Isu LGBT: Antara Fakta dan Emosi
Ramai yang memberikan respon berkaitan isu LGBT daripada Menteri Agama Dato Dr Mujahid. Ada yang mengamuk sakan sehingga bertanya apa perlu mahkamah syariah jika ia dosa peribadi? Saya mencari kenyataan media berhubung isu LGBT yang dinukilkan daripada YB Menteri. Apa yang dapat saya simpulkan ialah:
1. Menteri menegaskan perbuatan itu haram.
2. Tindakan undang-undang akan diambil jika perlakuan tersebut dilakukan terang-terangan.
Bagi yang mengamuk sakan ini, saya cuba fahami asas amukan mereka. Hanya ada beberapa kemungkinan mereka mengamuk:
1. Bila menteri kata LGBT haram. Tapi kemungkinan ini jauh kerana mereka memang anggap LGBT itu haram.
2. Bila menteri kata bila ia dilakukan secara tersembunyi maka ia adalah dosa dia dengan Allah. Inilah kemungkinan yang paling besar yang menjadi sebab mereka mengamuk.
3. YB Menteri mahu dialog dengan golongan LGBT. Mereka merasakan langkah ini lembut dan tidak sesuai atau tidak cukup.
Saya kira kalau saya ini level pentaksub YB Menteri Agama ini saya boleh saja beri alasan:
"Masya Allah, mantiq YB Menteri sangat tinggi. Orang awam tidak faham. Ia juga uslubul hakim. Hanya orang yang mengaji lama dengan beliau saja faham".
Namun saya bukanlah pentaksub beliau. Maka saya cuba fahami maksud beliau. Berikut ulasan saya:
1. YB Menteri jelas menyatakan perbuatan ini haram. Ini melegakan saya.
2. YB Menteri mahu berdialog dengan golongan LGBT adalah salah 1 usaha dakwah untuk menyampaikan kebenaran. Bahkan Malaysiakini juga pernah melaporkan bahawa sebahagian pimpinan PAS juga mahu menggunakan metod mendekati golongan ini.
3. YB Menteri tidak mengubah status quo dalam isu ini. Selama ini, begitulah perlaksanaan undang-undang yang ada di negara kita tetapi kenapa mereka tidak mengecam sebelum ini? Bahkan sebahagian mereka teriak mahu bertaawun.
4. Perihal kenyataan YB Menteri yang menyebut:
"Perbuatan LGBT haram. Kalau buat sembunyi-sembunyi pun tetap haram tetapi itu antara dia dan Allah. Allah akan membalas di atas perbuatan mereka. Tetapi kalau mereka secara terang-terangan beritahu dan kata seronok dengan perbuatan itu, kita boleh ambil tindakan".
Saya kira kenyataan Menteri ini jelas maknanya. Maksiat yang tersembunyi sememangnya kita tidak boleh ambil tindakan. Bagaimana mahu ambil tindakan sedangkan ia disembunyikan? Kita dilarang untuk melakukan tajassus (mencari-cari salah) orang. Umar bin al-Khattab tidak menceroboh rumah seorang pemuda yang minum arak di rumahnya secara tersembunyi.
Tersembunyi ini bermaksud kita tidak tahu kesalahan ini dilakukan. Pelakunya menyorokkan perlakuan ini daripada pengetahuan pihak berkuasa. Maka ia adalah dosa peribadi pelakunya.
Adakah mereka yang mengecam YB Menteri ini mahu mengatakan walaupun dosa itu tersembunyi maka kita semua berkongsi dosa walaupun kita tidak terlibat sama sekali?
Kecuali jika mereka "secara terang-terangan beritahu dan kata seronok dengan perbuatan itu, kita boleh ambil tindakan" seperti kata YB Menteri. Maka tindakan boleh diambil jika ada aduan, dibuat secara terang-terangan atau ada promosi kepada perlakuan tersebut.
Justeru, saya tidak nampak apa yang menjadi isu besar dengan kenyataan YB Menteri. Mungkin kerana mereka yang mengecam ini salah faham maksud YB Menteri atau hanya baca tajuk di media sosial semata maka mereka lupa seruan tabayyun kerana YB Menteri bukan ahli parti mereka. Saya nasihatkan janganlah seruan tabayyun hanya untuk puak sendiri dan tibayyun untuk musuh politik. Tabayyunlah pada kawan dan lawan.
Dr Rozaimi Ramle
Tiada ulasan:
Catat Ulasan