"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dicekup di rumah ibu tunggal selepas gaduh dengan isteri

KOSMO!
SEORANG lelaki berstatus suami dicekup berkhalwat bersama ibu tunggal dua anak selepas dikatakan bergaduh dengan isterinya dalam serbuan di Krubong, Melaka, semalam. Foto ihsan JAIM
MELAKA – Seorang lelaki berstatus suami orang dicekup berkhalwat bersama seorang ibu tunggal selepas dikatakan bergaduh dengan isterinya di Krubong, di sini, semalam.

Lelaki berusia 34 tahun itu dan wanita terbabit 40 tahun ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam serbuan kira-kira pukul 11.15 pagi.

Menurut sumber, tangkapan itu dilakukan hasil maklumat orang awam yang curiga dengan kehadiran lelaki tersebut di kediaman wanita berkenaan.

“Hasil soal siasat, lelaki terbabit yang bekerja sebagai subkontraktor memberitahu dia datang ke rumah wanita berstatus ibu tunggal dua anak itu selepas bergaduh dengan isterinya.

“Bagaimanapun, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana perbuatan bersekediaman walaupun ditemani anak tetap melanggar hukum syarak,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pasangan itu kemudian ditahan bersama dua anak wanita berkenaan, masing-masing lelaki dan perempuan berusia 18 dan 21 tahun, bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkhalwat atau berkurung yang mendatangkan syak.- KOSMO! ONLINE

Remaja ditemukan maut, polis jalankan siasatan lanjut

Noor Hidayah Tanzizi

SUNGAI BULOH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditemui tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah rumah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa pada jam 6.27 petang, sebelum anggota digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh yang berada di tempat kejadian mengesahkan remaja tempatan itu sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan tiga saksi untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Seksyen itu memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana individu yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak yang mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak berkenaan kepada kecederaan fizikal atau emosi.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Hafiz menegaskan, kes berkenaan masih dalam siasatan dan menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes, diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Amirul Amin Shukor di talian 013-6695290.

Inkues: Diari dedah kesakitan psikologi Zara Qairina - Pakar Psikiatri

Olivia Miwil
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kandungan diari Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan kesakitan psikologi yang dialaminya, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Peguam Datuk Ram Singh menyoal saksi pakar, Dr Chua Sze Hung, berhubung frasa konflik dengan ibu bapa dalam laporan autopsi psikologi beliau.

Menjawab soalan itu, saksi yang juga Pakar Perunding Psikiatri Forensik itu berkata konflik berkenaan merujuk kepada hubungan antara Zara Qairina dan ibunya, Noraidah Lamat, seperti direkodkan dalam diari.

Dokumen itu diteliti bagi menghasilkan laporan setebal 84 muka surat yang merumuskan cara kematian Zara Qairina adalah konsisten dengan bunuh diri.

Dr Chua berkata, catatan diari menunjukkan kemarahan dan kekecewaan Zara Qairina, termasuk penggunaan kata-kata kesat terhadap ibunya.

Diari itu juga menyatakan Zara Qairina pernah dipukul pada kaki kerana menggunakan telefon bimbit serta sering dimarahi dengan kata-kata negatif.

Dr Chua berkata, walaupun tidak dapat dipastikan kesahihan dakwaan itu, diari berkenaan mencerminkan persepsi Zara Qairina terhadap ibunya.

"Dalam satu catatan pada Februari 2025, si mati (Zara Qairina) menyebut ibunya gemar menggunakan kata-kata kesat dan tidak bersetuju dengan apa sahaja yang dilakukannya.

"Dia menantikan untuk ke sekolah berasrama kerana mahu berjauhan daripada ibunya dan mendapatkan ketenangan. Dia juga menyatakan lebih rela dibuli dan barangnya dicuri daripada tinggal di rumah mendengar leteran ibunya.

"Pada Jun 2025, dalam diari W2, si mati mempersoalkan mengapa hidupnya malang. Dia menyebut pelajar senior berdendam terhadapnya. Ibunya membenci dan menuduhnya secara tidak benar manakala bapanya melayannya dengan buruk.

"Dia menyatakan dirinya bersendirian. Dia mengharapkan berada jauh dari rumah dan tinggal di asrama memberi ketenangan, namun sebaliknya. Dia menyebut tidak mempunyai kekuatan mental dan menjangkakan kematiannya jika keadaan tidak berubah.

"Pelbagai catatan dalam diari menunjukkan atau sekurang-kurangnya konflik yang dirasainya menyebabkan kesakitan psikologi yang besar," katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari ke-63 inkues di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Chua berkata, sudah lumrah untuk cuba mengaitkan bunuh diri dengan satu faktor sahaja, namun hakikatnya ia jarang berlaku.

Katanya, kebiasaannya kejadian itu berpunca daripada gabungan pelbagai faktor.

"Konflik keluarga hanyalah salah satu faktor risiko. Faktor-faktor ini akhirnya membentuk individu yang terdedah.

"Individu yang terdedah, bersama faktor ketidakstabilan akut dan pada malam kejadian, tiada mekanisme daya tindak, struktur atau sokongan yang mencukupi. Kejadian malang itu berlaku," katanya.

Pada 16 Julai kira-kira jam 3 pagi, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama SMKA Tun Datu Mustapha sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.

Inkues akan disambung semula pada 13 April.

Tiga sekeluarga maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan

FARAHWAHIDA AHMAD
KEADAAN kemalangan melibatkan sebuah van dan treler serta lori di Kilometer 212 Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran kawasan simpang ke arah Taman Golden Hill, Gemas Baru, Segamat hari ini. Foto IHSAN BOMBA
SEGAMAT – Tiga sekeluarga maut manakala dua yang lain cedera parah dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran kawasan simpang ke arah Taman Golden Hill, Gemas Baru, Segamat, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 3.45 petang itu melibatkan sebuah treler, van dan sebuah lori 10 tan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah van yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 70-an bersama empat orang penumpang berumur lingkungan 20-an hingga 60-an bergerak dari arah Segamat menghala masuk simpang ke arah Taman Golden Hill, Gemas Baru.

“Kenderaan berkenaan telah dilanggar di bahagian belakang kiri oleh sebuah treler yang bergerak di belakang van yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20-an.

“Akibat pelanggaran pertama, van telah termasuk ke laluan bertentangan dan dilanggar di bahagian hadapan oleh sebuah lori 10 tan yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an.

“Dalam kejadian ini, pemandu van dan dua penumpang yang dipercayai ahli keluarga telah mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua mangsa maut di bawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat manakala dua lagi penumpang van mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital sama.

Tambahnya, pemandu treler dan lori 10 tan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes telah disiasat di bawah seksyen 41 (1) akta pengangkutan jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Pihak polis memohon saksi awam yang melihat kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mega Rajiman di talian 07-9325811 untuk membantu siasatan atau mana-mana balai polis berhampiran,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Suami kerap bonceng wanita lain, isteri campak motosikal dalam laut

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan wanita itu membuang motosikal milik suaminya ke dalam laut. - TikTok
JAKARTA – Seorang wanita di Halmahera Selatan, wilayah Maluku Utara nekad membuang motosikal milik suaminya ke dalam laut selepas mendapati kenderaan itu kerap dinaiki oleh wanita lain, lapor portal berita Lambe Turah. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @aujiaulia menunjukkan wanita itu menolak motosikal tersebut ke sebuah dermaga sebelum ditolak ke dalam laut. 

Menurut wanita itu, tindakan tersebut dilakukan selepas mendapati suaminya kerap membawa wanita lain. 

Rakaman itu menjadi tular dan sebilangan netizen menyifatkan tindakan sedemikian sebagai amaran keras kepada suami yang berlaku curang. 

“Seeloknya motosikal itu dijual, wang itu boleh buat pelbagai benda,” kata seorang netizen. 

“Motosikal itu tidak salah, yang bersalah adalah suami anda” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Empat ditahan dakwaan deraan seksual di rumah amal tanpa lesen

Malaysiakini 

Empat individu yang dikaitkan dengan sebuah rumah amal kanak-kanak di Taman Selayang Permata telah ditahan selepas beberapa penghuni bawah umur didakwa menjadi mangsa penderaan seksual yang berlaku dalam tempoh berpanjangan di premis berkenaan.

Menurut laporan NST, penderaan tersebut — yang dikatakan berlarutan lebih sedekad — terbongkar selepas dua bekas penghuni, yang baru sahaja berusia 18 tahun, tampil membuat laporan mengenai layanan buruk yang dialami mereka.

Polis sejak itu menahan empat individu termasuk pengendali rumah berusia 31 tahun serta seorang penghuni berusia 17 tahun. Rumah kanak-kanak tersebut juga didakwa beroperasi di bawah sebuah syarikat swasta dan bukan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, S Maran dilaporkan berkata kejadian tersebut bukan insiden terpencil, sebaliknya satu tindakan berulang dan sistematik yang berlarutan tanpa dikesan dalam tempoh lama.

Maran berkata NGO itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak Ahad lalu sebelum mengunjungi rumah berkenaan pada petang hari yang sama, dengan menyamar sebagai penganjur sambutan hari jadi.

Keadaan menjadi lebih serius selepas bukti yang dikaitkan dengan penderaan tersebut ditemui dalam telefon suspek.

“Ahli kami mula menyoal penghuni secara berperingkat. Sebahagian kanak-kanak mula membuka cerita. Beberapa daripada mereka dapat mengenal pasti suspek.

"Dengan pengakuan mangsa dan apa yang kami temui, tiada lagi keraguan. Ini kes yang benar. Kanak-kanak ini didera,” katanya seperti dipetik.

Menurut laporan itu lagi, setakat ini sekurang-kurangnya 10 laporan polis telah dibuat oleh NGO, bekas penghuni serta ibu bapa.

Pemeriksaan perubatan terhadap mangsa dilaporkan menemukan kecederaan yang selari dengan penderaan seksual, dengan sebahagiannya dipercayai masih baru, kata Maran.

Mangsa terdiri daripada kanak-kanak lelaki berusia antara sembilan hingga 17 tahun dan kini menerima rawatan di Hospital Selayang.

“Sejak penahanan dan pendedahan kes ini, ahli kami meluangkan lebih banyak masa di rumah tersebut. Kami mendapati sebahagian kanak-kanak ini hidup dalam trauma,” katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan juga dipetik NST mengesahkan penahanan itu dan siasatan masih dijalankan.

2 penunggang putus kaki, patah tangan dirempuh Honda City

HARRITH HISHAM
Keadaan sebuah kereta Honda City yang melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh dua penunggang motosikal di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang disyaki melanggar lampu isyarat merah di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 4.27 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun cedera putus kaki kiri, manakala seorang remaja lelaki berusia 19 tahun patah tangan dan kaki kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda City dan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Hasil tindakan lanjut pihak JSPT Kuala Lumpur, pemandu kereta telah berjaya dikesan dan ditahan di Klinik Jacob, Kundang Rawang semasa sedang mendapatkan rawatan.

“Ujian alkohol telah dijalankan dan didapati tidak melebihi had yang ditetapkan. Ujian Saringan air kencing juga sedang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zamzuri, siasat awal mendapati semasa kejadian, kedua-dua motosikal yang ditunggang oleh dua lelaki tempatan sedang melintasi persimpangan dengan lampu isyarat hijau.

Katanya, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang datang dari arah kanan dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kedua-dua motosikal tersebut.

“Akibat kemalangan, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan serius dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, manakala seorang penumpang kereta turut mengalami kecederaan di bahagian kepala,” ujarnya.

Beliau menambah, seorang individu berusia 19 tahun yang berada di lokasi kejadian telah tampil membuat laporan polis dan dirakam percakapan sebagai saksi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Bekas pengawal keselamatan bakal meringkuk 32 tahun kerana rogol, serangan seksual

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan berusia 56 tahun bakal meringkuk di penjara selama 32 tahun selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap hukuman itu, bersabit kesalahan rogol dan serangan seksual melibatkan tiga gadis bawah umur, lima tahun lalu.

Sidang tiga hakim dipengerusikan oleh Azmi Ariffin memutuskan Mahkamah Tinggi betul apabila memerintahkan hukuman bagi A Johnson dijalankan secara berturutan.

“Kesalahan-kesalahan tersebut dilakukan terhadap tiga gadis yang berbeza pada masa yang berlainan dan mengikut undang-undang sedia ada, perayu harus menjalani hukuman tersebut secara berturutan,” katanya.

Meskipun sudah berusia, bapa kepada lima anak itu — yang mempunyai lima sabitan lampau termasuk satu kesalahan mencabul kehormatan — juga akan menerima sembilan sebatan, memandangkan lelaki berusia lebih 50 tahun tidak dikecualikan daripada hukuman sebat dalam kes serangan seksual.

Hakim Azmi bersidang bersama Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Meor Hashimi Abdul Hamid.

Terdahulu, M Manoharan selaku peguam menggesa mahkamah memerintahkan pemenjaraan dijalankan secara serentak. “Lagipun, dia akan disebat. Dia juga menghidap kencing manis,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail bagaimanapun meminta sidang hakim mengekalkan hukuman, memandangkan kesalahan melibatkan tiga mangsa berasingan, dan berlaku pada waktu siang.

Menurutnya Johnson mengancam gadis-gadis tersebut dengan sebilah pisau untuk memuaskan nafsunya, dan mencederakan salah seorang mangsa.

“Tindakannya telah mengakibatkan trauma dan meninggalkan parut psikologi pada mangsa-mangsa sepanjang hayat,” katanya.

Johnson disabitkan kesalahan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, 25 Feb 2020.

Dia juga didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang lagi gadis berusia 14 tahun pada kira-kira jam 3 petang, 22 April 2020; dan melakukan kesalahan yang sama terhadap seorang gadis berusia 16 tahun pada kira-kira jam 4 petang, 7 Ogos 2021.

Ketiga-tiga kesalahan tersebut dilakukan di dalam lif di sebuah flat kos rendah di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan rotan bagi setiap kesalahan, serta memerintahkan hukuman dijalankan secara serentak.

Susulan rayuan pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi meningkatkan hukuman penjara Johnson bagi kes rogol kepada 12 tahun dan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan serangan seksual.

Mahkamah Tinggi turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berturutan, maka Johnson akan menjalani hukuman selama 32 tahun di sebalik tirai besi.

Pegawai daerah ditembak mati

KOSMO
KEADAAN trak pikap yang dipenuhi dengan kesan peluru di daerah Chanae, wilayah Narathiwat. - Amarin TV
BANGKOK – Sekurang-kurangnya dua orang termasuk pegawai daerah maut selepas trak pikap dinaiki mereka ditembak sekumpulan penyerang bersenjata di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, lapor portal berita Thaiger. 

Polis dimaklumkan sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) mengenai insiden tembakan di Dusongyo, daerah Chanae semalam. 

Selepas tiba di tempat kejadian, polis menemui sebuah trak pikap jenama Toyota tersadai di tepi jalan dengan kesan peluru yang banyak. 

Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Monchai, seorang pegawai daerah dan Haidah Bueraheng yang berusia 27 tahun. 

“Mereka mengalami luka tembakan dan dibawa ke Hospital Chanae untuk bedah siasat,” kata polis. 

Siasatan awal mendedahkan bahawa pasangan itu sedang dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan urusan peribadi mereka. 

Polis percaya kumpulan penyerang bersembunyi di tepi jalan sebelum melepaskan berpuluh-puluh das tembakan ke arah trak pikap lalu melarikan diri. 

Polis masih mengumpul bahan bukti dan menyoal siasat beberapa saksi. – AGENSI

Mahkamah Koroner diberitahu cara mati Zara Qairina konsisten bunuh diri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Cara kematian Zara Qairina Mahathir paling konsisten dengan tindakan membunuh diri, kata pakar perunding psikiatri forensik Chua Sze Hung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Katanya, mangsa menunjukkan faktor risiko bunuh diri yang lebih dominan, berbanding faktor pelindung pada waktu kejadian, lapor Berita Harian.

Saksi ke-67 inkues kematian Zara itu, berkata beliau menyediakan, menandatangani, dan mengecap laporan psikiatri setebal 84 muka surat bertarikh 2 Feb untuk mahkamah, yang fokus kepada isu kebarangkalian membunuh diri dan keadaan berkaitan remaja berusia 13 tahun itu.

Beliau yang membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, memberitahu antara maklumat dan dokumen disemak, termasuk diari Zara, lokasi kejadian, dan laporan bedah siasat oleh pakar perunding patologi forensik, Dr Jessie Hiu.

Selain itu, laporan kaunseling, lawatan ke asrama, dan bilik dormitori Zara, temu bual bersama ahli keluarga, kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha serta sekolah rendah mangsa.

“Terdapat maklumat menunjukkan gangguan emosi, kemarahan melampau, tingkah laku mencederakan diri sendiri, hubungan interpersonal yang tidak stabil, dan ketakutan akan ditinggalkan. Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk membentuk diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif.

“Walaupun terdapat maklumat menunjukkan gejala kemurungan, saya tidak percaya mangsa menderita penyakit mental teruk yang boleh didiagnosis sebelum insiden berkenaan.

“Pertemuan faktor kecenderungan dan pencetus menunjukkan tindakan terakhir itu berkemungkinan besar adalah usaha untuk mengakhiri penderitaan, yang berlaku semasa keadaan tekanan akut yang melampau, pertimbangan yang terjejas, dan pengurangan akses kepada mekanisme pelindung normal, bukannya penamatan yang dirancang dengan rapi,” katanya.

Chua berkata, antara punca utama kematian dalam kalangan remaja yang lebih tua adalah membunuh diri dan hampir tiga daripada lima kes bunuh diri belia tidak mempunyai diagnosis kesihatan mental yang didokumentasikan sebelumnya.

Katanya, kajian menunjukkan remaja Malaysia berusia 13 hingga 15 tahun berisiko lebih tinggi untuk melakukan cubaan bunuh diri berbanding kumpulan umur remaja lain, malah pelajar yang ibu bapa tinggal berasingan juga menunjukkan kebarangkalian lebih tinggi untuk melakukan cubaan itu.

“Dalam kes mangsa, faktor risiko (faktor kecenderungan) termasuk, tetapi tidak terhad kepada peristiwa hidup yang penuh tekanan, persepsi diri yang negatif, persepsi dibuli, pencapaian akademik tidak memuaskan, sejarah penggunaan bahan, kemarahan atau keagresifan (lisan), kecederaan diri bukan bunuh diri (NSSI), perpisahan ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, gejala kemurungan, isu tingkah laku dan keinginan untuk mati.

“Faktor pencetus (faktor langsung) termasuk peristiwa hidup yang memberi tekanan (soal siasat) dan perasaan terasing. Keadaan penyumbang lain termasuk kekurangan tidur kronik dan kekecewaan daripada peringatan ‘Badar’ (pengawas),” katanya.

Chua juga berkata, terdapat beberapa faktor risiko bunuh diri yang wujud sebelum mangsa memasuki sekolah tersebut.

Jabatan Peguam Besar Sabah pada 17 Sept lalu memohon Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan penilaian psikiatri bagi membantu inkues kematian Zara.

Pasukan tiga ahli terdiri Chua sendiri, pakar psikiatri kanak-kanak, dan remaja Nurulwafa Hussain serta pakar psikologi klinikal, Norhameza Ahmad Badruddin dilantik oleh ketua pengarah KKM pada 19 Sept 2025 untuk menjalankan penilaian menggunakan pendekatan bedah siasat psikologi.

Chua menambah, beliau pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar untuk kes bunuh orang, pengedaran dadah, dan kes kesalahan seksual yang dihantar untuk penilaian mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah serta Mahkamah Syariah di seluruh negara.

Zara ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolah dan disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.

Rafizi - Serangan 'menteri paling gagal' disusun pihak berkepentingan

Malaysiakini 

 
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mendakwa naratif yang melabelkan dirinya sebagai "menteri paling gagal" merupakan satu gerakan terancang yang disusun oleh kumpulan berpengaruh tertentu untuk mengalihkan perhatian orang ramai.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, serangan tersebut dilakukan secara berterusan melalui pelbagai saluran media dengan melibatkan individu-individu tertentu bagi mendesak beliau bersara daripada dunia politik.

"Sudah tentu serangan dan naratif 'menteri gagal' ini disusun; ada kumpulan berpengaruh di belakang naratif ini.

"Sebabnya individu-individu yang buat serangan dan gesaan ini, orang pun tak kenal. Kalau tidak disusun, saya tak rasa media-media utama di negara ini sudi menghabiskan ruang media mereka melaporkan komen-komen mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi turut menamakan beberapa individu yang menurutnya digunakan untuk mengulangi serangan tersebut, termasuk pengasas PKR yang menyertai MCA, Ng Lum Yong; aktivis politik, Faizan Mohd Noor; serta bekas calon pilihan raya negeri Sarawak, Mahmud Epah.

Akui 'gagal' dalam aspek lain

Dalam nada menyindir, Rafizi berkata dia mengakui mempunyai banyak "kegagalan," namun merujuk kepada keengganannya untuk berdiam diri terhadap isu rasuah dan amalan membodek pihak berkuasa.

Dia memberi contoh pendedahannya mengenai isu SRC International dan 1MDB pada masa lalu yang menyebabkan dirinya dikecam, namun akhirnya terbukti di mahkamah apabila bekas perdana menteri Najib Razak diarahkan membayar lebih RM5 bilion kepada kerajaan.

"Saya gagal berdiam diri bila saya rasa ada rasuah, lagi tinggi pangkat, lagi kuat saya bersuara.

"Saya juga gagal dalam membodek. Kalau harga tidak membodek itu bermakna saya diserang, dimaki atau dicerca, saya gagal takut dan tidak sekali-kali akan membodek sesiapa pun yang berkuasa," katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa dia tidak akan berhenti menjalankan amanahnya walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai siasatan, saman, serta ancaman terhadap keselamatan keluarga.

Rafizi seterusnya memaklumkan bahawa dia akan menjawab segala tuduhan tersebut secara terperinci menerusi sesi podcast "Yang Bakar Menteri" (YBM) episod ke-42 yang dijadualkan pada Jumaat ini.

‘Wanita jadian’ berjoget, cemari majlis selawat

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan lelaki yang menyamar jadi wanita itu berjoget di sebuah majlis selawat baru-baru ini. - TikTok
JAKARTA – Sebuah majlis selawat di Lamongan, wilayah Jawa Timur menerima kecaman orang ramai kerana menjemput seorang lelaki yang menyamar sebagai wanita untuk berjoget dan menyanyi lagu dangdut, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku di Kampung Bedingin, daerah Sugio baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @callmehoney081 menunjukkan lelaki itu menyanyi sambil melakukan tarian pelik di khalayak ramai dengan berlatarbelakangkan sepanduk bertulis Gebyar Selawat. 

Selain memakai pakaian seksi, dia turut berjoget di hadapan keluarga dan kanak-kanak. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 212,000 dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Tidak terkejut,” kata seorang netizen. 

“Saya yang malu tengok,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Warga China dicekup masuk Malaysia guna

MOHD SHARKAWI LONDING
EMPAT warga China ditahan selepas disyaki menggunakan pasport palsu untuk memasuki negara ini. IHSAN IMIGRESEN
JOHOR BAHRU – Taktik licik seorang lelaki warga China menggunakan pasport Mexico palsu untuk memasuki negara ini terbongkar selepas dia ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor di sebuah pangsapuri mewah di Bayu Puteri, di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira 31 Mac lalu itu, lelaki berusia lingkungan 40-an tersebut ditahan bersama tiga lagi rakan senegaranya terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 43 hingga 57 tahun.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, siasatan awal mendapati suspek utama menggunakan pasport antarabangsa Mexico palsu sebagai dokumen perjalanan untuk memasuki dan tinggal di negara ini.

“Hasil penggeledahan di premis berkenaan turut menemui sebanyak 13 naskhah pasport antarabangsa pelbagai negara yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan pemalsuan dokumen.

“Pasport yang dirampas melibatkan beberapa negara termasuk Hong Kong, China dan Vietnam yang dipercayai digunakan untuk tujuan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek dipercayai bekerja di sebuah pusat rekreasi yang masih dalam pembinaan di kawasan kelab golf sekitar Johor Bahru.

Katanya, pihak imigresen tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen perjalanan antarabangsa yang aktif beroperasi di negeri ini.

Kesemua individu yang ditahan kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966. – KOSMO! ONLINE

Guna berus bulu babi, sijil halal kilang kopi, biskut ditarik

Farhana Yaacob

MELAKA: Sebuah kilang memproses kopi dan biskut di negeri ini kehilangan sijil halal selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.

Perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Januari lalu, yang menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis terbabit.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, berus berkenaan disita sebelum dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai untuk pengesahan lanjut.

Menurutnya, keputusan analisis yang diterima pada Mac mengesahkan berus itu mempunyai ciri fizikal bulu babi.

“Susulan itu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik kilang berkenaan ditarik serta-merta.

“Kilang itu telah beroperasi lebih sedekad dan sebelum ini memiliki sijil halal yang sah dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, alasan ketidaktahuan yang diberikan pihak premis tidak boleh dijadikan justifikasi.

Katanya, pemegang sijil halal perlu sentiasa memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian halal yang ditetapkan, tanpa kompromi dalam mana-mana aspek operasi.

“JAIM akan terus memperhebat pemantauan terhadap premis yang memiliki sijil halal bagi menjamin keyakinan pengguna terhadap status halal produk di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai khususnya umat Islam disaran agar lebih berhati-hati dalam membuat pilihan makanan dengan mengutamakan produk yang mempunyai pensijilan halal, demi memastikan ia memenuhi tuntutan syarak serta standard kebersihan yang ditetapkan.

Kelantan: Tiga beranak melecur, rumah terbakar

BERNAMA

Kota Bharu: Tiga beranak melecur dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Simpangan, Tumpat, petang tadi.

Kejadian menyebabkan wanita, Sha'Adah Muhammad, 57, melecur 80 peratus di bahagian anggota badan, anak perempuannya Nur Fariesya Syaila Mazelan, 15, melecur 10 peratus di bahagian muka manakala suaminya Mazelan Daud, 64, hanya lima peratus di bahagian tangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 5.56 petang.

"Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian sejauh tujuh kilometer itu kira-kira sembilan minit mendapati rumah separuh kekal berkenaan terbakar 80 peratus dan api berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini manakala punca dan anggaran kerugian sedang disiasat.

Petugas AADK cedera ditoreh suspek ketika operasi

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Seorang petugas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cedera selepas ditoreh dengan senjata pisau ketika menjalankan operasi di Bangsar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 5.08 petang.

“Seorang rakan sekerjanya telah mengalami kecederaan luka di tapak tangan kanan dan ibu jari kanan akibat ditoreh dengan senjata pisau oleh seorang individu yang ditahan semasa operasi saringan air kencing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 48 tahun itu kini ditempatkan di wad biasa Pusat Perubatan Universiti Malaya dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang giat dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Koperal tentera ditahan, disyaki pukul askar hingga parah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang anggota tentera berpangkat koperal kerana disyaki memukul seorang askar sampai tidak sedarkkan diri hingga terpaksa menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berkaitan kes pukul yang berlaku kira-kira 8 malam, Isnin lalu di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja di Bentong.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek memukul, menumbuk dan menendang askar yang berusia 24 tahun di beberapa bahagian badan.

Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia 19 hingga 22 tahun bersama dalam kejadian itu.

“Mangsa dilaporkan pengsan dan masih menerima rawatan di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.

“Mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, enam lagi mangsa dirujuk ke Hospital Bentong bagi tujuan pemeriksaan jika ada sebarang kecederaan.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek berusia 37 tahun semalam dan direman hingga 4 April ini bagi bantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Zaiham berkata polis akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kes itu dan menggesa orang ramai tidak buat sebarang spekulasi yang boleh ganggu siasatan.

Penganggur didakwa cuba bunuh isteri, tekup muka guna bantal

Bernama 

Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya di rumah mereka minggu lepas.

Mohd Yusof Mat Yatim, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Meor Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan suatu perbuatan, iaitu menekup muka menggunakan bantal dengan mengetahui perbuatan berkenaan boleh menyebabkan kematian Syazwana Mohd Talaha, 38.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Changkat Lada Raya, Seberang Perak, Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah pada 9 pagi, 25 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda atau penjara hingga 20 tahun, atau boleh dihukum dengan hukuman mati jika kecederaan dilakukan dan tertuduh tertakluk kepada hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Zahira Musa memohon tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan dia telah bertindak agresif dan cuba terjun dari tingkat empat semasa siasatan dijalankan.

Mahkamah menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes, dan bagi Mohd Yusof melantik peguam.

- Bernama

35 PATI bekerja di kedai runcit, karpet diberkas

MOHD SHARKAWI LONDING
ANTARA PATI yang diberkas JIM Johor dalam operasi yang dijalankan sekitar Senai, Kulai, semalam.
JOHOR BAHRU – Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor atas pelbagai kesalahan selepas menggempur beberapa premis perniagaan sekitar Senai, Kulai dekat sini semalam.

Ops Selera, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Sapu itu dilakukan pukul 2 petang atas maklumat awam dan risikan melibatkan Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor dengan bantuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu yang dijalankan serentak ke atas beberapa premis perniagaan berjaya menahan PATI berkenaan.

“Operasi menyasarkan sektor-sektor perniagaan seperti kedai runcit, kedai menjual permaidani, premis perniagaan dan  makanan yang dikenal pasti menggaji atau menjadi tempat berkumpul warga asing tanpa dokumen sah.Makanan

“Pemeriksaan awal mendapati, seramai 35 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, mereka yang ditahan dipercayai bekerja dan merupakan pelanggan di premis terbabit iaitu tujuh lelaki dewasa warganegara Indonesia, enam lelaki dewasa Myanmar, empat lelaki dewasa Pakistan, lima lelaki dewasa Bangladesh dan dua lelaki dewasa Nepal.

Beliau berkata, ini termasuk tujuh wanita, dewasa Indonesia dan empat wanita dewasa Myanmar, semuanya berusia lingkungan 19 tahun hingga 52 tahun.

Tambah beliau, semua yang ditahan dsyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu katanya, sebanyak sembilan keping borang 29 iaitu saman kepada saksi tdikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Ada yang ‘tapau’ petrol dalam beg plastik

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan wanita itu mengisi petrol ke dalam beg plastik di sebuah stesen minyak di Britain. - Jam Press
LONDON – Seorang wanita di Britain menerima kecaman orang ramai selepas dirakam mengisi petrol ke dalam beberapa beg plastik susulan krisis bahan api yang berpunca daripada perang di Asia Barat, lapor akhbar Mirror UK. 

Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan wanita itu bergegas mengisi beg runcit dengan minyak petrol sebelum ia diletakkan di dalam but keretanya. 

Lebih mengejutkan, beg tersebut tidak diikat bagi mengelakkannya daripada tumpah. 

Penutupan Selat Hormuz yang mengendalikan satu perlima bekalan minyak dunia dan gas asli cecair mencetuskan krisis bahan api serta pembelian panik di seluruh negara.

Rakaman itu mencatatkan lebih 10 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi pengguna media sosial. 

“Tindakan itu mementingkan diri sendiri. Lihat betapa terdesaknya dia. Kita tidak akan kehabisan bahan api,” kata seorang netizen. 

“Dia fikir apa akan berlaku apabila membelok kereta?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Harga diesel di Semenanjung cecah RM6.02 seliter

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

PUTRAJAYA – Penawaran harga runcit bagi diesel di Semenanjung terus meningkat kepada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April ekoran krisis tenaga global yang kekal berlarutan.

Sebelum ini, hari ini harga runcit bahan bakar itu tanpa subsidi ialah sebanyak RM5.52 sebelum melonjak kepada RM6.02 bagi tempoh 2 hingga 8 April.

Kementerian Kewangan berkata, selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 tanpa subsidi pula bernilai RM4.95, manakala RON95 sekitar RM3.87.

“Namun, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu yang mana RON95 Budi95 bernilai RM1.99 seliter.

“Diesel untuk Sabah, Sarawak dan Labuan (RM2.15), Sistem Kawalan Petrol Subsidi (RM2.05) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (RM2.15),” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE

Pengkhianat negara: AKPS siasat dakwaan anggota benarkan warga asing masuk secara tidak sah

Zuliaty Zulkiffli

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memberi amaran tegas kepada pegawai dan anggotanya yang bertugas di pintu masuk negara, agar tidak terbabit dalam sebarang perbuatan khianat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima foto tular di media sosial berhubung dakwaan kemasukan warga asing secara tidak sah di kawasan sempadan sehingga menimbulkan kebimbangan awam.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada warga asing terbabit memasuki negara melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam atau sebaliknya.

“Setakat ini tiada bukti jelas menunjukkan kemasukan warga asing termasuk dari India dan Bangladesh berlaku melalui laluan terbabit, malah perkara itu tidak dapat kita kenal pasti, namun saya memandang serius kebimbangan yang disuarakan awam terutamanya yang tinggal berdekatan sempadan.

“Saya sudah memberi amaran kepada pegawai dan anggota AKPS supaya tidak terbabit dalam sebarang perbuatan khianat sehingga menjejaskan keselamatan sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Komander AKPS Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir menyerahkan tugasnya sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam kepada Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusuf.

Mohd Nasaruddin kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (0perasi) AKPS Putrajaya selepas berkhidmat selama satu tahun dua bulan di AKPS Bukit Kayu Hitam.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat unsur pengkhianatan dalam kalangan pegawai yang boleh membuka ruang kepada pencerobohan sempadan.

Katanya, beliau tidak teragak untuk turun sendiri bagi mengenal pasti mana-mana pihak yang terbabit, sekiranya perkara itu benar berlaku.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menyerahkan siasatan berkaitan kes tembakan membabitkan Mohd Nasaruddin di Bukit Kayu Hitam bulan lalu kepada polis.

Pada masa sama beliau berkata, pihaknya turut memperketatkan kawalan sempadan bagi membendung aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi yang dijangka meningkat susulan konflik di Asia Barat.

“AKPS bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam melaksanakan penguatkuasaan. AKPS menyokong peranan agensi peneraju dan memastikan kawalan sempadan terus diperkasa bagi mengekang sebarang bentuk penyeludupan.

“Selain itu aspek integriti dan pemantauan berterusan terhadap anggota di pintu masuk negara akan terus diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan sempadan sentiasa terpelihara, ” katanya.

Polis kesan enam sekeluarga hilang dari rumah

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
Gambar sekeluarga yang dilaporkan hilang dari rumah sejak kelmarin
BENTONG – Polis sedang giat mengesan enam sekeluarga yang dilaporkan hilang daripada rumah sejak kelmarin.

Mangsa yang dilaporkan hilang ialah M. Rekha,41, dan lima anaknya iaitu S. Ruban,19; S. Sharivina Nair,17; S. Shasini Nair,16; S. Pritivi Nair,14 dan S. Lashwin Nair, empat tahun.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak polis menerima aduan mengenai kehilangan mangsa yang dibuat oleh suami dan bapa mangsa yang berumur 43 tahun kelmarin.

“Berdasarkan laporan pengadu mendapati kesemua mangsa tiada di rumah pada pukul 6.30 pagi kelmarin.

“Lokasi terakhir mangsa adalah di sebuah rumah di Taman Orkid di sini,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu-individu terbabit menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Katanya, maklumat boleh disalurkan di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong atau menghubungi balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Kereta rempuh pembahagi jalan, pemandu maut dua yang lain cedera

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
ORANG awam membantu mengeluarkan dua daripada tiga mangsa kemalangan kereta Proton Saga di Kampung Belia 2, Sungai Panjang, Sungai Besar hari ini. FOTO tular
ORANG awam membantu mengeluarkan dua daripada tiga mangsa kemalangan kereta Proton Saga di Kampung Belia 2, Sungai Panjang, Sungai Besar hari ini. FOTO tular
Shah Alam: Seorang pemandu kereta maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Kampung Belia 2, Sungai Panjang, Sungai Besar hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.25 tengah hari berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Nahas membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak perempuan.

"Pemandu iaitu lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Mukhlis berkata, dua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihaknya tiba.

Katanya, mangsa lelaki yang tersepit di bahagian pemandu kemudian dikeluarkan anggota bomba.

"Mangsa berjaya dibawa keluar jam 3.03 petang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Manakala mangsa wanita berusia lingkungan 30-an pula cedera parah dan kanak-kanak perempuan cedera ringan. Mereka diserahkan kepada KKM," katanya.

Ajaran sesat: Ratu Nur Puteri Ratu Balqis, dua individu lain diberkas hina Islam, institusi raja

MOHD SHARKAWI LONDING
TANGKAP layar video tiga individu menunjukkan cara solat berjemaah yang jauh menyimpang dari ajaran agama Islam sebenar di dalam akaun TikTok ratunyrputribalqis.
JOHOR BAHRU – Polis Johor memberkas tiga individu termasuk seorang wanita yang mengaku sebagai Ratu Nur Puteri Balqis yang disyaki membuat kenyataan melampau menghasut serta menghina agama Islam, institusi diraja serta kepimpinan negara.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ketiga-tiga individu terbabit terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita masing-masing berusia antara 17 hingga 49 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang di Taman Saujana di sini hasil maklumat orang awam.

“Polis Johor menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang mendakwa melihat satu video dimuat naik dalam aplikasi TikTok oleh pemilik akaun dikenali sebagai ratunurputribalqis.

“Video berkenaan mengandungi pelbagai dakwaan tidak berasas termasuk menyentuh isu sensitif melibatkan agama, kepimpinan negara serta institusi diraja,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Suspek juga didakwa membuat tuduhan terhadap Jabatan Agama Islam Negeri Johor terlibat dalam salah laku serta rasuah.

“Kandungan tersebut turut menyentuh soal ibadah apabila mendakwa solat fardu akan kembali kepada dua rakaat manakala solat sunat hanya satu rakaat serta ratunurputribalqis mengaku sebagai Nabi Muhammad SAW,”katanya.

Tambah beliau, hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mereka didapati negatif.

Jelasnya, pihak polis turut membuat beberapa rampasan bagi membantu siasatan lanjut termasuk peranti dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut.

Permohonan reman ke atas semua suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini sebelum dibenarkan tahanan selama empat hari bermula 31 Mac hingga 3 April bagi melengkapkan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE

Wanita 84 tahun nyaris maut kereta dipandu terbakar

MOHD. FAHMI ISMAIL
Kereta Perodua Myvi dipandu wanita warga emas ini terbakar 95 peratus.
PETALING JAYA – Seorang wanita warga emas berusia 84 tahun berdepan detik cemas apabila kereta Myvi dipandunya terbakar hampir keseluruhan selepas terlibat dalam kemalangan di PSN Bandar Utama, Taman BU2 di sini, petang kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 3.35 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara tiba di lokasi lima minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan sebuah kenderaan dengan anggaran kemusnahan 95 peratus.

“Mangsa mengalami kecederaan patah tangan kanan, namun masih sedarkan diri.

“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Empat suspek ini diburu polis susulan kes tetak di Triang

Khirrul Nirwan Bahaudin
am@hmetro.com.my
EMPAT lelaki diburu susulan kes tetak di Triang. FOTO Ihsan Polis
EMPAT lelaki diburu susulan kes tetak di Triang. FOTO Ihsan Polis
Bera: Polis memburu empat lelaki dipercayai terbabit kes tetak seorang lelaki di kedai makan di Triang di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Bera Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, mangsa berusia 35 tahun dilapor parah dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Menurutnya, polis menerima laporan kejadian pada 12.46 tengah malam Isnin, dengan kejadian dipercayai berlaku pada 9.16 malam Ahad.

"Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berbangsa India diserang sebelum ditetak menggunakan parang oleh empat suspek.

"Suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkiflee berkata, usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi IPD Bera di talian 09-250 8222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Fitnah, hina Islam, institusi diraja Johor, 3 ditahan bantu siasatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga individu termasuk remaja berumur 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan melalui aplikasi TikTok yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, institusi diraja Johor, ketua polis Johor dan perdana menteri.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata, dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 17 hingga 49 tahun itu ditahan di Taman Saujana, Johor Bahru, awal pagi tadi.

“Polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mengesan satu video dimuat naik pemilik akaun ‘ratunurputribalqis’ didakwa mengandungi kenyataan fitnah terbabit, Ahad lepas,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Menurutnya, antara kandungan dalam hantaran itu ialah dakwaan Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor serta perdana menteri mendapat nasihat daripada pemilik akaun berkenaan dalam penyediaan teks ucapan.

Selain itu, kandungan terbabit turut mendakwa kononnya Sultan Johor menyimpan dokumen pengenalan diri pemilik akaun itu bagi tujuan tertentu berkaitan ajaran yang dibawanya.

Turut terkandung, tuduhan bahawa Jabatan Agama Islam Negeri Johor kononnya terlibat dalam salah laku dan rasuah serta menyatakan solat fardu akan kembali kepada dua rakaat dan solat sunat satu rakaat.

Ab Rahaman berkata, kesemua suspek didapati tidak mempunyai rekod lampau, manakala hasil ujian saringan awal air kencing dijalankan menunjukkan keputusan negatif.

Katanya, pihaknya turut melakukan beberapa rampasan untuk siasatan dan Mahkamah Majistret membenarkan mereka direman empat hari hingga Jumaat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, serta Seksyen 298 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat dalam kenyataan berasingan berkata, antara barangan dirampas termasuk jaket, telefon bimbit, cermin mata, cincin, rantai, gelang tangan, meja, al-Quran, skrip, surat dan aksesori berkaitan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan tegas berdasarkan undang-undang dan enakmen sedia ada di Johor akan dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan ajaran sesat.

Perkara itu susulan tersebarnya di media sosial beberapa klip video yang didapati mengandungi ajaran menyimpang dan mengelirukan, antaranya memaparkan individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’.

Ada orang marah Iran baik sangat

Harapandaily

NIK HASYUDEEN

Jika anda seorang pemerhati yang adil anda akan dapati bahawa setiap kali Iran nak menyerang, ia akan memberi amaran dahulu dan memberikan masa supaya orang-orang di sekitar sasaran Iran boleh beredar jauh. Kemudian barulah misil dan dron dilancarkan.

Fokus Iran ialah infrastruktur yang digunakan untuk menyerangnya serta membalas serangan yang dibuat oleh Amerika-Israel ke atas infrastruktur ekonomi dan awamnya. Sebaliknya, Iran tidak meniru Israel di dalam mengebom sekolah, hospital serta wartawan-wartawan yang melaporkan perang.

Semalam beberapa universiti di Iran dibom. Lalu mereka menguarkan amaran kepada kesemua universiti di Israel dan Teluk bahawa mereka akan dijadikan sasaran. Di samping itu jalan untuk menurunkan suhu digariskan juga. Iran tidak gila nak memusnahkan harta benda tanpa alasan.

Bagi orang yang ada asas agama dan faham berkenaan adab-adab perang, mereka akan nampak bahawa walaupun diserang teruk, Iran tidak mengabaikan tanggungjawab mengikuti adab-adab berkenaan. Mengapa Iran tidak ada senjata nuklear? Ini adalah kerana ada fatwa dari Khamenei yang memegang prinsip senjata nuklear tidak selari dengan Islam.

Pendekatan Iran ini menyebabkan ada orang marah kerana ianya dianggap lembut. Mereka mahu Iran bergelagat macam Amerika-Israel juga. Sudah tentu Iran yang mempunyai tamadun ribuan tahun itu akan tetap memegang prinsip-prinsipnya.

Walau bagaimana pun, jika peperangan ini dilihat dengan menggunakan lensa perbalahan Sunni-Syiah, pendekatan Iran di dalam menyerang ini mungkin akan tertutup oleh emosi perbalahan yang tak akan padam itu.

Di dalam kumpulan whatsapp Wattop, ada seorang yang begitu kuat semangatnya untuk melihat Perang Iran ini di dalam konteks Sunni-Syiah. Dikeluarkan pelbagai hujah termasuk apa yang berlaku di Syria.

Walau apa pun pegangan kita, kita tidak boleh menafikan bahawa di kalangan ulama silam pun ada ketika di mana pandangan mereka dipengaruhi oleh situasi di sekeliling mereka yang menyebabkan kadang-kadang mereka terkeluar dari lorong hujah yang tidak emosional.

Saya mengikuti perbincangan ramai pemerhati Barat yang nampak kecermatan Iran di dalam menyerang. Mereka mengaitkan ini dengan pegangan golongan Syiah walaupun sebenarnya ini adalah ajaran Rasulullah SAW. Di mata mereka Sunni diwakili oleh kumpulan seperti ISIS termasuk orang yang menjadi ketua di Syria di ketika ini. Berapa kali dia bertukar organisasi dan nama sebelum sampai ke jawatan sekarang?

Elok sekiranyanya ada pihak yang berotoriti yang menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang beradab dan berprinsip dan lebih bertamadun dari Barat. Namun, orang-orang kita sendiri yang berperangai dengan perangai yang menyebabkan orang bukan Islam tidak dapat membezakan di antara kita dan mereka.

Orang tua-tua kita pun ada mengingatkan kita berkenaan “ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul”. Orang tak peduli apa yang kita laung dan hujah, mereka lihat perangai dan tingkah laku kita.

Adakah semua tindakan yang kita buat setiap hari melambangkan nilai-nilai agama kita yang mulia itu?

Lelaki bunuh jiran dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

Bernama 

Bekas pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di Klang hari ini setelah didapati bersalah membunuh jirannya, empat tahun lepas.

Hakim Norliza Othman turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap S Panirselvam, 42, kerana mencederakan seorang lagi jiran wanitanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu serentak bermula dari tarikh tangkap pada 13 Dis 2022.

Bagi pertuduhan pertama, Panirselvam didakwa menyebabkan kematian Muhammad Hafiz Abdullah, 52, di hadapan sebuah rumah di Jalan Tepi Sungai, di Klang antara 10.30 pagi hingga 11 pagi, 13 Dis 2022.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Ng Hui Can, 46, dengan parang yang mungkin menyebabkan kematian di lokasi dan waktu yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman mati kerana perbuatan membunuh satu kesalahan yang amat serius.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mahkamah boleh lihat bagaimana sendiri si mati dan mangsa ditetak berulang kali oleh OKT (Orang Kena Tuduh) menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan yang membawa maut kepada si mati dan juga kecederaan parah kepada mangsa.

“Walaupun si mati ketika itu sudah tidak berdaya untuk menyelamatkan dirinya, OKT masih lagi menetak si mati menggunakan parangnya dan kejadian ini menjadikan perbuatan OKT lebih serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mahkamah,” katanya.

Peguam Zamri Ibrahim yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan hukuman kerana anak guamnya telah menyesali perbuatan yang melampaui batas itu.

- Bernama

Saksi nampak Zara mundar-mandir sebelum ditemui tak sedar diri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang saksi yang juga pelajar Tingkatan Dua SMKA Tun Datu Mustapha memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Zara Qairina Mahathir berada dalam keadaan emosi yang sangat tidak stabil kira-kira sejam sebelum dia ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama.

Peguam Ram Singh berkata, saksi ke-65 itu, melihat Zara berjalan mundar-mandir di kaki lima tingkat tiga antara 1 pagi hingga 2 pagi.

Katanya, ketika itu saksi tinggal di asrama lain (Asrama B) datang ke Asrama A untuk mencari rakannya, lapor Berita Harian.

“Apabila dia naik ke tingkat tiga, dia melihat Zara dan dapat mengenal pasti pakaian yang dipakainya. Zara dalam keadaan menangis dan wajahnya juga kemerahan.

“Selepas itu, mereka berbual kira-kira 10 minit sebelum membawa Zara kembali ke asramanya,” katanya.

Menurutnya, Zara turut mengatakan sesuatu mengenai mencederakan dirinya, namun diberi nasihat supaya tidak berbuat demikian.

Ram berkata keterangan yang diberikan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari ke-61 inkues itu hari ini adalah penting dan meyakinkan.

Seorang lagi peguam Joan Goh berkata saksi itu baru tampil kepada pihak berkuasa dan menceritakan mengenai kejadian itu pada Ramadan.

Joan berkata walaupun kanak-kanak itu sebelum ini telah memaklumkan kepada polis mengenai apa yang berlaku pada waktu itu, tiada kenyataan direkodkan.

“Hanya baru-baru ini dia bercakap mengenai perkara ini dan guru sekolah kemudian menghubungi pegawai polis,” katanya.

Ram dan Goh mewakili seorang daripada lima pelajar yang dituduh mendera Zara secara lisan.

Sementara itu, Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara berkata dua doktor pakar akan memberi keterangan dalam sesi inkues itu.

Katanya, saksi yang akan dipanggil ialah Dr Chua Sze Huang, pakar psikiatri di Hospital Mesra, Bukit Padang dan pakar patologi Dr Phupinder Singh, lapor Bernama.

Beliau berkata Chua dijangka mengemukakan laporan psikiatri setebal 84 muka surat berhubung keadaan Zara sebelum kematian pelajar itu.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Persoalannya macam mana pemegang MyKad palsu ni boleh berkeliaran dalam Malaysia

3 lagi ‘ulat foto’ dikesan guna MyKad palsu

HARRITH HISHAM

KUALA LUMPUR – Tiga lagi ‘ulat foto’ atau jurugambar jalanan yang ditahan semalam di sekitar persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC) dikesan memegang kad pengenalan (MyKad) palsu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, perkara itu dikesan berdasarkan pengesahan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Hasil siasatan ke atas 25 individu yang ditahan semalam, tiga daripada mereka dikesan tiada indentiti berdasarkan semakan cap jari di JPN,” katanya ringkas hari ini.

Sebelum ini, seramai 25 ‘ulat foto’ atau jurugambar haram ditahan polis menerusi operasi khas di sekitar KLCC, sini semalam bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan sebelum ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang warga Filipina berusia antara 16 hingga 48 tahun.

Terdahulu, polis menahan 18 lelaki disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan dan serangan terhadap dua lelaki hingga mengalami kecederaan di Persiaran KLCC di sini, 22 Mac lalu.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu dipercayai berlaku apabila sekumpulan lelaki yang merupakan jurugambar jalanan memukul seorang pelancong lelaki warga India di kawasan hadapan KLCC.

Tiga daripada 18 individu yang ditahan didapati memiliki MyKad palsu dan telah dituduh di mahkamah, hari ini.

Bagaimanapun, ketiga-tiga individu mengaku tidak bersalah dan telah dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

‘Terdapat bukti langsung Azlan Man, bekas MB Perlis terima wang aktiviti haram RM1.06 juta’

Bernama 

Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa hasil siasatannya mendapati terdapat bukti langsung menunjukkan Datuk Seri Azlan Man menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta menerusi pembatalan pakej percutian ke luar negara.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Cawangan AMLA, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Safwan Arbangi, 33, berkata Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd diarah untuk membatalkan tempahan perjalanan Azlan ke luar negara dan mengembalikan semula wang daripada pihak Kerajaan Negeri Perlis itu kepada Azlan.

"Tempahan pakej percutian dibuat oleh Herwardy Hashim (Setiausaha Sulit Kanan kepada Azlan ketika itu) atas arahan Datuk Seri Azlan Man dan beliau (Azlan) kemudian mengarahkan Herwardy untuk maklumkan kepada dua agensi pelancongan berkenaan tentang pembatalan percutian tersebut.

"Siasatan saya mendapati, cara pembayaran kesemua duit bayaran balik itu ditetapkan oleh Datuk Seri Azlan Man sendiri kerana beliau membatalkan percutiannya. Keterangan ini adalah melalui dokumen iaitu penyata bank kedua-dua pihak serta keterangan saksi," katanya.

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Menteri Besar Perlis itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Mohamad Safwan berkata dua agensi pelancongan itu diarahkan untuk mengembalikan semula wang tersebut kepada Azlan menerusi empat cek berjumlah RM852,207.28 dan wang tunai RM207,468 pada 2014 hingga 2017.

Sementara itu, beliau berkata isu kemasukan wang daripada pihak Kerajaan Negeri Perlis kepada akaun bank dua agensi pelancongan itu bagi pakej percutian ke luar negara yang dipohon Azlan adalah melalui kaedah pembayaran secara Pesanan Tempatan (LO) yang mana perjalanan tersebut tidak berlaku.

"Secara keseluruhannya, melalui siasatan saya jalankan dalam kes ini, saya dapati terdapat keterangan konsisten daripada saksi serta dokumen yang saya peroleh untuk menunjukkan asas kesalahan penerimaan wang hasil daripada aktiviti haram di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, yang dilakukan Datuk Seri Azlan Man," kata saksi itu.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat, bagaimana pengawai penyiasat itu dapat memberi kesimpulan Azlan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, Mohamad Safwan berkata tuntutan perjalanan seberang laut Azlan dibuat sebanyak lima kali bermula 2013 hingga 2017 dengan menggunakan kaedah LO dan ia adalah duit daripada Kerajaan Negeri Perlis, selain Azlan membatalkan percutian itu.

"Sebarang pengeluaran wang daripada akaun kerajaan Perlis untuk kes ini adalah menggunakan kaedah LO untuk lima kali berturut-turut dan lima kali ini juga Datuk Seri Azlan Man telah membatalkan pakej perjalanan yang diluluskan oleh pihak kewangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

"Selari dengan LO tersebut, apa-apa prosedur peraturan atau tatacara mesti mengikut arahan permohonan daripada LO yang berkuat kuasa dan perjalanan mesti dilakukan mengikut LO tersebut bukan sebaliknya," katanya.

Mohamad Safwan berkata siasatannya juga mendapati berdasarkan keterangan pegawai perbendaharaan dan kewangan Perlis, sekiranya LO tersebut dibatalkan mengikut arahan Azlan, wang tersebut sepatutnya dipulangkan kepada kerajaan negeri, bukan kepada bekas Menteri Besar Perlis itu.

Azlan, 67, didakwa atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azlan juga berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di Kuala Lumpur mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Selain itu, beliau didakwa atas lima pertuduhan pilihan kerana menyalahgunakan wang RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, CIMB Bank Cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di Kuala Lumpur antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 April ini.

- Bernama

25 ‘ulat foto’ di KLCC ditahan polis

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan 25 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan jurugambar tidak berlesen atau ‘ulat foto’, yang didakwa memaksa pelancong asing dan pengunjung membayar pada harga tertentu untuk bergambar di sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), semalam.

Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 24 warga tempatan termasuk seorang wanita dan seorang warga Filipina berusia 16 hingga 48 tahun menerusi operasi bermula 10 malam hingga 1 pagi tadi.

Beliau berkata semua individu terbabit direman tiga hari hingga Khamis ini, untuk siasatan di bawah Seksyen 25(1) Peraturan Pendaftaran Negara.

“Siasatan mendapati mereka ini menjadikan aktiviti mengambil gambar secara paksa sebagai sumber pendapatan dengan bergerak dalam kumpulan di dua lokasi tumpuan utama iaitu Jambatan Saloma dan sekitar KLCC,” katanya pada satu sidang media.

Sazalee berkata pihaknya turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 148/324 susulan kes menyerang dua individu di Persiaran KLCC pada 22 Mac lepas.

Pada 27 Mac lepas, media melaporkan 18 individu berusia 17 hingga 45 tahun itu ditahan di pekarangan KLCC, Jalan Ampang untuk siasatan lanjut berhubung kes terbabit mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Sazalee berkata individu dalam tangkapan terdahulu menggunakan kad pengenalan meragukan yang tidak sepadan dengan cap jari dan semakan dilakukan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati kad pengenalan terbabit tidak sepadan dengan cap jari pemegangnya, sekali gus menunjukkan mereka bukan warganegara.

“Bagi tangkapan terbaru, semakan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama pihak JPN kerana kita meragui ketulenan dokumen pengenalan diri milik semua suspek,” katanya.

Sazalee berkata pihaknya akan meneruskan operasi serta pemantauan di kawasan tumpuan pelancong bagi membanteras kegiatan berkenaan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan termasuklah kegiatan ‘ulat foto’,” katanya.

Iran serang kapal tangki minyak di Dubai lepas amaran Trump

Malaysiakini 

Iran menyerang dan membakar sebuah kapal tangki minyak mentah dengan muatan penuh di luar pantai Dubai pada awal pagi Selasa, selepas Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa Amerika Syarikat akan memusnahkan loji tenaga dan telaga minyak Iran jika negara itu tidak membuka Selat Hormuz.

Laporan Reuters menyebut serangan ke atas kapal Al-Salmi yang mengibarkan bendera Kuwait itu merupakan serangan terbaru ke atas kapal komersial dengan menggunakan peluru berpandu atau dron udara dan laut di negara-negara Teluk dan Selat Hormuz sejak AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari.

Konflik yang berlarutan selama sebulan ini tersebar ke seluruh Asia Barat, sekali gus, mengorbankan ribuan nyawa, menjejaskan bekalan tenaga, dan mengancam untuk mengheret ekonomi global ke kancah krisis.

Harga minyak mentah melonjak seketika selepas serangan ke atas kapal tangki tersebut, yang mampu membawa sekitar 2 juta tong minyak bernilai lebih $200 juta mengikut harga semasa.

Kuwait Petroleum Corp, pemilik kapal berkenaan, berkata serangan berlaku awal pagi Selasa, menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada bahagian badan kapal.

Pihak berkuasa di Dubai kemudian menyatakan mereka berjaya mengawal kebakaran susulan serangan dron ke atas kapal tangki itu, tanpa sebarang kebocoran minyak atau kecederaan kepada anak kapal.

Lonjakan harga minyak dan bahan api mula membebankan kewangan isi rumah di AS dan menjadi “sakit kepala politik” buat Trump dan Parti Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal November ini, setelah dia berjanji untuk menurunkan harga tenaga serta meningkatkan pengeluaran minyak dan gas AS.

Harga runcit purata nasional petrol di AS melepasi $4 segelen buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga tahun pada Isnin, menurut data daripada perkhidmatan pengesan harga GasBuddy. Bekalan global yang semakin meruncing menolak penanda aras minyak mentah Brent naik 56 peratus ulan ini, kenaikan terbesar dalam rekod, kepada melebihi $113 setong.

Tentera dikerahkan ketika rundingan berterusan

Serangan oleh kedua-dua belah pihak tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda, dengan kebimbangan terhadap konflik serantau yang lebih luas semakin meningkat.

Kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran menyertai peperangan dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel, manakala Turkiye melaporkan satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran memasuki ruang udara negara itu sebelum ditembak jatuh oleh pertahanan udara dan peluru berpandu NATO.

Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke atas apa yang dipanggil sebagai infrastruktur ketenteraan di Tehran dan infrastruktur yang digunakan oleh Hezbollah tajaan Iran di ibu kota Lubnan, Beirut.

Bunyi letupan turut kedengaran di beberapa bahagian di timur dan barat Tehran beberapa minit selepas Israel mengeluarkan amaran mengenai serangan segera di bandar itu, lapor agensi berita Iran, Tasnim pada Selasa.

Penduduk di daerah Pirouzi di bahagian timur melaporkan gangguan bekalan elektrik selepas letupan, dan pegawai dari Kementerian Tenaga Iran mula berusaha untuk memulihkan bekalan elektrik, kata Tasnim.

Satu serangan ke atas dewan perhimpunan Syiah di bandar Zanjan, barat laut Iran pada Selasa membunuh tiga orang dan mencederakan 12 yang lain, kata seorang pegawai wilayah kepada media Iran.

Tentera Israel berkata pada awal pagi Selasa bahawa empat askar terbunuh di selatan Lubnan, kawasan yang sama di mana tiga anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari Indonesia terbunuh dalam dua kejadian berasingan.

Mahkamah Tinggi batal perintah henti roboh kuil Rawang

Zarrah Morden

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengketepikan keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang sebelum ini mengarahkan kerja-kerja merobohkan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran di Taman Rawang Perdana dihentikan sementara.

Hakim Suriyati Hasimah Mohd Hashim berkata permohonan semakan pemilik tanah, iaitu Yayasan Kubra adalah dibenarkan, yang sekali gus mengketepikan keputusan majistret Chai Guan Hock sebelum ini.

Bercakap kepada Malaysia,kini peguam Rajesh Nagarajan berkata anak guamnya, iatu jawatankuasa kuil tersebut mengarahkannya supaya segera memfailkan rayuan.

"Sejak pertikaian, kuil di Rawang itu mengalami kerosakan tetapi masih berfungsi, saya juga diarahkan oleh anak guam untuk memaklumkan kepada responden bahawa kuil tersebut tidak seharusnya diganggu sementara menunggu pelupusan kes oleh Mahkamah Rayuan," katanya.

Pada awal pagi 25 Feb, kuil itu dirobohkan beberapa jam selepas jawatankuasanya memindahkan patung-patung dewa berikutan persetujuan yang dicapai dengan Yayasan Kubra dan pihak berkuasa.

Kuil itu menjadi subjek kontroversi baru-baru ini selepas aktivis Tamim Dahri, yang berada di barisan hadapan dalam kempen menentang kuil tanpa kebenaran, mula merobohkannya dua minggu lalu.

Menurut NGO itu, mereka meminta bantuan Tamim untuk membersihkan struktur haram berkenaan bagi memberi laluan kepada pembinaan projek perumahan golongan miskin di plot tanah tersebut.

Secara berasingan, salah seorang peguam Yayasan Kubra, Aidil Khalid, memuji keputusan mahkamah.

“Maka dengan ini, kemenangan adalah kepada tuan tanah.

“Penceroboh dan kuil haram tiada tempat di dalam masyarakat bertamadun. katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Katanya, adalah kali kedua keputusan Chai dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi, merujuk ketika Mahkamah Tinggi Shah Alam mengketepikan perintah reman dua hari terhadap Tamrin dan tiga yang lain yang dikeluarkan oleh majistret tersebut.

Empat lelaki itu ditangkap selepas merobohkan kuil berkenaan.

Pada 27 Feb, pihak pengurusan kuil memfailkan saman di Mahkamah Majistret Selayang berhubung perobohan itu.

Rajesh, bersama rakan peguam Sachpreetraj Singh, mengutuk perobohan kuil itu dan mempertikaikan dakwaan bahawa pihak pengurusannya mengosongkan tapak tersebut secara sukarela.

Peguam itu berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar dan mengarut, kerana pengerusi kuil membuat laporan polis sehari sebelum perobohan, mengadu bahawa kuil berkenaan ditekan untuk mengosongkan tapak itu tanpa sebarang perintah mahkamah.

Peguam juga mendakwa "operasi tengah malam" tanpa perintah mahkamah itu merupakan pengusiran menyalahi undang-undang terhadap rumah ibadat.

Lagi kes pemandu mabuk, 6 cedera kenderaan terbalik

HARRITH HISHAM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa selepas kenderaan mereka terbalik akibat dirempuh sebuah Range Rover di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih, awal pagi tadi.
KAJANG – Seorang pemandu yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol ditahan selepas merempuh sebuah kenderaan sehingga terbalik dalam kejadian di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih, arah Kajang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, enam individu termasuk pemandu sebuah van jenis Mazda E1709 Wagon mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, semakan ke atas suspek yang memandu kenderaan jenis Range Rover Velar 2.0 didapati positif alkohol.

“Kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu suspek tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang van menyebabkan kenderaan tersebut terbalik ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, pemandu Range Rover berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pemandu serta lima penumpang van berusia 7 hingga 51 tahun yang cedera sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kajang dan Hospital Serdang.

Beliau menambah, suspek direman selama dua hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Sarjan Nurul Shaffika Mohd. Shair di talian 013-2091766.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhati-hati semasa memandu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE