"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tantawi tokoh 'kemenyan sebesar lutut'

Al-Abror Mohd Yusuf
Mari kita perkatakannya secara polos, langsung, ringkas, lurus dan tanpa perumpamaan atau bidalan.

PAS sudah cukup kukuh, tetapi ia perlu diperkukuhkan lagi pada muktamar tahunan parti itu di Alor Setar akhir bulan ini.

Dua pemimpin teratas sudah terjamin menangnya. Ia adalah situasi cukup mantap. Apa lagi yang diharapkan oleh PAS selain gandingan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man?

Seorang berstatus tuan guru dan kaya dengan seni tikaman bidalan, manakala seorang lagi bekas pensyarah yang terkenal dengan tawaduk dan hemahnya.

Tinggal lagi tiga jawatan sedikit kemudian. Naib presiden. Itu yang perlu diperhatikan oleh perwakilan. Bukanlah penyandang sekarang tidak berkesan, apa lagi tidak sehaluan dengan kepimpinan utama PAS.

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Idris Ahmad sudah membuktikan mereka adalah hulubalang yang boleh diharapkan oleh seluruh anggota PAS meneruskan perjuangan memartabatkan Islam.

Namun itulah masalahnya. Seorang lagi calon dinamakan untuk menawarkan khidmat mengemudi PAS dari belakang Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim.

Sebenarnya ada dua nama baru dicalonkan anggota PAS tetapi seorang daripada mereka - Datuk Takiyuddin Hassan - semalam sudah mengumumkan menarik diri daripada bertanding.

Paling berkaliber pernah ada

Anggota parlimen Kota Bharu itu hanya sedia berkhidmat melalui jawatan lantikan. Maksudnya, ada empat tempat penting yang boleh diserahkan oleh PAS kepada beliau - setiausaha agung, ketua penerangan dan bendahari dan pengarah pilihan raya.

Namun untuk pengarah pilihan raya, tokoh paling layak sudah ada jika PAS berpendapat penyandang sedia ada - Datuk Mustafa Ali - mahu mengubah angin.

Siapa lagi yang lebih layak dilantik menggantikan pemimpin kanan PAS itu kalau bukan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Seorang lagi calon naib presiden ialah Anggota Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan al-Tantawi. Beliau adalah bekas ketua pemuda PAS dan antara tokoh paling berkaliber pernah dilihat dalam sejarah pergerakan itu setakat ini.

Pernah dikepung oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor pada era BN memerintah negeri itu, siapa sangka Nasrudin mampu menjejak kaki ke Dewan Rakyat apabila beliau diberi kepercayaan oleh pembangkang bertanding di Temerloh.

Kerusi Temerloh itu sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-13 adalah milik Datuk Saifuddin Abdullah, seorang pemimpin Umno yang disegani rakan dan lawan.

Namun atas karisma Nasrudin - seorang ilmuan lepasan Universiti al-Azhar - mengatasi Saifuddin. Daripada 66,105 pengundi berdaftar di Temerloh sebanyak 85.6 peratus keluar membuat pilihan masing-masing di peti undi.

Daripada jumlah itu 28,267 orang memangkah Nasrudin dan hanya 27,197 orang memilih untuk mengekalkan Saifudin. Majoriti itu adalah besar.

Panglima Abdul Hadi

Penangan bekas ketua pemuda PAS itu bukan saja menyebabkan Saifudin terpinggir daripada Umno, malah beliau seolah-olah dihanyutkan oleh arus perubahan massa sehingga bekas timbalan menteri itu menyertai PKR.

Hakikat itu sudah menunjukkan betapa berkemampuannya seorang tokoh bernama Nasrudin.

Beliau juga diberi keyakinan oleh presiden PAS untuk menduduki jawatan yang begitu penting iaitu ketua penerangan pusat parti berkenaan.

Tanpa kaliber sebesar itu mana mungkin Abdul Hadi boleh menunjuk batang tubuh Nasrudin untuk menjadi ketua kepada jentera penerangan PAS di seluruh Malaysia.

Lebih penting, Nasrudin adalah seorang daripada panglima PAS memperjuangkan dan mempertahankan rang undang-undang persendirian dibawa Abdul Hadi untuk memperkasa mahkamah syariah.

Bukanlah orang lain tidak garang, tetapi garang Nasrudin selalu benar terserlah di sebalik lilitan serban dan jubahnya. Namun di belakang ranggi itu terselit jiwa yang sangat lembut.

Detik beliau menitiskan air mata ketika Abdul Hadi membentangkan rang undang-undang bagi meminda Akta 355 pada 6 April lalu sudah cukup menyentuh jutaan hati umat Islam.

Entah berapa ramai yang turut sebak dan menitiskan air mata melihat air mata Nasrudin pada petang Khamis yang bersejarah itu.

Beliau laksana terlentang bersama menadah embun, tertiarap bersama memakan pasir.

Seseorang yang memenangi pemilihan pada muktamar ke-63 itu akan membawa tanggungjawab berat sehingga 2019. Lebih berat, PAS akan berdepan dengan PRU ke-14 pula yang perlu diadakan selewat-lewatnya suku ketiga tahun depan.

Masalahnya, siapakah yang terpaksa diketepikan oleh perwakilan PAS bagi menempatkan Nasrudin pada muktamar ke-63 mereka nanti? Ia adalah persoalan yang cukup rumit.

Antara Mohd Amar, Idris dan Iskandar, siapa yang terpaksa memberikan tempat mereka kepada Nasrudin?

Memang lazim begitu

Secara umum PAS perlu mengekalkan Mohd Amar. Timbalan menteri besar Kelantan itu setakat ini membuktikan kepintaran beliau berpolitik. Lihat saja bagaimana beliau mengemudi PAS di Kelantan bersama Datuk Ahmad Yakob. Dan apa yang jadi pada negeri itu sekarang.

Selain pintar Mohd Amar juga menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin masa depan yang cemerlang. Dengan ketegasannya, bayangkan apa yang boleh dilakukannya jika beliau kekal sebagai naib presiden dan suatu ketika nanti menjadi menteri besar Kelantan.

Jika ada peluang Mohd Amar mungkin juga boleh diketengahkan sebagai calon timbalan presiden pada muktamar akan datang.

Justeru, pilihan yang ada hanyalah Idris dan Iskandar. Namun untuk memilih seorang daripada mereka tidaklah semudah melilit serban di kepala atau mencipta bidalan di pentas ceramah.

Kedua-dua mereka terbukti banyak benar jasanya kepada PAS. Kedua-dua mereka pernah menjadi pensyarah dan seorang daripadanya pernah melepaskan jawatan itu untuk menjadi calon parti dalam pilihan raya kecil.

Usah ditanya apakah pengorbanan mereka untuk PAS. Tentulah banyak kerana memang setiap anggota parti itu memang lazim benar berkorban wang ringgit, masa dan tenaga.

Namun, pada masa sama, perlu diakui bahawa bukanlah aneh untuk seseorang yang banyak berkorban diketepikan oleh PAS. Sejarah sudah membuktikannya.

Terserah kepada kebijakan perwakilan dari seluruh negara untuk memilih Nasrudin menduduki salah satu kerusi naib presiden PAS. Masa untuk beliau adalah sekarang, bukan kemudian. Tidak ada istilah "nanti".

Andai itu berlaku, bermakna salah seorang naib presiden sekarang akan terketepi. Adakah tokoh itu akan dilupakan? Sudah pasti tidak. Parti tentu mempunyai tempat untuk tokoh terbabit terus menyambung khidmat.

Lagi pun, bukankah semua anggota PAS tidak mengharapkan jawatan kecuali untuk memberikan sepenuh perhatian berkhidmat demi parti?

Sekali lagi, mari kita katakan secara terus terang, tanpa perumpamaan atau bidalan - Nasrudin perlu menjadi pilihan perwakilan mengemudi bahtera bernama PAS.

Memanglah sudah terlewat, tetapi berbaloi juga disebut di sini bahawa senarai yang paling ideal ialah, bersama Nasrudin bertanding untuk jawatan naib presiden itu ialah Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Kedua-dua mereka adalah hulubalang rang undang-undang meminda Akta 355 (RUU355).

Dan paling ideal pula ialah, jika PAS dapat membawa seorang lagi hulubalang RUU355 iaitupakar keselamatan dan antikeganasan Zamihan Mat Zin.

Andai itu berlaku masa depan PAS tersangatlah cerah.
-malaysiakini

Tiada ulasan: