"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersenam, kawal gula kalau nak hidup lama

Bernama
Sesuatu yang manis itu bukan semestinya baik untuk kesihatan dan kebenaran kata-kata ini tentunya lebih dirasai penghidap diabetes atau penyakit kencing manis.

Penulis sememangnya tidak tahu tentang penyakit ini semasa kecil berbanding sekarang. Apabila banyak membaca tentang diabetes, lalu teringat kepada jiran sewaktu tinggal di sebuah taman perumahan di Pulau Pinang. Ketika itu umur saya sekitar 10 tahun dan jiran saya itu penggemar tegar minuman berkabonat atau popular dengan panggilan minuman bergas.

Peti sejuk pasangan ini sentiasa penuh dengan minuman ini yang pelbagai jenama dan warna. Boleh dikatakan, bekalannya sentiasa ada. Kalau saya berkunjung ke rumah mereka, pasti pasangan ini, suaminya penulis panggil Pakcik Mail (bukan nama sebenar) dan isterinya, Makcik Yah (bukan nama sebenar) suruh penulis pilih apa sahaja air berkarbonat yang ada. Memanglah sedap minuman itu apatah lagi bila disimpan dalam peti sejuk. Anggapan penulis ketika itu alangkah indahnya hidup ini kalau dapat menikmati air bergas setiap hari seperti kehidupan pasangan ini.

Kira-kira 10 tahun kemudian saya mendapat khabar air berkarbonat yang “bertahun-tahun memaniskan kehidupan pasangan ini” akhirnya membawa padah apabila Makcik Yah meninggal dunia akibat komplikasi diabetes.

Hakikatnya, trend pengambilan gula berlebihan serta gaya hidup masyarakat hari ini yang dilihat lebih cenderung mementingkan ‘kesedapan’ berbanding amalan pemakanan sihat dan penjagaan kesihatan sebenarnya adalah sangat menakutkan.

Biarpun sudah ramai sedia maklum mengenai bahaya ‘gula’ yang menjadi punca utama kepada pelbagai penyakit termasuk diabetes, namun boleh dikatakan majoriti masyarakat kita masih lagi bersikap acuh tidak acuh dalam perihal kesihatan mereka.

Malah, terdapat satu laporan berita yang menyatakan rakyat Malaysia berada pada kedudukan ke-8 dunia dalam carta pengambilan gula iaitu 26 sudu setiap hari, hampir 5 kali ganda berbanding had ideal yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Justeru, tidak menghairankanlah apabila diabetes yang merupakan antara satu penyakit tidak berjangkit (NCD) yang dihadapi rakyat negara ini berada pada kadar agak membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Berdasarkan data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, diabetes adalah antara NCD yang meningkat setiap tahun dalam kalangan masyarakat negara ini iaitu sebanyak 17.5% dengan anggaran 3.5 juta penduduk dikesan menghidap penyakit tersebut.

Akan tetapi, apa yang lebih membimbangkan adalah data diperolehi ini diambil daripada lapisan masyarakat yang berusia lebih 18 tahun! Secara jelas ini menunjukkan trend penyakit kronik ini yang sebelumnya sinonim dengan warga emas sudah mula menular dalam kalangan generasi muda.

Hal ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika didiagnos kencing manis pada usia muda bererti seseorang itu akan menanggungnya sehingga ke akhir hayat disebabkan diabetes adalah penyakit yang tidak boleh disembuhkan.

Pastinya juga keadaan akan menjadi lebih tragis apabila diabetes yang tidak terkawal berisiko mengundang pelbagai komplikasi yang sinonim dengannya seperti kegagalan buah pinggang, buta dan penyakit jantung.

Sekitar Mac 2017 terdapat satu laporan akhbar yang menyebut jumlah rakyat Malaysia yang mengalami masalah buah pinggang dari tahap satu hingga tahap 5 pada masa ini dianggarkan mencecah 400,000 orang!

Manakala hasil kajian NHMS 2016 mendapati kira-kira 15,000 hingga 39,000 orang hilang penglihatan disebabkan diabetes yang tidak terkawal. Ini membuktikan bahaya komplikasi penyakit kronik ini yang sebenarnya mampu menjejaskan produktiviti individu termasuk golongan muda serta masa depan mereka.

Dr Muhammad Hakim Noordin, Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia dalam satu rencana yang diterbitkan dalam satu akhbar menjelaskan mengenai komplikasi kencing manis.

Beliau mahu masyarakat memahami dengan sebaik-baiknya bahawa komplikasi akibat penyakit kronik ini secara umumnya akan berlaku bukan dalam masa terdekat, sebaliknya dalam tempoh 15 hingga 30 tahun akan datang. Bagaimanapun, sekiranya penyakit ini tidak dirawat atau ditangani lebih awal, maka tanda komplikasi boleh muncul lebih awal sekitar 10 hingga 15 tahun.

Sewajarnya, data kajian ini membuka mata masyarakat untuk lebih sedar akan bahaya diabetes tetapi perkara sebaliknya berlaku. Masih ada lagi masyarakat yang bukan sahaja mengambil mudah pengambilan makanan tidak sihat termasuk yang mengandungi gula berlebihan bahkan malas bersenam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika berucap di majlis Kempen Promosi Hidup Aktif atau WALK (When Active Living Kicks) peringkat kebangsaan Kementerian Kesihatan baru-baru ini berkata hasil NHMS 2015 mendapati satu daripada 3 orang dewasa adalah tidak aktif.

Tidak dinafikan, gaya hidup sebahagian anggota masyarakat hari ini lebih cenderung untuk ‘berkepit’ dengan telefon pintar berbanding melakukan aktiviti fizikal selain suka melepak makan waktu tengah malam menjurus kepada risiko berat badan berlebihan.

Ini mungkin disebabkan masih ada lagi tidak menyedari obesiti adalah pemangkin kepada penyakit kronik NCD dan kira-kira 73% kematian di hospital kerajaan berpunca daripada NCD!

Persoalannya, sampai bila masyarakat hendak berterusan mengamalkan kehidupan tidak sihat ini?

Kerajaan memandang serius akan perkara ini, justeru sangat memberi penekanan aspek pencegahan dengan terus-menerus mendidik orang ramai serta melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengatasi masalah NCD termasuklah diabetes.

Namun, semua ini tidak akan berkesan sekiranya ia hanya melibatkan sebelah pihak sahaja. Cabaran paling besar dan penting adalah individu itu sendiri kerana kualiti kesihatan seseorang bergantung kepada cara penjagaan dan kawalan pemakanan masing-masing.

Kita harus sedar hospital kerajaan kini semakin hari semakin sesak kerana terlalu ramai yang mahu mendapatkan rawatan berbanding pusat perubatan swasta yang tinggi kosnya.

Statistik klinik kesihatan kerajaan sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja menunjukkan terdapat 33,000 pesakit diabetes di kawasan berkenaan.

Ini pastinya akan meningkatkan pembelanjaan kerajaan dan walaupun Kementerian Kesihatan menerima peruntukan RM29 bilion dalam Belanjawan 2019 dan merupakan yang tertinggi diterima sepanjang sejarah belanjawan negara, namun jumlah ini belum dapat menampung sekiranya masih ramai tidak peduli aspek pencegahan.

Justeru, mungkin cadangan antaranya memperkenalkan duti eksais bermula 1 April, 2019 pada kadar 40 sen seliter bagi 2 kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum mampu memupuk gaya hidup lebih sihat.

Biarpun ada pihak bising mempertikaikan kewajaran duti eksais ini tetapi langkah ini dilihat sedikit sebanyak mampu dijadikan alternatif mengurangkan penghidap diabetes di Malaysia.

Tiada ulasan: