"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

’Saya mohon maaf kepada Sinar Harian’

WARTAWAN SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Pendakwah, Datuk Dr Danial Zainal Abidin memohon maaf kepada Sinar Harian dan wartawan yang terlibat susulan kesilapan kenyataan dikeluarkan sebelum ini.

Melalui rakaman Kuliah Tafsir Kontemporari disiarkan di laman Youtube, beliau akui kesal telah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Sinar Harian dan wartawan yang menghubunginya.

“Saya masih ingat saya kata, saya tak baca Sinar Harian. Jadi, saya rasa sangat menyesal sebab kalimat seperti itu lebih layak tidak saya sebut.

“Kemudian saya komen wartawan itu, saya telah menjawab tapi saya tidak pasti apa yang dia akan tulis. Nada itu menyebabkan saya tak tenang sebab seolah-olah saya mempertikaikan profesionalisme wartawan itu,” katanya.

Jelasnya lagi, selepas membaca sendiri tulisan yang disiarkan, beliau akui semuanya seperti yang dijawab kepada wartawan wanita tersebut.

“Saya rasa kesal sangat, jadi saya minta maaf pada Sinar Harian dan wartawan yang menelefon saya.

“Terutama apabila saya melihat laporan itu sendiri, memang dia tulis apa yang saya kata. Nampak sungguh beliau profesional,” katanya.

Beliau sempat mendoakan wartawan Sinar Harian akan terus mengekalkan profesionalisme dan dimurahkan rezeki buat Sinar Harian.

Tiada ulasan: