"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Konvensyen PKR kecoh susulan pertembungan Ramanan - Hassan, paksa siaran langsung ditamatkan

Jassmine Shadiqe
jashadiqe@nst.com.my
PERTELINGKAHAN berlaku antara Ramanan dan Hassan pada Konvensyen Keadilan Johor hari ini. FOTO arkib NSTP
PERTELINGKAHAN berlaku antara Ramanan dan Hassan pada Konvensyen Keadilan Johor hari ini. FOTO arkib NSTP
Johor Bahru: Konvensyen Keadilan Johor yang bertujuan mempamerkan perpaduan bertukar menjadi medan pertelingkahan awam hari ini, selepas pertembungan sengit di atas pentas antara Naib Presiden parti, Datuk Seri R Ramanan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Pertelingkahan itu memaksa penganjur menghentikan siaran langsung acara secara tiba-tiba, dan pengamal media diiring keluar dari dewan.

Gangguan itu berlaku di tengah-tengah ucapan apabila Hassan mencelah Ramanan, membantah kenyataan yang dianggapnya sebagai menyasarkan individu tertentu.

"Ini adalah konvensyen, bukan tempat untuk menyerang individu," kata Hassan yang kelihatan kesal sambil diperhatikan oleh perwakilan.

Ramanan yang sebelum itu menyelar pengkritik dalaman dan mendakwa terdapat serangan terhadap parti, tetap mempertahankan pendiriannya dengan menegaskan bahawa kesetiaan kepada parti mesti diutamakan.

"Apabila parti diserang, kita mesti mempertahankannya. Apa yang kita tidak boleh terima adalah serangan dari dalam," katanya, sambil menolak dakwaan kononnya terdapat kelemahan dalam parti sebagai tidak berasas.

Pertelingkahan itu memuncak dengan pantas, dengan kedua-dua pemimpin bercakap serentak dalam satu paparan geseran dalaman yang jarang berlaku dan sangat nyata.

"Ini adalah 'masa' (ucapan) saya," ulang Ramanan berkali-kali ketika beliau cuba mengawal keadaan.

Hassan membantah dan mempersoalkan kewajaran mengkritik pemimpin yang tidak hadir untuk mempertahankan diri.

"Saya tidak setuju. Ini Johor," kata Hassan, sambil menambah bahawa individu tidak sepatutnya disasarkan ketika ketiadaan mereka.

Beberapa ketika kemudian, siaran langsung konvensyen ditamatkan.

Video yang dirakam oleh hadirin dan tersebar secara dalam talian menunjukkan pertembungan itu berterusan selepas siaran dihentikan, dengan Ramanan terus mendesak agar ahli bersatu dan menyokong kepimpinan parti, termasuk Perdana Menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apa yang saya minta hanyalah supaya kita menyokong Perdana Menteri kita, parti kita, dan Presiden kita," katanya.

Pertelingkahan itu menyusul selepas kritikan awal Ramanan terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang tidak hadir ke konvensyen itu.

Insiden itu mendedahkan ketegangan yang membara dalam PKR pada ketika kepimpinannya sedang menggesa disiplin dan perpaduan di tengah-tengah tekanan politik dan ekonomi yang memuncak.

Tiada maklum balas rasmi daripada kepimpinan parti setakat laporan ini ditulis.

Iran hantar surat peringatan kepada PBB ekoran serangan loji nuklear Iran

Buletin TV3 

Serangan loji nuklear Iran tingkatkan risiko pencemaran radioaktif rentas sempadan
Imej satelit loji nuklear Bushehr di Iran. – Foto fail AFP/ Maxar Technologies
TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung, serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap loji nuklear negara itu yang boleh mengakibatkan risiko pencemaran radioaktif rentas sempadan.

Dalam surat rasmi pada Selasa lalu kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Araqchi menyatakan, beberapa fasiliti nuklear Iran termasuk Loji Janakuasa Nuklear Bushehr yang digunakan untuk tujuan aman dan berada di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menjadi sasaran serangan AS dan Israel.

Beliau berkata, serangan berkenaan berisiko mencetuskan pencemaran radioaktif yang boleh memberi kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar di rantau berkenaan.

Araqchi turut mendakwa dalam tempoh sembilan bulan lalu, Iran berdepan dua “perang pencerobohan”, sambil mengkritik kegagalan Majlis Keselamatan PBB dan IAEA untuk mengutuk tindakan berkenaan atau mengambil langkah pencegahan.

Dalam surat itu, beliau turut menyenaraikan beberapa siri serangan sejak 1 Mac lalu, antaranya kemudahan nuklear Natanz diserang sebanyak dua kali pada 1 Mac, serangan berhampiran loji Bushehr pada 17 Mac dan pengeboman beberapa lokasi di Natanz pada 21 Mac lalu.

Serangan berulang berhampiran loji aktif Bushehr disifatkan sebagai “amat membimbangkan” kerana boleh mencetuskan kebocoran radiasi.

Iran menegaskan tindakan tersebut melanggar beberapa resolusi antarabangsa termasuk resolusi PBB serta prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.- AGENSI

Kuwait sahkan serangan dron Iran cetus kebakaran, rosakkan kompleks kerajaan

Astro AWANI
Iranian drones and missiles slammed into Kuwait’s Ministry of Oil building in Shuwaikh today, sparking large fires at the heart of the country’s vital oil sector.
Dron dan peluru berpandu Iran menghentam bangunan Kementerian Minyak Kuwait di Shuwaikh, mencetuskan kebakaran besar di tengah-tengah sektor minyak negara itu yang kritikal. - Foto X/@corefrontline
KUWAIT CITY: Kuwait mengesahkan sebuah serangan dron dipercayai dilancarkan oleh Iran telah mencetuskan kebakaran serta menyebabkan kerosakan ketara pada beberapa kompleks kerajaan dan sektor minyak negara itu.

Menurut Agensi Berita Rasmi Kuwait (KUNA), Kuwait Petroleum Corporation (KPC) memaklumkan kebakaran tercetus di kompleks sektor minyak Shuwaikh, yang menempatkan Kementerian Minyak dan ibu pejabat KPC, susulan serangan dron berkenaan.

Tiada kecederaan dilaporkan, dan pasukan kecemasan serta bomba segera dikerahkan untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.

Dalam perkembangan berasingan, media kerajaan Kuwait, yang memetik Kementerian Kewangan, melaporkan sebuah dron Iran turut menyerang kompleks pejabat kementerian kerajaan, menyebabkan kerosakan material yang ketara namun tidak mengakibatkan sebarang korban jiwa.

Pihak berkuasa Kuwait setakat ini belum menyatakan langkah susulan diplomatik atau keselamatan secara terperinci, ketika ketegangan serantau terus meningkat berikutan konflik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel.

Dua lelaki maut nahas 4 kenderaan di DUKE

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
DUA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya DUKE. FOTO Ihsan PDRM
DUA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya DUKE. FOTO Ihsan PDRM
Kuala Lumpur: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori dan sebuah kenderaan pikap di Kilometer (KM) 10.4 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dari arah Tol Ayer Panas menghala ke Ampang, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku jam 3.43 petang membabitkan tiga lori jenis Hicom dan Isuzu serta sebuah pikap Mitsubishi Triton.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah lori berhenti di lorong tengah akibat kerosakan enjin sebelum sebuah pikap dari arah belakang gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian belakang lori terbabit.

"Susulan itu, sebuah lagi lori berhenti bagi memberi bantuan, namun sebuah lori lain yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar semua kenderaan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, dua lelaki masing-masing berusia 52 tahun dan 53 tahun maut di lokasi kejadian.

"Mangsa adalah seorang lelaki tempatan yang juga pemandu lori serta pemandu pikap, seorang lelaki warga Bangladesh.

"Kedua-duanya berada di luar kenderaan ketika kejadian sebelum tersepit dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan," katanya.

Katanya, tiga lagi individu iaitu dua lelaki berusia 43 dan 35 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori terakhir mengawal kenderaan sehingga melanggar kenderaan yang berhenti di lorong tengah.

"Ujian saringan pernafasan (EBA) terhadap pemandu terbabit didapati negatif, manakala ujian saringan air kencing masih dalam tindakan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Lelaki bogel ganggu lalu lintas ditahan polis

Bernama

IPOH: Polis menahan seorang lelaki dipercayai tidak siuman yang berkelakuan tidak senonoh sehingga mengganggu lalu lintas di pekan Langkap dekat Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 9.35 malam mengenai seorang lelaki yang berbogel serta mengganggu lalu lintas di Jalan Langkap-Chui Chak.

“Bertindak atas maklumat itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dalam keadaan berbogel seperti tular di media sosial.

“Suspek dibawa ke Balai Polis Langkap untuk tindakan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan dan penilaian pakar psikiatri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chua menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan video kejadian itu bagi menjaga maruah individu terlibat. 

-- BERNAMA

PBB sudah tidak relevan

Raja Bahrin kritik PBB: Bertindak untuk minyak, bukan nyawa
Harapandaily

Seorang pemimpin politik menyelar tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang dilihat lebih cenderung melindungi kepentingan ekonomi global berbanding nyawa manusia dalam konflik antarabangsa semasa.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata cadangan untuk menggunakan kekerasan bagi membuka Selat Hormuz membuktikan keutamaan diberikan kepada aliran minyak dan gas berbanding krisis kemanusiaan.

Menurutnya, tindakan itu dibuat selepas beberapa minggu konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang telah menjejaskan kestabilan serantau.

Sebaliknya, beliau berkata penderitaan rakyat di Gaza yang berlarutan sekian lama gagal mendapat perhatian setimpal daripada badan antarabangsa itu.

“Lebih dua juta rakyat Gaza menderita akibat kebuluran, penyakit dan serangan berterusan, namun tiada usaha bermakna untuk membuka laluan bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Raja Bahrin turut mempersoalkan peranan UNSC yang menurutnya sering terhalang oleh penggunaan kuasa veto, khususnya oleh Amerika Syarikat.

Katanya, keadaan itu menjadikan badan berkenaan dilihat tidak berdaya dalam menangani konflik yang melibatkan kepentingan kuasa besar dunia.

Beliau juga mendakwa tiada resolusi tegas dibentangkan bagi menangani perang yang didakwanya tidak sah terhadap Iran, termasuk serangan ke atas kemudahan awam.

Dalam masa sama, tindakan Iran menyekat laluan di Selat Hormuz disifatkannya sebagai reaksi terhadap tekanan dan serangan yang dihadapi negara itu.

Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata perkembangan semasa menunjukkan dunia semakin bergerak ke arah sistem multipolar dan tidak lagi menerima dominasi satu kuasa tunggal.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan relevansi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu jika badan itu terus gagal bertindak secara adil dalam isu melibatkan nyawa manusia.

Kanak-kanak perempuan mengamuk, ibu guna duit raya beli emas

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan anak gadis itu mengamuk apabila duit raya miliknya digunakan untuk membeli emas. - TikTok
JAKARTA – Seorang kanak-kanak perempuan di Indonesia menangis seperti kerasukan apabila ibunya menggunakan duit raya milik anak gadis itu untuk membeli emas, lapor portal berita Lambe Turah. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @udaawak535 menunjukkan kanak-kanak itu menangis teresak-esak sambil memukul ibunya secara berulang kali di sebuah kedai barang kemas. 

Dia bertindak sedemikian kerana ibunya menggunakan duit raya yang diterima untuk membeli emas. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 471,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Bagi saya, lebih elok beli emas daripada barang yang tidak berfaedah. Kalau emas, kita boleh jual terutamanya dalam masa terdesak,” kata seorang netizen. 

“Itu hak mereka,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Iran tembak jatuh jet perang kedua Amerika Oleh KOSMO

KOSMO
Gambar menunjukkan pesawat jenis A-10 Thunderbolt milik Tentera Udara AS pada 29 Jun 2020. - Tentera Udara AS
TEHRAN – Tentera Iran menembak jatuh jet pejuang kedua milik Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk selepas sebuah jet pejuang F-15 terhempas di barat daya negara itu, lapor portal berita The New Arab.

“Sebuah pesawat serangan darat A-10 milik AS ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara dan terhempas ke laut di Teluk Parsi,” lapor penyiar negara IRIB. 

Berita terbaharu itu menyusul selepas Iran melancarkan misi menjejaki  kru jet pejuang AS yang terhempas sebelum itu  dengan mengerahkan tenteranya serta menawarkan ganjaran kepada orang ramai. Berita Video

Jet tersebut ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara republik Islam itu semalam, demikian menurut media Iran.

Media AS melaporkan bahawa pasukan khas Washington berjaya menyelamatkan salah seorang daripada dua kru pesawat F-15. 

Stesen penyiaran rasmi tempatan di wilayah Kohgiluyeh dan Boyer-Ahmad menyiarkan rakaman video memaparkan bangkai pesawat yang ditembak jatuh itu.

Markas Perintah AS (CENTCOM) yang bertanggungjawab untuk operasi ketenteraan di Asia Barat, tidak memberikan maklum balas berhubung kejadian tersebut. – AGENSI

AWAS!!!Guna dua kaki pandu kereta auto boleh undang kemalangan – PHM

AMIR HAIKAL KAMARUDIN
Poster yang dimuat naik oleh PHM di laman media sosial.
PETALING JAYA – Tabiat segelintir pemandu kereta automatik yang menggunakan kedua-dua belah kaki untuk menekan pedal minyak dan brek disifatkan berbahaya serta boleh mengundang kemalangan, terutama ketika berdepan situasi cemas di jalan raya.

Menerusi hantaran Public Health Malaysia (PHM) di media sosial, perbuatan itu bukan sahaja bercanggah dengan reka bentuk ergonomik kenderaan automatik, malah boleh menyebabkan pemandu bertindak luar kawalan ketika panik.

Menurut PHM, kereta auto direka untuk dipandu menggunakan satu kaki sahaja iaitu kaki kanan, manakala kaki kiri sepatutnya diletakkan di ruang rehat kaki atau footrest yang disediakan.

Katanya, antara risiko utama penggunaan dua kaki ialah kekeliruan otak ketika saat kecemasan, khususnya apabila pemandu perlu membuat keputusan dalam tempoh singkat seperti mengelak motosikal yang mencelah atau pejalan kaki yang melintas secara tiba-tiba.

“Dalam keadaan panik, refleks semula jadi badan ialah menegang dan menekan kedua-dua belah kaki serentak.

“Akibatnya, pedal minyak dan brek boleh ditekan pada masa sama sehingga menyebabkan kereta tersentak serta meningkatkan risiko kemalangan maut,” katanya.

Selain itu, PHM menjelaskan kaki kiri lazimnya tidak mempunyai kepekaan yang cukup halus untuk mengawal tekanan brek secara lembut berbanding kaki kanan yang lebih biasa digunakan semasa memandu.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan brek ditekan secara kasar dan mengejut, sekali gus menjadikan pemanduan tidak selesa serta boleh menyebabkan penumpang berasa loya atau terkejut.

Dalam masa sama, PHM turut mengingatkan bahawa penggunaan kaki kiri pada pedal brek juga boleh menyebabkan tabiat riding the brake atau menekan brek secara berterusan tanpa sedar sepanjang pemanduan.

“Keadaan itu boleh menyebabkan pad brek cepat haus, mengeluarkan asap dan lampu brek belakang sentiasa menyala hingga mengelirukan pemandu lain di belakang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

SPRM tahan bekas pengerusi kuil disyaki seleweng dana RM50,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengerusi sebuah kuil di Selangor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kuil berjumlah RM50,000.

Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 70an itu ditahan kira-kira 3 petang, Khamis lepas ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada November 2021 dan turut bersubahat dengan seorang lagi individu yang ditahan Mac lepas, dengan mengemukakan invois tuntutan bayaran perkhidmatan konsultansi berjumlah RM50,000 bagi tujuan kerja-kerja pembaikan kuil berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, kerja-kerja tersebut dipercayai tidak pernah dilaksanakan dan hanya helah untuk mengelirukan pihak pengurusan kuil.

Sumber itu berkata, siasatan kini tertumpu kepada kuil tersebut yang telah wujud sejak 1950an, yang mana sumber kewangan utamanya adalah melalui sumbangan serta derma daripada penganut Hindu yang beribadah di situ.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati pendaftaran kuil tersebut telah dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Oktober 2024.

Kuil tersebut juga didapati dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

“Keadaan kuil yang tidak berdaftar menyebabkan ketiadaan pemantauan oleh pihak berkuasa terhadap pengurusan kewangan dan perbelanjaannya, sekali gus membuka ruang kepada berlakunya penyelewengan dana sumbangan orang awam.

“Penyelewengan ini dipercayai telah memberi kesan kepada operasi serta kebajikan kuil, termasuk menjejaskan aktiviti keagamaan dan kepercayaan penganut terhadap pengurusan institusi tersebut,” kata sumber.

Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli yang mengesahkan tangkapan tersebut itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan didakwa dalam masa terdekat.