Zin Mahmud
mahathir11Sepanjang minggu lalu, Pakatan Harapan (PH) menghadapi cabaran bertubi-tubi.
Bermula dengan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara, diikuti penarikan darjah kebesaran Naib Presiden Amanah, Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Rahim Wan Abdullah.
Begitu juga, penarikan darjah kebesaran terhadap Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri hinggalah kepada berita beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemantauan kerana demam.
Dalam pada itu, PPBM diasak sekumpulan bekas ahlinya yang membuat aduan terhadap Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa parti itu melanggar perlembagaannya.
Sementara PH Selangor pula belum lagi dapat menyelesaikan soal pembahagian kerusi yang mana PKR mahu mengekalkan semua kawasan Parlimen dan negeri yang ditandingi dalam pilihan raya lalu. DAP pula mahukan penambahan kerusi untuk calon Melayunya.
Selain itu, ada bekas Adun DAP yang disingkirkan oleh parti mereka telah menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM), yang menjadi wadah baharu bagi bekas ahli DAP dan ia boleh menghasilkan pertandingan banyak penjuru.
Pihak yang berhasrat untuk merosakkan undi juga dengan jelas menolak Barisan Nasional (BN) dan PH. Tetapi tindakan mereka untuk merosakkan undi akan merugikan PH, kerana mereka adalah asasnya dari kalangan pihak pembangkang, antaranya merupakan golongan kiri yang meragui kejujuran proses pilihan raya dan sistem demokrasi di negara ini.
Jadi apabila mereka memilih untuk mrosakkan undi kerana tidak puas hati terhadap penerimaan PH terhadap Dr Mahathir, maka BN yang meraih keuntungan.
Namun, Dr Mahathir sebagai pemimpin utama pihak pembangkang sudah umumnya dapat diterima oleh penentang BN walaupun ada kalangan pendokong Reformasi berasa kedudukan mereka menjadi pelik. Mereka menyertai Reformasi dan PKR untuk menentang Dr Mahathir tetapi buat masa ini mereka diketuai pula oleh bekas perdana menteri itu.
Begitu juga dengan PAS yang dalam usahanya menentang PH telah menjadikan Dr Mahathir sebagai sasaran mereka. Tetapi PAS dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dapat diterima sebagai ketua pembangkang.
Ini kerana fahaman politik PAS tidak dapat diyakini oleh banyak orang Malaysia yang selesa dengan fahaman sistem demokrasi dan separa-sekular sedia ada. Lebih-lebih lagi apabila PAS menunjukkannya mesra dengan BN, maka kedudukannya sebagai anggota pembangkang adalah diragui.
Di kalangan pendokong DAP juga ada yang tidak dapat menerima kepimpinan Dr Mahathir. Dasar beliau terhadap hubungan kaum sepanjang hayatnya banyak tidak disenangi oleh penyokong DAP. Tetapi umumnya mereka dapat diyakinkan oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bahawa menyokong Dr Mahathir adalah perlu buat masa ini kerana beliau kini menentang BN.
Bagi pendokong Amanah, menyokong Dr Mahathir tidak menjadi masalah kerana mereka mendokong kesepakatan parti pembangkang. Ketika bersama PAS dahulu, iaitu semasa berada di bawah kepimpinan Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mereka boleh bersama dengan PRM, Semangat 46, DAP dan PKR. Maka tidak ada masalah untuk mereka bersama dengan PPBM dan Dr Mahathir.
Apa yang nyata, Dr Mahathir telah memberikan dimensi, strategi, sokongan dan semangat baharu kepada pihak pembangkang. Bayangkan kalau beliau mengambil keputusan untuk bersara sepenuh masa dalam politik, besar kemungkinan PPBM tidak dapat ditubuhkan dan PH tidak ada pemimpin utamanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dalam penjara sementara pemimpin utama PH seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Azmin Ali, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng tentu tidak dapat memperoleh keyakinan besar rakyat.
Dr Mahathir pula bukan saja menjadi pemimpin PH yang mempengerusikan masyarakat Majlis Presiden mereka, tetapi turut aktif memberi ceramah di merata-rata tempat di seluruh negara.
Jumaat lalu, beliau dijadualkan memberi ceramah di 3 tempat di Bentong, Pahang. Tetapi majlis itu dibatalkan kerana beliau didapati batuk batuk serta demam dan dibawa masuk ke IJN.
Pusat rawatan itu mengeluarkan kenyataan bahawa beliau terkena infeksi iaitu jangkitan kuman dan perlu berehat.
Pemimpin politik jatuh sakit dan dimasukkan hospital adalah perkara biasa. Tetapi Dr Mahathir berusia 92 tahun dan seseorang yang sebayanya selalunya hanya berehat di rumah. Bukan saja mereka tidak mempunyai kekuatan untuk berceramah, malah untuk pergi luar daripada kediaman mereka adalah juga tidak mampu.
Tetapi Dr Mahathir adalah seorang yang aktif dari segi kesihatan dan kekuatan fizikalnya. Beliau bukan saja sihat dan larat tetapi percakapan dan pemikirannya adalah masih jelas dan meyakinkan. Malah hujahnya lebih berisi berbanding dulu kerana pengalaman hidupnya yang begitu lama.
Dr Mahathir juga berkata, kalaulah PH menang dan beliau menjadi perdana menteri, beliau berkemungkinan hanya memerintah 2 tahun saja, iaitu ketika sampai usia 95 tahun. Tidak sepenggal pun.
Adalah sukar untuk memikirkan beliau akan memerintah negara sampai berusia 100 tahun. Maknanya beliau mungkin sempat menyediakan laluan bagi Anwar menjadi perdana menteri.
Jika perkara itu berlaku, tentunya perkiraan politik negara mengalami perubahan besar. Ada kemungkinannya BN dan Umno sendirinya mengalami perpecahan. Kedudukan PAS juga boleh berbeza.
Jika PH kalah, sukar juga untuk membayangkan apa yang akan dilakukan oleh Dr Mahathir dalam keadaan Datuk Seri Najib Razak terus menjadi perdana menteri. Tetapi politik tetap bergolak.
Buat masa ini, para pendokong PH pasti berdoa agar Dr Mahathir kembali sihat dan aktif. Walaupun mungkin Dr Mahathir tidak boleh aktif berceramah di sana sini tetapi harapan mereka ialah beliau terus dapat memimpin PH.
Setelah memperoleh Dr Mahathir dan PPBM, PH memerlukan kepimpinan beliau. Adalah sukar bagi PH tanpa kepimpinan Dr Mahathir.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr Wan Azizah, Mat Sabu dan Guan Eng tidak dapat menggantikan kepimpinan Dr Mahathir.
Sementara itu apabila dilihat tumpuan kempen BN pula, adalah ketara Umno lebih fokus pada usaha untuk melemahkan PPBM berbanding dengan PKR dan Amanah. Tumpuan MCA dan Gerakan adalah sememangnya pada DAP.
Maka dapat difahamkan pelbagai cara akan digunakan untuk melemahkan PPBM. Kemudian barulah perhatian mereka kepada PKR.
Kerja untuk melemahkan Amanah dilihat hanya diserahkan kepada PAS. Maka Amanah pun sibuk melayan asakan daripada PAS sedang lawan utama adalah BN.
Adalah mudah bagi Umno melawan PPBM kerana mereka sama-sama pernah berada dalam satu parti. Sebab itu kerjasama antara PPBM dan PKR perlu ditingkatkan untuk melawan Umno kerana sebahagian besar ahli kedua-dua parti itu juga orang Umno.
Namun melihat perkembangan setahun ini, parti yang memberi ruang, malah kerjasama dengan PPBM ialah Amanah. Kelihatan Mat Sabu mempunyai hubungan mesra dengan Dr Mahathir hinggakan dalam rundingan pembahagian kerusi, Amanah turut dipuji kerana berperanan untuk menjayakannya.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan