"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM buka siasatan kes tunai ‘meragukan’ Syed Saddiq

Malaysiakini
SPRM hari ini memaklumkan bahawa suruhanjaya itu telah membuka satu kertas siasatan berhubung seorang bekas menteri yang didakwa memiliki sejumlah wang tunai yang "meragukan”.

“SPRM telah menerima aduan berhubung pemilikan sejumlah besar wang tunai yang meragukan dipercayai milik seorang bekas menteri seperti dilaporkan oleh media semalam.

“Berdasarkan aduan itu, SPRM telah membuka satu kertas siasatan bagi menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut di bawah Akta SPRM 2009,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Apabila dihubungi Malaysiakini, pengarah siasatan SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya menjangkakan suruhanjaya itu akan merakamkan kenyataan bekas menteri itu minggu depan.

Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, menimbulkan persoalan mengenai sumber wang tunai yang besar dalam simpanan menteri itu.

"Berikutan laporan ini, kita telah membuka satu kertas siasatan dan akan merakamkan kenyataan daripada bekas menteri itu pada minggu depan.

"Pertama sekali, kita akan memintanya untuk mendedahkan sumber wang itu," katanya.

Bagaimanapun, disebabkan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19, Khusairi berkata mereka akan menghantar sebilangan kecil anggota untuk merakamkan kenyataan itu.

Walaupun SPRM tidak menyebut sebarang nama, namun adalah jelas ia merujuk kepada bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

Ahad lalu, Syed Saddiq membuat laporan polis selepas kira-kira RM250,000 hilang dari perti besi di rumahnya di Petaling Jaya.

Menurut laporan ahli parlimen Muar itu, wang berkenaan didapati hilang kira-kira jam 7 malam pada Sabtu lalu.

"Tiada sebarang kesan umpil dan keadaan rumah dan bilik kemas.

"Peti besi milik saya telah saya tetapkan kod rahsia dan hanya orang tertentu sahaja yang tahu di mana saya simpan," katanya dalam laporan polis itu.

Semalam, Berita Harian melaporkan bahawa mangsa mendakwa wang tersebut adalah milik parti politik.

Dalam satu kenyataan akhbar kemudiannya, Syed Saddiq, bagaimanapun, menafikan bahawa wang yang hilang itu milik Bersatu.

Tiada ulasan: