"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Analisis agihan kerusi HARAPAN di Johor

Posisi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mengetuai Pakatan Harapan (HARAPAN) di Johor dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 dikukuhkan dengan keputusan akhir rundingan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pakatan itu.
Bagaimanapun, kehadiran parti serpihan Umno itu dalam HARAPAN telah mengubah secara ketara pembahagian kerusi DUN di Johor antara komponen HARAPAN berbanding PRU pada 2013.
Pada 2013, Pakatan Rakyat ketika itu menyaksikan PAS bertanding 31 kerusi, DAP 14 kerusi, sementara PKR 12 kerusi.
Sehingga BERSATU menyertai HARAPAN, Parti Amanah Negara (AMANAH) dijangkakan menggantikan tempat PAS mengisi semua kerusi yang pernah ditandingi PAS pada 2013.
Namun, rundingan kerusi HARAPAN di Johor berakhir dengan BERSATU mengambil kebanyakan kerusi yang pernah ditandingi PAS pada PRU ke-13 iaitu sebanyak 15 kerusi, sementara PKR mengambil lima kerusi yang lain, seterusnya memberikan AMANAH 11 kerusi selebihnya.
Satu-satunya pertambahan kerusi buat AMANAH adalah di Kemelah yang diambil daripada PKR.
BERSATU turut mengambil tiga kerusi yang pernah ditandingi PKR.
BERSATU dapat 9 kerusi campuran
Daripada semua kerusi yang dipertahankan AMANAH, satu kerusi – Parit Yani – merupakan milik satu-satunya ADUN parti itu di Johor, Aminolhuda Hassan.
Bagaimanapun, dua kerusi yang pernah diletakkan calon utama parti itu pada PRU ke-13 iaitu Kempas (Suhaizan Kaiat) dan Bukit Permai (Mazlan Aliman) kini di bawah BERSATU.
Kempas dan Bukit Permai merupakan kerusi campuran, kawasan yang memberi peluang lebih besar kepada BERSATU jika mampu memecahkan undi Melayu dan mendapat kebanyakan undi bukan Melayu.
image: https://i.malaysiakini.com/1206/3b389fa6815f36777185747ef827140f.png

Penganalisis Wan Saiful Wan Jan sebelum ini menyatakan kerusi campuran begini merupakan kunci utama yang boleh memberi kemenangan kepada BERSATU di Johor dalam PRU ke-13.
Kerusi campuran Johor yang lain yang akan ditandingi BERSATU adalah Buloh Kasap, Tenang, Gambir, Jorak, Machap, Permas dan Tanjong Puteri.
Parti berkenaan itu juga bertanding kerusi campuran di Puteri Wangsa yang kini dipegang oleh PAS.
Pembangkang dengan latar belakang Umno
Namun, tidak semua kerusi berkenaan dilihat memberi kelebihan kepada BERSATU kerana beberapa kerusi itu dimenangi BN dengan majoriti besar.
Ini termasuk kerusi campuran Tanjong Puteri yang dimenangi BN dengan majoriti undi 9,097.
Satu-satunya kerusi yang dilihat mudah untuk BERSATU adalah di Gambir yang menyaksikan pada 2013 BN mengalahkan PAS dengan majoriti tipis iaitu sebanyak 301 undi.
BERSATU juga dilihat mengambil alih Panti, kerusi yang pernah menyaksikan PKR dan PAS bertembung tiga penjuru pada 2013.
Satu lagi kerusi menarik yang diambil BERSATU adalah Kahang, kerusi majoriti Melayu yang kini dipegang oleh MIC.

Penyandang kerusi itu, Vidyananthan Ramanadhan, mengalahkan calon Melayu PKR dengan 7,801 majoriti undi pada PRU ke-13.
PRU ke-14 akan menunjukkan sama ada calon pembangkang Melayu dengan latar belakang Umno lebih digemari pengundi di kawasan itu atau sebaliknya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: