"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH Kedah ajak lebai PAS semuka elak agama dilacur

ARIF ATAN
AMANAH Kedah mengajak Yang Dipertua Pas Kawasan Padang Serai, Ustaz Shaharuddin Ibrahim untuk bersemuka bagi memperincikan penjelasan berhubung dakwaannya tentang haram mengundi Pakatan Harapan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar kata, pelawaan tersebut ekoran kenyataan Shaharuddin dalam kuliah di sebuah masjid di negeri itu yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Beliau (Shaharuddin) telah membuat dua dakwaan berkaitan haramnya menmgundi Pakatan Harapan dan menyandarkan dakwaan itu kepada Ustaz Haslin Baharim atau juga dikenali sebagai Ustaz Bollywood.

“Saya ajak beliau bersemuka supaya pandangan-pandangan agama tidak dilacurkan sebegitu rupa oleh mereka yang berpakaian ulama yang menggunakan gelaran agamawan,” tegasnya.

Ustaz Ridzwan dalam rakaman video dipetik dari Facebook AMANAH Kedah itu mempersoal asas hukum atau dalil yang digunakan Shaharuddin sehingga membawa kepada dakwaan mengundi Pakatan Harapan sebagai haram.

“Haramnya dari segi apa? Kalau beliau berhujah kerana ada DAP di dalamnya, maka kita kata Pas juga pernah bersama Pakatan Rakyat sebelum ini dan dalam Pakatan Rakyat ada DAP.

“Adakah Ustaz Shaharuddin dan orang seumpamanya melacurkan ilmu mereka mengikut keadaan semasa atau pun berubahnya hukum mengikut masa dan tempat? Mungkin itu kaedah yang digunakan oleh mereka.

“Tetapi kalau guna kaedah itu, apakah keadaan, masa dan tempat (ketika DAP dalam Pakatan Rakyat), apakah ketika itu halal, dan ketika ini haram?” soalnya.

Selanjutnya, Ustaz Ridzwan mempertikai daripada segi undi bukan Islam yang diterima Pas pada pilihan raya umum lalu ketika parti tersebut menolak untuk mengundi calon bukan Islam.

“Asas apakah yang membolehkan Pas merayu undi daripada golongan bukan Islam. Kalau mengundi golongan bukan Islam adalah haram, maka apakah mendapat undi daripada mereka halal?

“Apakah kedudukan mereka (masyarakat bukan Islam termasuk dalam DAP, PKR, dan AMANAH) adalah masyarakat kelas kedua di Malaysia?” bidasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan Shaharuddin sebagai celupar memandangkan penceramah berkenaan beberapa kali memfitnah DAP bahkan sebahagian penduduk Pulau Pinang apabila pernah mendakwa laungan azan dilarang di negeri tersebut.

“Saya atas nama Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah mengajak Ustaz Shaharuddin bermuzakarah kerana beliau melacurkan ilmunya atas nama agama dengan pakaian jubah dan serbannya.

“Nampak bercakap bagi pihak agama, menggunakan istilah agama, menunggang agama,” tegasnya sambil menetapkan pertemuan tersebut pada 2 Februari ini.

Untuk rekod pada 2016, Shaharuddin dalam tazkirah Ramadan berdurasi 30 minit dengan jelas menyebut, “Kalau DAP menguasai negara… nuu Pulau Pinang tuan-tuan, bang (azan) dah tak boleh dah, bang (azan) tak boleh dah, tuan-tuan.”

Mengulas lanjut, Ustaz Ridzwan berpendapat kesediaan Shaharuddin untuk menghadiri sesi muzakarah itu sebagai tanda individu yang jujur.

“Kita bermuzakarah pada bila-bila masa dalam negeri Kedah bukan untuk tujuan mencari siapa menang dan kalah tapi pandangan mana yang tepat.

“InsyaAllah pada 2 Februari, program ini ditangung sepenuhnya oleh pihak kita (AMANAH). Kalau beliau betul-betul berbicara atas dasar hukum dan berhujah matang dan sejahtara.

“Saya ajak mari bermuzakarah. Datangkan hujah kamu sekiranya kamu orang yang jujur,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: