"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penduduk asal Kg. Bakar Batu kutuk perbuatan samseng halang Sembang Santai Kit Siang

Para penduduk asal kampung Bakar Batu mengecam perbuatan kumpulan samseng yang dipercayai penyokong BN yang membuat kecoh sehingga program Sembang Santai pemimpin Pakatan Harapan yang turut menampilkan ahli parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang terpaksa dibatalkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stulang Andrew Chen Kah Eng datang semula ke kampung tersebut selepas hari kejadian dan menemui para penduduk kampung yang kesal dengan kejadian tersebut.








“Sebenarnya empat hari yang lepas (10 Feb), kita datang ke Kg. Bakar Batu, selain untuk program sembang santai, kami juga ada membawa kerusi roda kepada mereka yang memerlukan. Kami juga bawa limau oren untuk setiap kaum bersama menyambut Tahun Baru Cina,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Menurut Andrew, bagi mengelakkan ketegangan berterusan, para pemimpin Pakatan Harapan yang hadir mengambil keputusan beredar daripada warung tersebut.
Pemimpin Pakatan Harapan Johor berkunjung semua ke warung di kampung Bakar Batu.
Bagaimanapun kelmarin, Andrew bersama pengerusi PKR Johor Hassan Karim, pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hasan dan wakil PPBM berkunjung semula ke kampung tersebut.
Mereka mengadakan program bantuan asnaf, sembang santai dan edaran buah limau kepada penduduk.
“Program berjalan dengan cukup lancar kerana tiada sebarang gangguan,” katanya.
Sehubungan itu Andrew mempersoalkan kenyataan ketua Umno Johor Bahru yang mendakwa kekecohan pada program itu berpunca daripada pemimpin Pakatan Harapan yang tidak mengetahui ‘adab masuk kampung’.
“Saya nak bertanya balik kepada Tan Sri Shahrir, apakah adab yang telah kami langgar?” soal beliau.
Andrew juga mahukan penjelasan tokoh veteran Umno itu sama ada tindakan menakut-nakutkan orang kampung untuk hadir ke program santai bersama pemimpin Pakatan Harapan menepati adab?
Apatah lagi, tambah beliau kumpulan yang menghalang menengking-nenking, memaki hamun dan menjerit-jerit kepada tetamu yang datang bertandang.
“Saya juga berasa kesal kerana cyber trooper yang pro-Umno terus memfitnah saya dan DAP dengan menyiarkan posting palsu di Facebook kononnya saya memarahi orang Melayu Bakar Batu sedangkan saya langsung tidak pernah berbuat demikian,” katanya.
“Adakah perbuatan cyber trooper (Umno) ini beradab?” soal beliau.
Menurut Andrew, keberanian ditunjukkan penduduk kampung Bakar Batu mengkritik taktik kotor dan budaya kecoh samseng Umno yang bermotif politik patut dijadikan teladan oleh seluruh rakyat.
“Tidak perlu lagi takut dengan sebarangan tekanan, ugutan dari Umno-BN,” katanya.
Beliau juga yakin kekecohan yang berlaku di kampung Bakar Batu itu akan memberi ruang kepada Pakatan Harapan untuk mendekati rakyat.
-malaysiadateline

Tiada ulasan: