XINJIANG - CHINA. Pihak berkuasa rejim komunis China di barat laut Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (XUAR) menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli perniagaan yang juga dermawan etnik minoriti Uyghur terkenal, Abdughapar Abdurusul, kerana mengerjakan haji di Arab Saudi.
Menurut abang mangsa, Abdusattar Abdurusul, Abdughapar yang berasal dari daerah Bakyol di Ili Kazakh ditangkap pada Julai atau Ogos lalu.
“Yang terbaru saya dengar, adik saya dijatuhi hukuman mati dan dia kini sedang menunggu pelaksanaannya. Alasannya ialah dia pergi ke Arab Saudi untuk melaksanakan haji secara persendirian, tanpa menggunakan perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Katanya, Abdughapar tidak dibenar melantik peguam ketika perbicaraan, sekali gus menunjukkan bahawa dia telah dihukum secara haram.
Walaupun semua hukuman mati perlu dikaji semula oleh Mahkamah Agung China di Beijing, tetapi dalam kes Abdughapar, tidak dapat dipastikan sama ada kes itu telah disiasat dengan adil.
Beliau berkata, Abdughapar bapa kepada empat anak memiliki beberapa rangkaian kedai dan perniagaan, dan telah menggunakan wang sendiri untuk membina sebuah masjid.
Selain itu, katanya, Abdughapar juga telah menjual sebuah rumah lama milik keluarga sekitar 1 juta yuan (AS$144,000) pada April atau Mei, sebelum ditangkap, sementara semua aset keluarganya berjumlah kira-kira 100 juta yuan (US$14.4 juta) dirampas.
“Abdughapar seorang dermawan yang suka membantu masyarakat … (tetapi) sekarang kerajaan telah mengambil segala-galanya dan memusnahkan sepenuhnya kehidupan keluarga itu,” kata Abdusattar.
Sebelum ini, anak lelaki sulung Abdughapar, Awzer, ditahan pada 2017 selepas pulang dari belajar di Turki, dan isterinya, Merhaba Hajim ditahan pada April tahun ini, katanya.
Abdusattar berkata, kakaknya Sayipjamal juga sudah hilang untuk tempoh masa yang lama dan dianggap telah ditahan, sementara beberapa kawannya dijatuhi hukuman penjara lebih daripada 18 tahun.
Kakitangan Biro Keselamatan Awam Wilayah Ili Kazakh di bandar Ghulja, enggan menjawab pertanyaan serta menutup telefon apabila dihubungi Radio Free Asia (RFA), mengenai kes Abdughapar.
Menurut agensi itu, seorang rakan lama yang enggan mendedahkan identiti memberitahu dia juga pernah mendengar desas-desus hukuman mati ke atas rakannya itu.
“Seorang kawan saya memanggil saya, mengatakan bahawa Abdughapar telah dijatuhi hukuman mati. Saya juga mendengar bahawa isterinya telah meninggal dalam penjara,” katanya. - Ismaweb
Tiada ulasan:
Catat Ulasan