AMERIKA Syarikat (AS) semalam menasihati semua penduduknya agar memakai topeng di tempat awam bagi melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19 yang dikhuatiri boleh tersebar melalui pernafasan.
Cadangan itu susulan rekod baharu angka korban dalam sehari akibat virus itu di AS sebanyak 1,480 kematian, jumlah tertinggi berbanding negara lain sejak pandemik tercetus, malah ia mengatasi bilangan 1,169 kes sama pada hari sebelumnya di negara itu.
Kota New York telah mencatatkan peningkatan jumlah kematian tertinggi dalam sehari dengan 592 orang terkorban akibat wabak Covid-19 semalam, maklum Gabenor Andrew Cuomo.
Memetik laporan portal berita Independent, Cuomo memulakan taklimat akhbar hariannya pada Jumaat, dengan berita suram tentang peningkatan angka kematian di kota metropolitan itu.
“Jumlah kematian di New York meningkat kepada 2,935 orang yang terkorban akibat wabak tersebut.
“Peningkatan ini adalah jumlah kematian tertinggi sejak wabak ini bermula,” katanya seperti dipetik dalam portal Independent.
Menurut Cuomo lagi, kes mengenai wabak itu telah mencatat jumlah tertinggi iaitu 100,000 kes, dengan 102,863 diuji positif.
“57,159 daripadanya menetap di bandar ini (New York). Pegawai bertugas sentiasa mengawasi dengan teliti tentang kenaikan kes Covid-19 di seluruh negeri.
“Long Island adalah kawasan baharu yang membimbangkan kerana peningkatan jumlah jangkitan di sana. Kini lebih 14,000 orang dimasukkan ke hospital akibat virus tersebut.
“Sejak pandemik ini bermula, bilangan orang yang masuk ke hospital telah menjadi kebimbangan kami iaitu bagaimana ianya akan dapat mengatasi sistem yang ada di hospital.
“Kekurangan bekalan perubatan termasuk kelengkapan pelindung diri (PPE), gaun, dan ventilator juga menjadi kebimbangan kerana lebih ramai pesakit Covid-19 memerlukan rawatan perubatan,” katanya lagi.
Cuomo menambah, New York telah berusaha keras untuk mendapatkan ventilator bagi merawat semua pesakit, kerana virus itu cenderung menyerang sistem pernafasan manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan