"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu mula kempen lawan Nik Omar

PRU14 | Ibu Nik Omar Nik Abdul Aziz, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak mula turun berkempen di kawasan anaknya bertanding di dewan undangan negeri (DUN) Chempaka.

Namun, isteri bekas mursyidul am PAS, allahryarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkempen bagi calon lawan anak keduanya yang mewakili parti PAS, Ahmad Fathan Mahmood.

Tuan Sabariah berkata, beliau sehingga kini tetap berpegang pada pesanan allahyarham Nik Abdul Aziz bahawa tiada parti lain yang lebih baik berbanding parti PAS.

"Ambo (saya) bukan mari untuk ceramah, tapi diminta bercakap, saya gugup sikit sebab tak biasa. Selalunya hanya kecek (bercakap) di rumah.

"Pilihan raya tak lama dah, ambo rasa biarlah kita kekal dengan apa yang Tok Guru tinggal. Sekarang memang ramai mengaku parti Islam untuk mempengaruhi orang.

"Baru-baru ini, orang kata keluarga saya berpecah. Saya anak ada 10 orang, hanya seorang saja yang 'monteng' ke lain (tak sehaluan)," katanya ketika tampil berkempen di DUN Chempaka, Kota Bharu, hari ini seperti video yang disiarkan Facebook Dewan Muslimat PAS Pengkalan Chepa.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei nanti, Nik Omar yang mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) bakal berdepan penyandang kerusi tersebut Ahmad Fathan dan seorang lagi calon daripada BN, Ahmad Fareez Nor Amran.

Terdahulu Nik Omar dilihat akan menerima 'tentangan' daripada keluarga sendiri selepas adiknya, Nik Mohamad Abduh dalam satu kenyataan berkata, ibunya sendiri bakal turun berkempen untuk calon PAS.

Sementara itu, Tuan Sabariah yang melalui rakaman video tersebut tidak mampu menahan emosi dengan situasi yang dihadapinya kini.

"Ambo ini Tuhan duga kuat jugalah (kali ini). Tapi ambo tak turut yang lain, ambo kekal dengan hak asal (PAS) juga," katanya yang dilihat gagal mengawal emosi.
-malaysiakini

Tiada ulasan: