahu maklumat untuk mengesahkannya. Apakah pemberi maklumat ini akan tampil atau menghilangkan diri? Selain itu, rekod kes mahkamah Rafizi setakat ini juga tidak menyebelahi beliau.
Tujuan Rafizi membuat sedemikian sejurus selepas presiden PAS berjaya membentangkan RUU 355 di parlimen agak jelas.
Cuma ramai yang tertanya, apakah ada motif lain selain motif yang nyata itu, dan apa untungnya isu ini kepada PKR mahupun Pakatan Harapan yang ingin mendapatkan undi orang PAS untuk menjatuhkan BN?
Ataupun sasaran sebenar Rafizi bukan PAS, tapi orang sendiri di dalam partinya? Rakyat terpaksa tunggu dan lihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan